Adakah langkah-langkah yang diambil oleh sekolah untuk membendung wabak COVID-19 berkesan?

Mesej utama

• Secara keseluruhan, keputusan mencadangkan bahawa beberapa langkah di sekolah untuk mengurangkan penularan COVID-19 mungkin boleh mengurangkan penularan penyakit, penggunaan kemudahan penjagaan kesihatan dan kehadiran sekolah jika tidak akan hilang akibat kuarantin.

• Lebih banyak penyelidikan berkualiti tinggi diperlukan untuk membantu memahami bagaimana sekolah boleh dibuka dengan selamat ketika pandemik pada masa hadapan.

Apakah jenis langkah yang diambil oleh sekolah semasa wabak COVID-19?

Semasa pandemik COVID-19, banyak komuniti memperkenalkan langkah khas di sekolah untuk mengurangkan penularan COVID-19 dan untuk memastikan murid dan kakitangan selamat.

Kami mengumpulkan langkah-langkah ke dalam kategori besar berikut.

1. Langkah-langkah untuk mengurangkan peluang untuk kontak, seperti mengurangkan bilangan pelajar dalam kelas atau sekolah pada satu masa.
2. Langkah-langkah untuk menjadikan kontak lebih selamat, termasuk topeng muka, menambahbaik pengudaraan, pembersihan, mencuci tangan, atau mengubah suai aktiviti seperti sukan atau muzik.
3. Langkah-langkah pengawasan dan tindak balas, yang menyaring gejala atau menguji pelajar atau kakitangan yang sakit. Orang yang menghidap COVID-19 boleh mengasingkan diri dan mereka yang mungkin menghidap COVID-19 boleh dikuarantin.
4. Langkah-langkah berbilang komponen menggabungkan langkah dari kategori 1, 2 dan/atau 3.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami berhasrat untuk mengetahui langkah mana yang membenarkan sekolah dibuka semula dengan selamat atau terus dibuka semasa pandemik COVID-19. Kami ingin mengetahui langkah mana yang terbaik untuk mencegah penyebaran penyakit (transmisi), diukur dengan bilangan kes baharu, kematian dan kemasukan ke hospital. Kami juga melihat akibat yang tidak diingini, seperti kesan terhadap kehidupan kanak-kanak di luar sekolah dan pendidikan mereka.

Apakah yang kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang melihat impak langkah-langkah ini di sekolah dalam kalangan pelajar (berumur 4 hingga 18 tahun) atau individu yang berkaitan dengan sekolah (kakitangan atau ibu bapa, contohnya), atau kedua-duanya, terhadap bilangan orang menghidap COVID-19, sistem penjagaan kesihatan (katil hospital, contohnya) dan aspek sosial (seperti kesan terhadap pendidikan kanak-kanak). Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan daripada kajian-kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah keputusan utama ulasan ini?

Kami telah menyertakan 33 kajian. Lima belas kajian memberikan bukti mengenai perkara penting dan yang lainnya tidak memberikan bukti yang berguna. Kajian berlaku di sekolah rendah dan menengah, kebanyakannya di Amerika Utara dan juga di Eropah.

1. Langkah-langkah mengurangkan peluang untuk kontak
Empat kajian dari AS menyiasat impak langkah sekolah untuk mengurangkan kontak. Pengajaran jarak jauh (cth. melalui pautan komputer) dibandingkan dengan pengajaran secara bersemuka mungkin mengurangkan penyebaran COVID-19 dan kemasukan ke hospital, tetapi mungkin tidak memberi kesan kepada kematian dalam populasi umum. Kesan pengajaran hibrid (gabungan pengajaran secara bersemuka dan jarak jauh), dibandingkan dengan pengajaran jarak jauh adalah bercampur.

Kami menemui bahawa langkah yang lain mempunyai kesan bercampur. Menutup taman permainan dan kafetaria boleh meningkatkan risiko jangkitan. Mengekalkan guru yang sama tidak memberi kesan, dan membatalkan aktiviti luar sekolah, mengekalkan pelajar yang sama bersama, dan menyekat kemasukan ibu bapa dan penjaga mungkin mengurangkan risiko jangkitan. Walau bagaimanapun, bukti ini sangat tidak pasti.

2. Langkah-langkah untuk menjadikan kontak lebih selamat
Tujuh kajian dari AS menunjukkan bahawa pemakaian topeng muka mungkin telah mengurangkan penyebaran COVID-19 dan polisi topeng muka yang lebih ketat mungkin mempunyai kesan yang lebih besar. Terdapat pelbagai bukti tentang kesan jarak fizikal terhadap risiko jangkitan, dengan keputusan menunjukkan bahawa mungkin terdapat penurunan risiko untuk pelajar, tetapi peningkatan untuk kakitangan. Terdapat beberapa bukti bahawa menambahbaik pengudaraan di bangunan sekolah mungkin mengurangkan penularan. Satu kajian menemui bahawa tidak berkongsi bekalan dan menambah ruang meja di sekolah mungkin mengurangkan risiko jangkitan, tetapi perisai meja mungkin meningkatkannya, tetapi kami sangat tidak pasti tentang bukti ini.

3. Langkah-langkah pengawasan dan tindak balas
Enam kajian dari AS, UK, Jerman dan Israel menyiasat langkah-langkah pengawasan dan tindak balas. Satu kajian menemui bahawa ujian harian untuk mengganti atau mengurangkan kuarantin mungkin membantu mengurangkan penularan. Kajian yang menilai langkah-langkah pengawasan menemui keputusan bercampur untuk penularan melalui pengunaan ujian antigen pantas di rumah, tetapi bukti sangat tidak pasti. Kajian yang melihat ujian makmal tindak balas rantai polimerase (PCR) juga menunjukkan bahawa mungkin tiada penularan COVID-19 di sekolah dan di rumah selepas pelajar atau kakitangan berada di bilik yang sama dengan seseorang yang telah diuji positif. Dua kajian menemui bahawa mengganti atau membuat kuarantin lebih pendek melalui pengunaan ujian harian mungkin berkaitan dengan berkurangnya ketidakhadiran di sekolah.

4. Langkah-langkah berbilang komponen
Satu kajian dari AS menunjukkan kurang jangkitan apabila bilangan langkah yang lebih tinggi dilaksanakan, tetapi bukti sangat tidak pasti.

Sejauh manakah kami yakin dengan dapatan ulasan ini?

Bukti untuk ulasan yang dikemas kini ini lebih kukuh daripada penemuan ulasan asal di kebanyakan bidang. Kedalaman, keluasan dan kualiti penyelidikan perlu diperkukuh, dengan reka bentuk kajian yang lebih baik dan pelarasan untuk faktor risiko.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Februari 2022.

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information