Mesej utama
• Akibat kekurangan bukti kukuh, manfaat dan risiko opiod untuk mengurus sakit dalam kalangan bayi yang terdedah kepada prosedur yang sakit adalah tidak jelas.
• Berbanding plasebo (rawatan palsu yang tidak mengandungi sebarang ubat tetapi serupa dengan ubat yang sedang diuji), opiod mungkin mengurangkan sakit yang dinilai dengan skala tertentu semasa prosedur, tetapi mungkin tidak memberi perbezaan dengan skala-skala lain satu hingga dua jam selepas prosedur.
• Bukti adalah sangat tidak pasti tentang kesan opioid terhadap: sakit yang dinilai dengan skor sakit lain atau pada masa yang berbeza, episod bradikardia (denyut jantung perlahan), atau hipotensi (tekanan darah rendah). Opiod mungkin meningkatkan episod pernafasan terhenti.
Mengapakah opioid diberi untuk mengurus sakit semasa prosedur dalam kalangan bayi?
Bayi (terutamanya dalam empat minggu pertama selepas lahir) sering terdedah kepada prosedur yang sakitk semasa hospitalisasi Seperti orang dewasa, mereka perlukan pengurusan dan kawalan sakit yang berterusan semasa prosedur-prosedur ini. Opiod, sekumpulan ubatan pereda sakit yang berfungsi melalui interaksi dengan reseptor opioid dalam sel tubuh lazim diguna untuk bayi.
Apa yang kami ingin tahu?
Kami ingin tahu kesan opioid dalam kalangan bayi yang terdedah kepada prosedur yang sakit berbanding:
• tiada rawatan atau plasebo;
• rawatan bukan ubat (contohnya cecair manis);
• ubat-ubatan lain;
• pelbagai jenis opiod;
• atau opiod yang sama diberi melalui laluan berbeza, contohnya melalui mulut berbanding suntikan.
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang menyelidik lima perbandingan yang tersebut di atas. Kami bandingkan dan rumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apa yang kami temui?
Kami sertakan 13 kajian melibatkan sejumlah 823 bayi. Kajian paling besar melibatkan 150 bayi, dan kajian paling kecil melibatkan 12 bayi. Kesemua kajian dijalankan di hospital. Empat kajian dijalankan di India, dua masing-masing di Itali dan UK, satu masing-masing di Kanada, Finland, Iran, dan Amerika Syarikat, dan satu adalah kajian antarabangsa yang dijalankan di Perancis dan Amerika Syarikat.
Tujuh kajian membandingkan opioid dengan plasebo, dua kajian membandingkan opiod dengan cecair oral manis atau rawatan lain seperti menyentuh tubuh bayi; dan lima kajian membandingkan opioid dengan ubatan lain.
Berbanding plasebo, opiod mungkin menurunkan skor sakit yang dinilai dengan skala tertentu semasa prosedur, tetapi sedikit atau tiada perbezaan dengan kumpulan skala lain satu hingga dua jam selepas prosedur. Bukti adalah sangat tidak pasti tentang kesan opiod terhadap rasa sakit yang dinilai dengan skor sakit lain atau pada masa yang berbeza. Bukti adalah sangat tidak pasti tentang kesan opioid pada episod bradikardia, hipotensi atau pernafasan terhenti yang memerlukan resusitasi. Opiod mungkin meningkatkan episod pernafasan terhenti. Tiada kajian yang melaporkan kepuasan ibu bapa dengan penjagaan perubatan.
Bukti adalah sangat tidak jelas tentang kesan opiod terhadap sebarang hasil apabila dibanding dengan rawatan lain, seperti menyentuh tubuh bayi atau memberi ubatan lain.
Apakah batasan bukti ?
Kami tidak yakin dengan bukti kerana tiada cukup kajian untuk meyakini keputusan hasil kami. Tambahan pula, ada kemungkinan mereka yang terlibat dalam kajian sedar tentang jenis rawatan yang diberi kepada bayi-bayi. Kurang kajian yang memberi data tentang semua yang kami ingin tahu.
Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Kami mencari kajian-kajian sehingga Disember 2021.
Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail, Kolej Universiti Manipal Malaysia. Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my