Adakah colchicine merupakan rawatan yang berkesan untuk pesakit COVID-19?

Mesej utama

○ Pada orang yang dimasukkan ke hospital dengan COVID-19 sederhana hingga teruk, colchicine mungkin mempunyai sedikit atau tiada faedah; kami tidak pasti tentang kesan sampingannya.

○Pada orang yang tidak dimasukkan ke hospital tanpa gejala COVID-19 atau gejala COVID-19 ringan, kami tidak pasti sama ada colchicine menghalang kematian atau kesan sampingan, namun ia mungkin sedikit mengurangkan keperluan untuk masuk ke hospital atau kematian dan kesan sampingan yang serius.

○ Kajian masa depan harus menilai kualiti hidup pada orang yang tiada simptom atau simptom COVID-19 yang ringan dan kesan sampingan yang tidak serius dan membandingkan colchicine dengan ubat COVID-19 lain, seperti kortikosteroid.

Apakah colchicine?

Colchicine ialah ubat yang digunakan untuk mengurangkan bengkak dan keradangan dan seterusnya boleh melegakan kesakitan. Ia sering digunakan untuk merawat gout, keadaan di mana sendi orang menjadi bengkak dan menyakitkan. Sebaliknya, colchicine boleh membahayakan pesakit yang mempunyai beberapa keadaan kesihatan, seperti masalah buah pinggang atau hati, atau jika anda mengambil terlalu banyak colchicine.

Bagaimanakah colchicine boleh merawat COVID-19?

Disebabkan colchicine adalah ubat anti-radang; penyelidik ingin mengetahui sama ada ia boleh membantu mengurangkan keradangan yang disebabkan oleh COVID-19.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui sama ada colchicine adalah rawatan yang berkesan untuk pesakit COVID-19 berbanding plasebo (rawatan yang kelihatan dan rasa sama seperti colchicine tetapi tanpa bahan aktif) atau penjagaan biasa sahaja. Kami melihat orang yang mempunyai penyakit sederhana atau teruk yang dirawat di hospital atau dengan penyakit ringan yang dirawat dalam komuniti. Kami amat berminat dengan kesan colchicine pada:

○ jumlah kematian.

○ sama ada keadaan orang bertambah buruk atau bertambah baik;

○ kualiti hidup;

○ kesan sampingan yang serius dan tidak serius

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan colchicine bersama-sama dengan penjagaan biasa dengan penjagaan biasa (tambah/tolak plasebo). Kajian boleh dilaksanakan di mana-mana di seluruh dunia dan merangkumi pesakit yang mempunyai simptom COVID-19 yang ringan atau tiada gejala, sederhana atau teruk, tanpa kira umur, jantina atau etnik.

Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai kepastian kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti metodologi dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami mengenal pasti empat kajian rawak yang layak. Tiga melibatkan 11,525 orang yang dimasukkan ke hospital dan satu melibatkan 4488 orang tidak dimasukkan ke hospital. Bagi orang yang dimasukkan ke hospital, umur purata adalah 64 tahun, dan bagi orang yang tidak dimasukkan di hospital, umur purata adalah 55 tahun. Dua kajian membandingkan colchicine dan penjagaan biasa dengan penjagaan biasa sahaja dan 2 kajian membandingkan colchicine dengan penjagaan biasa dan plasebo. Tiada kajian melaporkan kualiti hidup. Kami juga menemui 17 kajian yang sedang dijalankan dan 11 kajian yang telah siap tetapi tidak diterbitkan.

Keputusan utama

Orang yang dimasukkan ke hospital dengan gejala COVID-19 sederhana sehingga bergejala teruk (3 kajian, 11,525 orang)

○Colchicine mungkin tidak mengurangkan kematian dalam tempoh 28 hari selepas rawatan (2 kajian, 11,445 orang).

○Colchicine mungkin tidak menghalang kemerosotan keadaan pesakit (2 kajian, 10,916 orang) dan mungkin tidak memperbaikinya (1 kajian, 11,340 orang).

○Kami sangat tidak pasti tentang kesan colchicine terhadap kesan sampingan dan kesan sampingan yang serius (2 kajian, 177 orang).

Orang yang tidak dimasukkan ke hospital tanpa simptom atau simptom ringan COVID-19 (satu kajian, 4488 orang)

○Kami tidak pasti sama ada colchicine mencegah kematian sehingga 28 hari selepas rawatan.

○Colchicine mungkin mengurangkan sedikit risiko kemasukan ke hospital atau kematian.

○Kami tidak pasti tentang kesan colchicine pada kesan sampingan, tetapi ia mungkin sedikit mengurangkan kesan sampingan yang serius.

Apakah batasan bukti tersebut?

Kepastian kami terhadap bukti adalah terhad. Dua kajian tidak menggunakan plasebo, jadi semua orang tahu siapa yang dirawat dengan colchicine, yang boleh mempengaruhi keputusan. Terdapat terlalu sedikit peristiwa untuk orang yang tidak dimasukkan ke hospital, seperti kemasukan ke hospital dan kematian, untuk memastikan bukti. Kajian menggunakan cara yang berbeza untuk menilai dan melaporkan kesan yang tidak diingini, jadi kami tidak dapat menggabungkan kajian untuk menjadi satu keputusan untuk membuat pertimbangan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 21 Mei 2021.

Nota editorial: ini adalah ulasan sistematik berterusan. Kami mencari bukti baharu setiap minggu dan mengemas kini ulasan apabila kami mengenal pasti bukti baru yang berkaitan. Rujuk kepada Pangkalan Data Ulasan Sistematik Cochrane untuk status terkini ulasan ini.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Wong Chun Hoong (Hospital Sultanah Aminah). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.

Tools
Information