Apakah ujian makmal rutin?
Ujian makmal rutin adalah satu set ujian darah yang lazim dibuat untuk memberi maklumat tentang status kesihatan pesakit. Ujian-ujian ini dapat diguna untuk mengenal pasti penyakit atau memantau kesihatan.
Apakah yang kami ingin tahu?
Adalah penting untuk mengenal pasti pesakit, yang hadir pada temujanji doktor di perkhidmatan pesakit luar atau di jabatan kecemasan yang berisiko tinggi mendapat penyakit COVID-19 yang teruk atau meninggal dunia. Ia boleh membantu doktor dalam memutuskan sama ada pesakit perlukan hospitalisasi. Kami ingin tahu jika ujian makmal rutin cukup tepat untuk meramal risiko mortaliti dan kemerosotan dalam kalangan pesakit yang sudah disahkan SARS-CoV-2.
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang menilai seberapa tepat ujian makmal rutin dalam peramalan risiko kematian dan kemerosotan dalam kalangan pesakit yang disahkan menghidap SARS-CoV-2. Kami sertakan sebarang reka bentuk kajian dan berlangsung di mana sahaja di dunia. Pesakit sebarang semua umur atau jantina disertakan.
Apa yang kami temui
Kami menemui 64 kajian yang melihat 53 ujian makmal rutin yang berbeza. Kajian-kajian ini dinilai tentang ketepatan meramal mortaliti, kemerosotan, atau kedua-duanya. Seramai 71,170 pesakit disertakan, di mana 8169 (11.5%) pesakit meninggal dunia, dan 4031 (5.7%) pesakit mengalami kemerosotan sehingga parah/kritikal. Pesakit dewasa disertakan dalam 31 kajian, dua kajian melaporkan pesakit yang berusia lebih daripada 60 tahun, dua kajian lagi melibatkan kelompok campuran kanak-kanak dan dewasa, dan satu kajian hanya sertakan kanak-kanak. Kebanyakan kajian dijalankan di China, diikuti Sepanyol dan Itali. Semua kajian dijalankan di hospital.
‘Sensitiviti' dan 'spesitiviti' sering diguna untuk melapor prestasi ujian-ujian. Sensitiviti adalah perkadaran pesakit dengan hasil (= kematian atau kemerosotan) yang dikesan dengan betul oleh ujian, dan spesiviti adalah perkadaran orang tanpa hasil yang dikesan dengan betul oleh ujian-ujian. Semakin hampir sensitiviti dan spesiviti sesuatu ujian kepada 100%, maka lebih tepat ujian itu. Untuk mengetepikan secara selamat pesakit yang tidak akan mati atau mengalami kemerosotan, sensitiviti lebih 90% diperlukan. Apabila empat atau lebih kajian menilai ujian yang sama, kami gabungkan data dan menganalisisnya bersama-sama. Kami tidak temui sebarang ujian yang cukup tepat untuk mengetepikan dengan selamat hasil yang teruk, seperti kemerosotan atau kematian. Kami temui lima ujian dengan sensitiviti dan spesifisiti melebihi 50%. Empat daripadanya menunjukkan keradangan penting dalam jangkitan SARS-CoV-2. Keempat-empat ujian tersebut adalah protein C-reaktif, nisbah neutrofil-kepada-limfosit, bilangan limfosit, dan laktat dehidrogenase. Ujian yang kelima, d-dimer, mencerminkan peningkatan pembekuan darah dalam jangkitan SARS-CoV-2.
Adakah keputusan ini bolehpercaya?
Kami berkeyakinan rendah terhadap bukti ulasan ini, kerana terdapat perbezaan penting antara kajian-kajian yang disertakan, dan hal ini menyukarkan perbandingan. Sensitiviti dan spesifisiti bergantung kepada titik potong antara positif (ada penyakit) dan negatif (bebas penyakit). Dalam sesetengah kajian, penulis memutuskan nilai titik potong (untuk suatu ujian) sebelum melaksanakan ujian (kurang cenderung untuk bias) dan dalam kajian-kajian lain, nilai titik potong ditentukan setelah analisis ujian (lebih cenderung untuk bias).
Kepada siapakah keputusan ulasan ini diaplikasi?
Ujian makmal rutin boleh dibuat semasa temujanji doktor atau di jabatan kecemasan. Walau bagaimanapun, kajian-kajian yang disertakan hanya menilai pesakit yang hadir ke hospital. Kami sertakan pesakit disahkan jangkitan SARS-CoV-2. Hanya satu kajian melaporkan pesakit yang sudah divaksinasi, dan kami tidak dapat menilai kesan varian yang berbeza. Oleh itu, keputusan kami mungkin tidak dapat mewakili kelompok pesakit yang divaksinasi atau pelbagai varian.
Apakah maksudnya?
Ujian makmal rutin berkait dengan keradangan dan pembekuan darah dalam kalangan pesakit dengan COVID-19, dan boleh digunakan untuk stratifikasi risiko apabila menilai pesakit. Walau bagaimanapun, tiada ujian yang cukup baik untuk mengetepikan progresi kepada penyakit yang lebih teruk atau membawa maut. Ujian-ujian ini mungkin berguna untuk menilai status kesihatan keseluruhan pesakit. Untuk meramal risiko kemerosotan atau mortaliti penilaian yang lebih komprehensif, termasuk gejala klinikal, penemuan radiologi dan ciri-ciri pesakit, perlu dipertimbangkan.
Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Kami mencari semua kajian COVID-19 sehingga 25 Ogos 2022.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).