Mesej utama
– Ubat yang membunuh bakteria (antibiotik) boleh mengakibatkan rawatan bagi simptom tidak berjaya untuk sesetengah pesakit.
– Antibiotik boleh mengurangkan jangkitan luka tetapi meningkatkan sedikit masa berada di hospital .
– Satu pertiga daripada pesakit apendisitis yang pada mulanya dirawat dengan antibiotik menjalani pembedahan untuk apendisitis dalam tempoh satu tahun. Dengan kata lain, dua pertiga daripada pesakit mengelak pembedahan dalam tempoh satu tahun.
Apakah apendisitis?
Apendisitis (bengkak yang menyakitkan dalam kantung berbentuk jari yang menonjol dari usus) adalah keadaan yang biasa. Pesakit mengalami kesakitan di bahagian tengah dan kanan perut.
Bagaimana apendisitis dirawat?
Pada masa lalu, pembedahan dengan mengeluarkan kantung berbentuk jari (dipanggil appendektomi) dianggap sebagai satu-satunya rawatan untuk keadaan ini, tetapi apendisitis juga boleh dirawat dengan ubat yang membunuh bakteria (antibiotik).
Apakah yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada antibiotik lebih baik daripada pembedahan untuk pesakit apendisitis. Kami ingin mengetahui kesan antibiotik terhadap jangka hayat pesakit, dan bagaimana antibiotik mengurangkan sakit perut mereka. Kami juga ingin mengetahui sama ada antibiotik dikaitkan dengan sebarang kesan atau akibat yang tidak diingini .
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari pangkalan data perubatan untuk kajian yang melihat kepada rawatan dengan antibiotik ketimbang pembedahan dalam kalangan orang dewasa. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian ini dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 13 kajian yang melibatkan 3358 pesakit apendisitis. Kajian-kajian tersebut dijalankan terutamanya di Asia, Eropah, dan Amerika Utara, dan ianya berlangsung dari beberapa hari sehingga tujuh tahun. Dua kajian menerima dana daripada syarikat yang mengeluarkan ubat-ubatan. Jenis-jenis antibiotik yang digunakan adalah yang membunuh pelbagai bakteria dalam usus. Pembedahan dilakukan terutamanya sebagai pembedahan lubang kunci.
Keputusan utama
Antibiotik mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas kematian, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusannya. Kami tidak dapat membuat sebarang kesimpulan yang kukuh tentang komplikasi kerana kami kurang yakin dengan bukti. Antibiotik boleh meningkatkan sedikit rawatan simptom yang tidak berjaya, bermakna 76 daripada setiap 1000 orang masih akan mengalami simptom selepas antibiotik berbanding pembedahan. Antibiotik boleh mengurangkan sedikit jangkitan luka. Masa yang dihabiskan di hospital meningkat sedikit sebanyak setengah hari selepas antibiotik. Hampir satu pertiga daripada pesakit yang diberikan antibiotik memerlukan pembedahan dalam tahun pertama (atau dua pertiga mengelakkan pembedahan), tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusannya.
Apakah batasan bukti?
Kami secara amnya mempunyai sedikit keyakinan terhadap kebanyakan bukti kerana pesakit dalam kajian-kajian tersebut mengetahui rawatan yang mereka dapat. Beberapa kajian menggunakan jenis pembedahan berbeza selain daripada lubang kunci, dan bukti adalah berdasarkan bilangan kes yang rendah bagi kematian dan komplikasi.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Ulasan ini mengemas kini ulasan kami yang terdahulu. Bukti ini adalah terkini sehingga Julai 2022.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Muhammad Amirul Iman bin Ahmad Rizal. Disunting oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA).