Perbandingan rawatan kulit untuk ekzema

Mesej utama:

° Kortikosteroid kuat, iaitu perencat JAK dan tacrolimus 0.1% (semua ubat yang menekan sistem imun) secara konsistennya berkesan dalam mengurangkan tanda-tanda dan gejala ekzema.

° Kesan sampingan yang tidak diingini, seperti rasa terbakar dan pedih, lebih berkemungkinan dengan tacrolimus, pimecrolimus dan crisaborole, dan kurang berkemungkinan dengan kortikosteroid; kesan ridak diingini yang lain, seperti penipisan kulit, hanya berkemungkinan apabila kortikosteroid kuat digunakan dalam jangka panjang.

° Memandangkan ketidakpastian mengenai keberkesanan dan keselamatan jangka panjang, faktor-faktor lain seperti ketersediaan, kos, dan keutamaan, perlu dipertimbangkan.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Ekzema (dermatitis atopi) adalah keadaan radang kulit yang biasa dan tiada penawarnya. Kami membandingkan pelbagai rawatan anti-radang yang disapukan pada kulit (topikal) untuk mengurangkan gejala ekzema. Kami ingin mencari rawatan anti-radang topikal yang paling berkesan serta paling selamat untuk individu dengan ekzema.

Apakah yang kami lakukan?

Kami menyertakan kajian rawak untuk individu dengan ekzema dari semua peringkat umur dan tahap keterukan. Rawatan topikal mesti digunakan sekurang-kurangnya selama seminggu dan dibandingkan dengan rawatan anti-radang lain atau tanpa rawatan. Kami mengecualikan kajian mengenai dermatitis kontak atau ekzema tangan, serta kajian mengenai antibiotik, terapi pelengkap, pelembap sahaja, fototerapi, pembalut basah, atau rawatan yang diambil dalam bentuk tablet, sirap atau suntikan.

Kami melihat kepada pelbagai jenis bukti keberkesanan: gejala ekzema yang dilaporkan oleh pesakit, tanda-tanda ekzema yang dilaporkan oleh doktor, dan kesan sampingan. Analisis kami mengikuti prosedur standard Cochrane, dan kami menggunakan alat yang dipanggil CiNEMA untuk menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti tersebut.

Apakah yang kami temui?

Kami menganalisis 291 kajian yang melibatkan 45,846 individu dengan ekzema dari pelbagai tahap keterukan. Kebanyakan kajian dijalankan di negara-negara yang lebih kaya dan bertumpukan orang dewasa. Hanya 31 kajian yang bertumpukan kanak-kanak di bawah umur 12 tahun. Mereka menilai rawatan seperti krim kortikosteroid dan perencat kalsineurin. Kajian-kajian ini berlangsung antara tujuh hari hingga lima tahun dan kebanyakan kajian dibiayai oleh syarikat-syarikat yang menghasilkan rawatan anti-radang untuk ekzema.

Kortikosteroid yang kuat, perencat Janus kinase seperti ruxolitinib 1.5%, dan tacrolimus 0.1% secara konsistennya berkesan dalam mengurangkan tanda-tanda dan gejala ekzema. Perencat fosfodiesterase-4 seperti crisaborole 2% adalah antara yang kurang berkesan. Kesan sampingan seperti rasa terbakar dan pedih lebih cenderung berlaku dengan tacrolimus, pimecrolimus, dan crisaborole dan lebih kurang cenderung berlaku dengan kortikosteroid. Tiada bukti peningkatan penipisan kulit dengan penggunaan mana-mana rawatan jangka pendek (16 minggu atau kurang), termasuk kortikosteroid kuat yang digunakan sekali atau dua kali sehari. Kami menemui bahawa penggunaan kortikosteroid dalam jangka panjang (lebih daripada 16 minggu) mungkin boleh meningkatkan penipisan kulit. Penipisan kulit berlaku dalam kira-kira 1 dalam 300 orang yang menggunakan kortikosteroid ringan, sederhana, atau kuat selama enam bulan hingga lima tahun.

Keyakinan kami terhadap bukti berbeza-beza merentasi jenis ukuran dan rawatan yang berbeza. Ia bergantung pada faktor-faktor seperti saiz dan bilangan kajian untuk rawatan yang berbeza, sejauh mana hasilnya berbeza antara kajian, dan sama ada kami menilai keputusan tersebut dilaporkan dengan adil.

Apakah batasan bukti?

Terdapat kekurangan maklumat mengenai keberkesanan dan keselamatan jangka panjang rawatan anti-radang topikal. Ulasan ini harus dilihat sebagai panduan kepada pelbagai rawatan yang paling berkesan dan paling selamat untuk kawalan jangka pendek bagi kebanyakan individu dengan ekzema. Ketersediaan produk, kos, dan keutamaan individu berbeza, jadi tiada rawatan tunggal yang terbaik untuk semua orang.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Jun 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Keesha Ravintharan (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information