Beban gejala di penghujung hayat pesakit COVID-19 dan rawatan yang bermanfaat
Pesakit COVID-19 mungkin menunjukkan gejala seperti sesak nafas atau kecelaruan di penghujung hayat. Tujuan perubatan paliatif adalah untuk melegakan gejala tersebut dengan rawatan khusus. Rawatan boleh berbentuk ubat-ubatan seperti opiod atau bukan ubat-ubatan seperti teknik pernafasan atau relaksasi.
Apakah matlamat ulasan ini?
Untuk mengetahui sejauh mana pelbagai intervensi (ubat dan bukan ubat) berkesan untuk rawatan gejala paliatif dalam kalangan pesakit COVID-19 di penghujung hayat. Kami sertakan semua peringkat umur pesakit dan semua komorbiditi (keadaan perubatan tambahan).
Apakah jenis kajian yang kami cari?
Kami mencari pangkalan data dan daftar kajian terpilih sehingga 23 Mac 2021. Kami sertakan kajian-kajian yang meneliti keberkesanan pelbagai rawatan paliatif untuk melegakan gejala berkait dengan COVID-19 di penghujung hayat. Kami ingin bandingkan kajian-kajian yang menyiasat pelbagai ubat atau terapi tetapi kami hanya menemui kajian-kajian tanpa kumpulan perbandingan. Hanya satu kajian melaporkan ubat khusus yang diguna untuk gejala tertentu.
Keputusan utama
Kami temui empat kajian yang diterbitkan dalam lima terbitan. Setiap terbitan sertakan antara 61 hingga 2105 peserta dan dua terbitan melaporkan sebahagian daripada peserta yang sama. Semua kajian yang disertakan menyiasat rawatan ubat yang berbeza untuk menguruskan gejala paliatif dalam kalangan pesakit COVID-19.
Ubat untuk mengawal gejala di penghujung hayat
Semua kajian yang disertakan melapor keberkesanan penjagaan paliatif untuk melegakan gejala. Dalam semua kajian, doktor atau staf kejururawatan menilai kelegaan gejala, dan bukannya pesakit sendiri. Oleh kerana kualiti bukti sangat rendah, kami tidak tahu kesan sebenar rawatan ubat untuk melegakan gejala dan berkeyakinan sangat rendah terhadap keputusan kajian-kajian. Kami tidak menemui sebarang data tentang kualiti hidup; beban gejala; kepuasan pesakit, penjaga dan saudara-mara; atau keselamatan rawatan ubat-ubatan.
Rawatan bukan ubat untuk mengawal gejala di penghujung hayat
Kami tidak menemui sebarang data tentang manfaat dan mudarat rawatan bukan ubat untuk kawalan gejala pesakit COVID-19 di penghujung hayat.
Kesimpulan
Berdasarkan penemuan kami, kami tidak dapat membuat sebarang kesimpulan tentang kawalan gejala paliatif pesakit COVID-19. Kajian masa hadapan perlu direka bentuk dengan lebih baik agar dapat menentukan rawatan yang berkesan untuk mengawal gejala dalam kalangan orang dengan COVID-19.
Diterjemahkan oleh Salizawati.Muhamad Salhimi. Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my.