Mesej utama
• rTMS mungkin tidak mengurangkan tahap keparahan gejala PTSD pada akhir rawatan berbanding dengan rTMS plasebo (rangsangan palsu) dalam kalangan orang dewasa. Penemuan ini, walau bagaimanapun, dibatasi oleh variasi yang luas dari segi cara rawatan disampaikan dan bilangan peserta yang kecil.
• Kejadian kesan tidak diingini yang serius dalam kajian rTMS untuk PTSD adalah jarang.
• Kami memerlukan lebih banyak kajian yang menyiasat rTMS untuk PTSD dalam kalangan orang dewasa. Ia akan membantu jika kajian masa depan melaporkan kesan tidak diingini dengan lebih terperinci, dan menyusuli peserta lebih lama selepas rawatan untuk menilai keterukan PTSD.
Apakah gangguan tekanan pasca trauma?
Gangguan tekanan pasca trauma (PTSD) merupakan keadaan kesihatan mental yang bercirikan gejala yang mengganggu dan mencelarukan yang berkembang dalam kalangan sesetengah individu yang terdedah kepada kejadian trauma. Apabila tidak dirawat, ramai individu dengan PTSD menderita selama bertahun-tahun.
Bagaimanakah PTSD dirawat?
Terdapat beberapa rawatan untuk PTSD, termasuk ubat dan psikoterapi. Walau bagaimanapun, rawatan sedia ada terkait dengan kadar keciciran yang tinggi, yang menunjukkan bahawa orang mungkin mengalami masalah menerima rawatan dan mungkin terus mengalami gejala. Rawatan PTSD yang lebih berkesan amat diperlukan. Rangsangan magnet transkranial berulang (rTMS) merupakan rawatan yang berpotensi untuk PTSD.
Apakah rTMS?
rTMS merupakan rawatan bukan invasif yang melibatkan perangsangan medan elektrik dalam tisu otak menerusi peletakan gegelung pada kulit kepala yang melepaskan denyutan magnetik. Laluan biologi yang dipengaruhi rawatan rTMS serta menyebabkan perubahan terhadap gejala kesihatan mental masih tidak jelas dan merupakan suatu bidang penyelidikan yang aktif. rTMS terbukti berkesan dalam merawat orang dengan gangguan kemurungan teruk dan gangguan obsesif-kompulsif – dua keadaan kesihatan mental yang berkongsi ciri-ciri penting dengan PTSD.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada rTMS lebih baik daripada rawatan plasebo (rangsangan palsu) untuk pengurangan keterukan PTSD sejurus selepas rawatan, dan jika ia dikaitkan dengan kesan tidak diingini yang serius semasa rawatan. Kami berminat untuk mengkaji ketahanan kesan rawatan, dan ingin menerokai kesan rTMS terhadap keterukan PTSD pada 1 hingga 4 minggu serta 1 hingga 3 bulan pasca rawatan. Untuk menyiasat tahap ketahanan orang terhadap kesan rTMS, kami membandingkan bilangan peserta yang menarik diri pada awal kajian dalam kumpulan rTMS aktif berbanding palsu. Akhirnya, kami ingin meneliti kesan rawatan rTMS pada kegelisahan dan kemurungan sejurus selepas rawatan.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang membandingkan rTMS dengan rTMS palsu dalam kalangan orang dewasa dengan PTSD. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah kajian dan bilangan peserta.
Apakah yang kami temui?
Kami memasukkan data daripada 577 orang yang menyertai 13 kajian. Kajian dijalankan di negara-negara di seluruh dunia, dengan 5 dijalankan di AS. Tiga kajian dengan 99 orang peserta menyumbang kepada analisa utama kami yang mengkaji kesan rTMS terhadap keterukan PTSD sejurus selepas rawatan. Lima kajian dengan 251 peserta menyumbang kepada anggaran utama kami tentang keselamatan rTMS (berlakunya kejadian serius yang tidak diingini).
Keputusan utama
• rTMS mungkin menyebabkan sedikit hingga tiada perbezaan dalam gejala PTSD sejurus selepas rawatan berbanding rawatan palsu. Walau bagaimanapun, hanya 3 kajian menyumbang data kepada analisa utama ini. Apabila kami menganalisa keputusan daripada 6 kajian, tahap keberkesanan rTMS berbanding rawatan palsu berbeza-beza merentasi kajian. Kami tidak mempunyai maklumat yang mencukupi daripada kajian yang disertakan dalam ulasan ini untuk meneroka sebab untuk variasi ini. Ulasan lain tentang rTMS untuk PTSD mencadangkan beberapa cara untuk menyampaikan rTMS mungkin lebih berkesan daripada yang lain.
• Kesan tidak diingini yang serius daripada rawatan rTMS jarang. Adalah tidak jelas sama ada rTMS berkait dengan peningkatan risiko mengalami kesan tidak diingini yang serius.
• Kami tidak tahu sama ada rTMS berkesan terhadap keterukan PTSD beberapa minggu atau bulan selepas rawatan kerana tidak ada maklumat yang mencukupi untuk meneroka persoalan ini.
• rTMS mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kadar keciciran daripada rawatan atau dalam gejala kemurungan dan kebimbangan sejurus selepas rawatan.
Apakah batasan bukti?
Kami cukup yakin dengan penemuan kami bahawa rTMS mungkin menyebabkan sedikit hingga tiada perbezaan dalam keterukan PTSD sejurus selepas rawatan. Ini bermakna terdapat kemungkinan kesimpulan kami boleh berubah apabila bukti baharu ditemui. Kami tidak yakin dengan bukti tentang kejadian tidak diingini yang serius disebabkan penerangan terhad tentang kesan tidak diingini dan cara ia diukur dalam kajian yang disertakan. Secara amnya, kadar kesan tidak diingini yang serius sukar untuk dianggarkan, memandangkan kejadian ini jarang berlaku. Masalah ini diburukkan lagi dalam ulasan semasa dengan bilangan kecil peserta kajian yang dapat dimasukkan ke dalam analisis ini.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Januari 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).