Adakah vitamin D rawatan yang berkesan dan selamat untuk COVID-19?

Mesej-mesej utama

- Kami tidak menemui cukup bukti berkualiti untuk menilai sama ada vitamin D adalah rawatan yang berkesan atau selamat untuk orang dewasa dengan COVID-19.

- Kami perlukan lebih banyak penyelidikan tentang topik ini. Kajian masa hadapan perlu memfokus kajian-kajian dengan reka bentuk baik dengan kaedah-kaedah yang mantap.

- Kami mengenalpasti 21 kajian tentang topik ini yang masih berlangsung. Kami akan mengemaskini ulasan ini apabila terdapat lebih banyak bukti.

Apakah kaitan antara vitamin D dan COVID-19?

Sesetengah kajian menunjukkan orang yang berada di hospital dengan COVID-19 yang teruk, juga mempunyai paras vitamin D yang rendah (kekurangan vitamin D). Walau bagaimanapun, faktor risiko untuk mendapat COVID-19 yang teruk adalah sama dengan faktor-faktor yang menyebabkan kekurangan vitamin D, oleh itu sukar untuk menjelaskan jika kekurangan vitamin D itu sendiri adalah faktor risiko COVID-19 yang teruk. Faktor risiko termasuklah penyakit umum, diet yang buruk, dan masalah kesihatan sedia ada, seperti kencing manis, dan penyakit hati dan ginjal.

Vitamin D penting untuk tulang, gigi dan otot yang sihat. Ia membantu mengawal gula darah, jantung dan saluran darah, serta paru-paru dan saluran pernafasan. Ia juga berperanan meningkatkan sistem imun tubuh badan. Ini adalah bahagian-bahagian yang dipengaruhi oleh COVID-19, oleh itu memberi vitamin D kepada orang dengan COVID-19 mungkin membantu mereka pulih lebih cepat atau mengalami penyakit yang kurang teruk.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu kesan pemberian vitamin D kepada orang dewasa yang disahkan COVID-19 terhadap perkara berikut:

- kematian dari sebarang punca;

- keadaan pesakit lebih baik atau lebih teruk;

- kesan yang tidak diingini, dan

- kualiti hidup.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang menilai penggunaan vitamin D sebagai rawatan untuk orang dewasa yang disahkan COVID-19 berbanding plasebo (rawatan palsu) atau rawatan lain. Vitamin D boleh diberi dalam sebarang bentuk dan dos.

Kami bandingkan dan rumuskan keputusan kajian-kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami mendapati tiga kajian dengan 356 peserta. Satu kajian berlangsung di Brazil, dan dua lagi di Sepanyol. Dua kajian melibatkan peserta COVID-19 yang teruk dan satu kajian melibatkan peserta COVID-19 ringan atau tanpa gejala. Semua peserta diuji positif untuk COVID-19 dengan ujian makmal yang disebut 'PCR', yang kini merupakan ujian sedia ada yang paling tepat.

Kajian-kajian tersebut memberi para peserta pelbagai dos vitamin D. Mereka menggunakan pemasaan yang berbeza antara satu sama lain, dari satu dos besar dalam satu kajian hingga beberapa dos lebih kecil selama 14 hari dalam satu lagi kajian. Hanya dua kajian menyatakan peserta mereka kekurangan vitamin D. Kajian yang satu lagi tidak menyatakan apa-apa tentang status vitamin D para peserta.

Kematian dari sebarang punca
Kami tidak tahu sama ada vitamin D membantu mencegah kematian akibat COVID-19. Dua kajian (melibatkan peserta COVID-19 yang teruk) menyediakan bukti tentang kematian sebarang punca. Satu kajian melaporkan tidak ada kematian dalam kalangan 50 peserta yang telah menerima vitamin D, tetapi dua kematian dalam kalangan 26 peserta yang menerima rawatan COVID-19 biasa di hospital. Kajian yang satu lagi melaporkan sembilan kematian dalam kalangan 119 peserta yang telah diberi vitamin D dan enam kematian dalam kalangan 118 peserta yang diberi plasebo. Kajian-kajian ini terlalu berbeza antara satu sama lain untuk membolehkan kami membuat sebarang kesimpulan.

Keadaan pesakit
Vitamin D mungkin mengurangkan keperluan ventilator bagi membantu mereka bernafas, tetapi bukti ini tidak pasti. Satu kajian (dalam kalangan peserta COVID-19 yang teruk) melaporkan sembilan daripada 119 peserta yang diberi vitamin D perlukan ventilator dan 17 dari 118 yang diberi plasebo memerlukan ventilator.

Kesan yang tidak diingini
Kami tidak tahu sama ada vitamin D menyebabkan kesan yang tidak diingini. Hanya satu kajian (dalam kalangan peserta COVID-19 yang teruk) melaporkan kesan yang tidak diingini dengan cara yang boleh kami gunakan. Kajian tersebut mendapati satu daripada 119 peserta muntah sejurus selepas diberi vitamin D.

Kualiti hidup
Tiada kajian melaporkan kualiti hidup.

Apakah batasan bukti ?

Keyakinan kami terhadap bukti sangat terhad kerana kajian-kajian memberi dos vitamin D yang berlainan pada masa yang berbeza antara satu sama lain, tidak semua melaporkan status vitamin D para peserta, dan tidak mengukur dan merekod hasil dengan kaedah yang konsisten.

Kami menemui sedikit bukti berguna tentang kesan yang tidak diingini dan tiada bukti bagi kualiti hidup.

Adakah bukti ini mutakhir?

Bukti adalah terkini sehingga 11 Mac 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjermah oleh Siti Shuhada Muhammad Sidik (RCSI-UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information