Soalan ulasan
Adakah ubat-ubatan menyelamatkan nyawa, atau mengurangkan kesakitan dan bius, terhadap bayi baru lahir yang mempunyai pengoksigenan otak yang lemah semasa lahir ('hypoxic-ischaemic encephalopathy') dan yang sedang menjalani proses penyejukan?
Latar belakang
Kekurangan oksigen semasa kelahiran boleh merosakkan otak bayi yang baru lahir. Bayi dengan kerosakan otak yang kurang teruk mungkin pulih sepenuhnya atau hanya mengalami masalah yang ringan. Untuk bayi-bayi lain dengan kerosakan yang lebih serius, kematian atau masalah-masalah lain boleh terjadi pada kemudian hari. Contohnya, sebilangan bayi ini mengalami cerebral palsy, kecacatan intelektual, atau masalah-masalah lain. Kami kini hanya mempunyai penyejukan sebagai pendekatan untuk merawat keadaan ini. Penyejukan dicapai dengan menggunakan topi keledar khas atau, lebih kerap, tilam haba. Penyejukan boleh menyebabkan kesakitan, yang juga boleh memberi kesan negatif jangka panjang terhadap perkembangan dan kualiti hidup. Matlamat kajian ini adalah untuk menilai sama ada ubat boleh mengurangkan kesakitan, ketidakselesaan dan kematian.
Keputusan utama
Kami tidak mengenal pasti sebarang kajian yang menangani soalan semakan. Kami mengenal pasti empat kajian yang berpotensi, tetapi kami mengecualikannya kerana jenis ubat atau reka bentuk kajian. Satu kajian sedang dijalankan.
Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Kami telah mencari kajian yang ada sehingga Ogos 2021.
Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal. Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my