Apakah faedah dan risiko vitamin E untuk penyakit hati berlemak bukan beralkohol?

Mesej utama

  • Tidak jelas sama ada rawatan jangka panjang (18 bulan hingga 24 bulan) dengan vitamin E sahaja atau digabungkan dengan vitamin C mempengaruhi kematian akibat sebarang sebab, kesan tidak diingini yang serius, kualiti hidup berkaitan kesihatan, atau kesan tidak diingini yang tidak serius jika dibandingkan dengan plasebo (pil palsu) atau tanpa rawatan.

  • Vitamin E sahaja mungkin mengurangkan tahap alanine transaminase dan aspartate aminotransferase (enzim hati) secara sedikit.

  • Penyelidikan lanjut mungkin meningkatkan keyakinan kami terhadap bukti ini.

Apakah penyakit hati berlemak bukan beralkohol?

Penyakit hati berlemak bukan beralkohol, yang baru-baru ini dinamakan semula sebagai 'penyakit hati steatotik berkaitan dengan disfungsi metabolik', adalah keadaan biasa yang menjejaskan orang yang tidak atau minum sedikit alkohol. Ia disebabkan oleh terlalu banyak lemak di hati (steatosis). Orang yang mempunyai penyakit hati berlemak bukan beralkohol boleh mengalami kelemahan, sakit, atau ketidakselesaan di bahagian atas kanan perut. Penyakit ini tidak hanya mempengaruhi hati, tetapi juga dikaitkan dengan risiko tinggi untuk tinggi gula darah, penyakit jantung, dan penyakit buah pinggang.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada vitamin E sahaja, atau digabungkan dengan vitamin atau mineral yang lain, adalah lebih baik daripada plasebo (pil palsu) atau tiada rawatan dalam menambahbaik hasil seperti kematian akibat sebarang sebab, kesan tidak diingini yang serius, kualiti hidup, kematian berkaitan hati, penyakit berkaitan hati, dan kesan tidak diingini yang tidak serius. Kami juga ingin mengetahui sama ada rawatan ini menambahbaik enzim hati dan steatosis, yang menunjukkan fungsi hati yang baik.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang melihat kepada vitamin E sahaja atau gabungan vitamin atau mineral lain berbanding dengan plasebo atau tiada rawatan pada orang dewasa dan kanak-kanak dengan penyakit hati berlemak tanpa beralkohol. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui 16 kajian melibatkan 1066 orang dewasa dan kanak-kanak dengan penyakit hati berlemak bukan beralkohol. Kajian ini dilakukan di negara-negara di seluruh dunia dan berlangsung antara dua bulan dan dua tahun.

Bukti kesan vitamin E yang diberikan secara bersendirian pada kematian akibat sebarang sebab, kesan tidak diingini yang serius, kualiti hidup, dan kejadian tidak diingini yang tidak serius adalah sangat tidak pasti. Vitamin E sahaja mungkin sedikit mengurangkan tahap serum alanine transaminase dan aspartat aminotransferase (enzim yang terdapat dalam hati) jika dibandingkan dengan plasebo atau tanpa intervensi. Vitamin E boleh sedikit mengurangkan tahap serum alkali fosfatase (enzim hati lain), tetapi bukti itu adalah sangat tidak pasti.

Bukti untuk kesan vitamin E yang digabungkan dengan vitamin C pada tahap enzim hati adalah sangat tidak pasti. Tiada kajian yang melihat pada vitamin E yang digabungkan dengan vitamin C yang melaporkan tentang kematian akibat sebarang sebab, kesan tidak diingini yang serius, kualiti hidup, atau kesan tidak diingini yang tidak serius.

Hasil kematian berkaitan hati, penyakit berkaitan hati, dan bilangan orang tanpa penurunan serum enzim hati adalah tidak dilaporkan dalam mana-mana kajian yang disertakan.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami terhadap bukti adalah dari sangat rendah kepada sederhana. Secara umum, kami kurang yakin terhadap bukti kerana sedikit kajian yang memberikan maklumat mengenai hasil yang kami minati; keputusan yang pelbagai merentasi kajian; dan banyak kajian kecil. Kajian lanjut mungkin mengubah keputusan kami.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 2 Februari 2024.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Wong Chun Hoong (Hospital Kuala Lumpur). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information