Mesej utama
• Antibiotik azitromisin bukanlah rawatan yang berkesan untuk COVID-19.
• Kami tidak tahu sama ada antibiotik selain azitromisin adalah rawatan yang berkesan untuk COVID-19 kerana tiada penyelidikan yang mencukupi.
• Kami menemui 19 kajian berterusan yang sedang menyiasat antibiotik untuk COVID-19. Kami akan mengemas kini ulasan ini jika keputusannya mengubah kesimpulan kami.
Apakah antibiotik?
Antibiotik adalah murah dan ubat yang biasa untuk merawat jangkitan bakteria. Namun, kajian makmal baru-baru ini mendapati bahawa beberapa antibiotik melambatkan pembiakan beberapa virus, termasuk SARS-CoV-2, virus yang menyebabkan COVID-19. Dalam ujian makmal, satu antibiotik, azitromisin, mengurangkan aktiviti virus dan keradangan, dan oleh itu ia telah dikaji sebagai rawatan berpotensi untuk COVID-19. Kami memerlukan bukti yang baik sebelum memberikan antibiotik untuk COVID-19 kerana penggunaan berlebihan atau penyalahgunaan antibiotik boleh membawa kepada 'rintangan antimikrobial', di mana organisma yang menyebabkan jangkitan berubah, maka antibiotik berhenti berfungsi.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada antibiotik mengurangkan kematian, keterukan penyakit, dan tempoh jangkitan pada orang dengan COVID-19, jika ia mempunyai kesan pada kualiti hidup atau menyebabkan kesan yang tidak diingini. Kami memasukkan kajian yang membandingkan antibiotik dengan plasebo (rawatan dummy), tidak ada rawatan, penjagaan biasa, atau rawatan untuk COVID-19 yang diketahui berfungsi hingga tahap tertentu, seperti remdesivir atau deksametason. Kami mengecualikan rawatan yang kami tahu tidak berkesan untuk COVID-19, seperti hydroxychloroquine, atau mempunyai pengaruh yang tidak diketahui terhadap penyakit tersebut.
Kami menilai kesan antibiotik pada orang dengan COVID-19 pada:
• orang yang tenat;
• sama ada gejala pesakit COVID-19 menjadi lebih baik atau lebih teruk;
• kesan yang tidak diingini;
• masalah ritma jantung;
• kualiti hidup.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian yang menyiasat antibiotik untuk merawat orang dengan COVID-19 di hospital atau sebagai pesakit luar.
Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan kriteria seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang telah kami temui?
Kami menemui 11 kajian dengan 11,281 orang yang menyiasat antibiotik untuk merawat COVID-19. Kesemua 11 kajian menyiasat azitromisin. Sembilan kajian (10,807 orang) membandingkan azitromisin dengan tiada rawatan, plasebo atau penjagaan biasa sahaja. Dua kajian membandingkan azitromisin dengan antibiotik lain: lincomycin (1 kajian, 24 orang) dan clarithromycin (1 kajian, 450 orang), walau bagaimanapun, mereka tidak melaporkan data yang boleh kami gunakan dalam ulasan ini, jadi keputusan kami terpakai kepada azitromisin sahaja.
Tujuh kajian memasukkan orang dengan COVID-19 sederhana hingga teruk di hospital dan empat kajian memasukkan pesakit luar dengan COVID-19 ringan. Kajian menggunakan dos azitromisin yang berbeza dan jangka masa rawatan yang berbeza.
Kami menemui 19 kajian yang sedang berlangsung. Kami belum mengelaskan 15 kajian yang telah siap kerana kami sedang menunggu maklumat lanjut daripada pengarang, atau ia masih belum diterbitkan.
Keputusan utama
Pesakit dengan COVID-19 sederhana hingga teruk
Azitromisin berbanding dengan penjagaan biasa sahaja, tidak membawa kepada lebih banyak atau kurang kematian dalam masa 28 hari selepas rawatan (4 kajian, 8600 orang).
Berbanding dengan penjagaan biasa sahaja atau plasebo, azitromisin mungkin tidak:
• bertambah teruk (1 kajian, 7311 orang) atau
• memperbaiki keadaan pesakit (3 kajian, 8172 orang);
• meningkatkan atau mengurangkan kejadian serius yang tidak diingini (4 kajian, 794 orang), dan masalah ritma jantung (4 kajian, 7865 orang).
Azitromisin boleh meningkatkan sedikit kesan tidak diingini yang tidak serius berbanding dengan penjagaan biasa sahaja (3 kajian, 355 orang).
Tiada kajian yang melihat kualiti hidup.
Pesakit luar dengan COVID-19 ringan
Berbanding dengan penjagaan biasa sahaja atau plasebo azitromisin mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan pada:
• orang yang mati dalam tempoh 28 hari selepas rawatan (3 kajian, 876 orang);
• sama ada penyakit bertambah teruk dalam tempoh 28 hari selepas rawatan (3 kajian, 876 orang) atau
• sama ada gejala COVID-19 bertambah baik dalam tempoh 14 hari selepas rawatan (1 kajian, 138 orang).
Kami tidak tahu sama ada azitromisin berbanding dengan penjagaan biasa sahaja atau plasebo meningkatkan atau mengurangkan kesan tidak diingini yang serius (2 kajian, 454 peserta).
Tiada kajian melaporkan kejadian tidak diingini yang tidak serius, masalah ritma jantung, atau kualiti hidup.
Apakah batasan bukti tersebut?
Kami sangat yakin dengan bukti tentang azitromisin untuk pesakit COVID-19. Namun, kami kurang yakin dengan bukti tentang azitromisin pada pesakit luar, terutamanya kerana terdapat beberapa kajian yang juga mempunyai beberapa kelemahan, oleh itu kami tidak dapat membuat kesimpulan yang boleh dipercayai. Kami menemui bukti yang relevan pada hanya satu antibiotik, azitromisin, jadi kami tidak tahu kesan antibiotik lain untuk merawat COVID-19. Kami akan terus mencari kajian baru untuk mengisi jurang bukti ini. Bukti kami tidak mencadangkan azitromisin rawatan yang berkesan untuk COVID-19, terutamanya berkaitan bahaya rintangan antimikrob. Azitromisin atau mana-mana antibiotik lain tidak patut digunakan untuk merawat COVID-19 di luar kajian yang direka dengan baik.
Sejauh mana bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 14 Jun 2021.
Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my