Adakah terdapat perbezaan antara vitrektomi pars plana yang disertai pemasangan kelepak selaput pembatas dalaman dengan vitrektomi pars plana yang disertai pengelupasan selaput pembatas dalaman untuk rawatan lubang makula besar?

Mesej utama

1. Vitrektomi pars plana yang menggunakan kaedah pengepakan selaput pembatas dalaman mungkin dapat menghasilkan pembaikan penglihatan selepas tiga bulan atau lebih jika dibandingkan dengan vitrektomi pars plana yang menggunakan kaedah pengelupasan selaput pembatas dalaman untuk merawat lubang makula.
2. Vitrektomi pars plana yang menggunakan teknik pengepakan selaput pembatas dalaman mungkin mempunyai kebarangkalian yang lebih tinggi dari segi penutupan lubang makula jika dibandingkan dengan vitrektomi pars plana yang menggunakan kaedah pengelupasan selaput pembatas dalaman untuk merawat lubang makula
3. Terdapat keperluan untuk penyelidikan bermutu tinggi dalam lapangan kajian ini untuk mengesahkan kesahihan keputusan ini dan mengukur kesan-kesan lain kaedah-kaedah pembedahan tersebut.

Apakah itu lubang makula?

Makula merupakan kawasan kecil di tengah-tengah retina (lapisan sel yang peka terhadap cahaya yang menyelaputi bahagian belakang mata). Lubang makula merupakan celah yang terbuka di dalam makula. Saiz lubang makula berbeza-beza, dan boleh diakibatkan sebab idiopatik (iaitu terjadi secara spontan tanpa didahului penyakit tersirat tertentu), traumatik (disebabkan oleh kecederaan), dan kerabunan (berkaitan dengan rabun dekat).

Apakah itu vitrektomi pars plana?

Vitrektomi adalah penyingkiran bendalir vitreous (gel yang secara semula jadi mengisi rongga mata). Ia merupakan langkah yang penting agar lapisan retina dapat diakses. Pars plana adalah sebahagian daripada mata yang tidak menyentuh struktur mata dalaman yang kritikal seperti retina. Dalam vitrektomi pars plana (PPV), pakar bedah mata memasukkan radas pembedahan melalui pars plana untuk mengelakkan kerosakan retina atau struktur mata yang berdekatan.

Apakah itu pengelupasan selaput pembatas dalaman dan pengepakan selaput pembatas dalaman?

Selaput pembatas dalaman (ILM) merupakan lapisan retina yang paling dalam. Pengelupasan ILM dan teknik pengepakan ILM digunakan untuk merawat lubang makula. Pengelupasan merujuk kepada pembuangan sepenuhnya ILM dari kawasan retina yang mengelilingi lubang makula. Teknik pembentukan kelepak ILM melibatkan pemisahan sebahagian selaput ILM daripada retina lalu menyongsangkannya untuk mengatupi lubang makula.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengkaji sama ada PPV dengan teknik pengepakan ILM lebih baik daripada PPV dengan kaedah pengelupasan ILM dalam rawatan lubang makula yang besar.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang menaksir keberkesanan PPV yang menggunakan teknik pengepakan ILM berbanding dengan PPV yang menggunakan teknik pengelupasan ILM untuk rawatan lubang makula yang besar. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian tersebut serta menaksir tahap keyakinan kami terhadap mutu bukti berdasarkan faktor seperti perkaedahan kajian dan saiz kajian.

Apakah hasil yang kami temui?

Kami telah mengenalpasti empat buah kajian yang telah merawat 285 mata yang dimiliki 275 orang pesakit yang didiagnosis penyakit lubang makula besar. Purata umur peserta kajian berada dalam julat 59.4 tahun sehingga 66 tahun. Dua kajian telah dijalankan di India, satu kajian dijalankan di Poland, manakala satu lagi dijalankan di Mexico. Tiada kajian yang melaporkan percanggahan kepentingan atau sokongan perdanaan.

PPV yang menggunakan teknik pengepakan ILM, jika dibandingkan dengan PPV yang menggunakan kaedah pengelupasan ILM, boleh menghasilkan penglihatan yang lebih baik dan mungkin mampu meningkatkan kebarangkalian penutupan lubang makula.

Apakah batasan bukti?

Dalam tiga daripada empat kajian, orang yang menilai hasil pembedahan mungkin telah mengetahui jenis rawatan yang telah diterima oleh setiap peserta kajian, dan hal ini mungkin telah mempengaruhi penilaian mereka. Kajian-kajian tersebut melaporkan keputusan pada titik-titik waktu yang berbeza pasca pembedahan, dan hal ini mungkin menjejaskan hasil penilaian penglihatan. Terdapat beberapa perbezaan dalam pembedahan yang dijalankan di semua kajian yang diulas; sebagai contoh, dalam dua buah kajian, semua peserta menjalani pembedahan katarak yang digabungkan dengan pembedahan PPV.

Sejauh manakan bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Disember 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Khaw Loke Tim (International Medical University). Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information