Adakah langkah-langkah bukan perubatan mencegah atau mengurangkan jangkitan SARS-CoV-2 di fasiliti penjagaan jangka panjang?

Mesej utama

Langkah-langkah bukan perubatan (misalnya sekatan lawatan atau ujian yang kerap) dapat mencegah jangkitan SARS-CoV-2 (menyebabkan penyakit COVID-19) dalam kalangan penghuni dan kakitangan di fasiliti penjagaan jangka panjang, tetapi kami bimbang tentang kebolehpercayaan penemuan tersebut.

Lebih banyak kajian berkualiti tinggi tentang pengalaman dunia nyata diperlukan secara khusus.

Lebih banyak penyelidikan juga diperlukan tentang langkah-langkah di fasiliti di mana kebanyakan penghuni dan kakitangan telah divaksinasi, serta di kawasan selain Amerika Utara dan Eropah.

Apakah itu langkah-langkah bukan perubatan?

Langkah-langkah bukan perubatan adalah cara mencegah atau mengurangkan penyakit tanpa menggunakan ubat, seperti vaksin. Ini termasuk mengawal pergerakan dan kontak, menggunakan peralatan pelindung diri (PPE), atau ujian yang regular untuk jangkitan.

SARS-CoV-2 sangat mudah berjangkit. Orang tua atau orang kurang upaya, yang tinggal di rumah jagaan (fasiliti penjagaan jangka panjang), terdedah kepada jangkitan kerana mereka berkontak rapat dengan orang lain, dengan penjaga dan pelawat yang masuk dan keluar fasiliti tersebut. Oleh kerana usia dan keadaan kesihatan mereka, penghuni rumah jagaan berisiko lebih tinggi untuk mendapat penyakit COVID-19 yang serius dan mati akibatnya.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu keberkesanan langkah-langkah bukan perubatan mencegah jangkitan SARS-CoV-2 dalam kalangan penghuni dan kakitangan di fasiliti penjagaan jangka panjang dan mengurangkan penyebaran jangkitan tersebut. Kami memfokus kepada semua jenis fasiliti penjagaan jangka panjang untuk orang dewasa seperti rumah jagaan orang tua dan fasiliti dengan kejururawatan mahir bagi orang kurang upaya.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang menyiasat kesan langkah-langkah bukan perubatan di fasiliti penjagaan jangka panjang. Untuk disertakan, kajian-kajian harus melapor jumlah jangkitan, jumlah kemasukan ke hospital atau kematian yang dicegah dalam kalangan penghuni atau kakitangan, atau sama ada langkah-langkah itu mencegah kemasukan virus ke dalam fasiliti atau mencegah wabak di dalam fasiliti. Kami menyertakan sebarang jenis kajian, termasuk kajian pemerhatian yang menggunakan data 'dunia nyata', atau kajian pemodelan berdasarkan data anggapan daripada simulasi hasilan komputer.

Apakah yang kami temui?

Kami temui 22 kajian, 11 kajian pemerhatian dan 11 kajian pemodelan. Semua kajian dijalankan di Amerika Utara atau Eropah.

Terdapat empat jenis langkah utama.

1. Langkah-langkah peraturan kemasukan untuk mencegah penghuni, kakitangan atau pelawat daripada membawa masuk virus ke dalam fasiliti. Langkah-langkah itu termasuklah kakitangan yang kuarantin bersama penghuni, kuarantin untuk penghuni yang baru masuk, ujian bagi kemasukan penghuni baharu, tidak membenarkan kemasukan penghuni baharu, dan mencegah pelawat memasuki fasiliti.

2. Langkah-langkah pengawalan kontak dan pengurangan transmisi untuk mencegah orang menyebarkan virus. Langkah-langkah tersebut termasuklah memakai pelitup muka atau PPE, penjarakan sosial, pembersihan tambahan, mengurangkan kontak antara penghuni dan kakitangan, dan menempatkan penghuni dan kakitangan dalam kumpulan penjagaan dan mengehadkan kontak antara kumpulan.

3. Langkah-langkah pengawasan yang dirancang untuk mengenalpasti wabak di peringkat awal. Langkah-langkah tersebut merangkumi ujian yang regular bagi penghuni atau kakitangan tanpa mengira gejala, dan ujian berdasarkan gejala.

4. Langkah-langkah kawalan wabak untuk mengurangkan kesan wabak. Langkah-langkah termasuklah pengasingan penghuni yang dijangkiti, dan memisahkan penghuni atau kakitangan yang menjaga mereka.

Sesetengah kajian mengguna gabungan langkah-langkah ini.

Keputusan utama

Langkah-langkah peraturan kemasukan (4 kajian pemerhatian; 4 kajian pemodelan)

Kebanyakan kajian menunjukkan langkah-langkah tersebut bermanfaat, tetapi beberapa kajian menemui tiada kesan atau kesan yang tidak diingini, seperti kemurungan dan delirium dalam kalangan penghuni dalam konteks mengehadkan lawatan.

Langkah-langkah pengawasan kontak dan pengurangan transmisi (6 kajian pemerhatian; 2 kajian pemodelan)

Beberapa langkah mungkin bermanfaat, tetapi selalunya buktinya adalah sangat tidak pasti.

Langkah pengawasan (2 kajian pemerhatian; 6 kajian pemodelan)

Ujian rutin bagi penghuni dan kakitangan dapat mengurangkan bilangan jangkitan, kemasukan ke hospital dan kematian dalam kalangan penghuni, walaupun bukti tentang bilangan kematian dalam kalangan kakitangan adalah kurang jelas. Menguji lebih kerap, mendapatkan keputusan ujian lebih cepat, dan menggunakan ujian yang lebih tepat diramalkan akan memberi kesan yang lebih bermanfaat.

Langkah-langkah kawalan wabak (4 kajian pemerhatian; 3 kajian pemodelan)

Langkah-langkah ini dapat mengurangkan bilangan jangkitan dan risiko berlakunya wabak di fasiliti, tetapi bukti kerapkali adalah sangat tidak pasti.

Langkah-langkah gabungan (2 kajian pemerhatian; 1 kajian pemodelan)

Gabungan pelbagai langkah mungkin berkesan mengurangkan bilangan jangkitan dan kematian.

Apakah batasan bukti tersebut?

Keyakinan kami dalam keputusan-keputusan ini adalah terhad. Kebanyakan kajian menggunakan ramalan matematik berbanding data dunia nyata, dan kami tidak yakin andaian model itu adalah tepat. Kebanyakan kajian pemerhatian tidak menggunakan kaedah yang paling boleh percaya. Ini bermaksud kami tidak boleh yakin langkah-langkah tersebut menyebabkan kesan misalnya, menguji penghuni mengurangkan bilangan kematian.

Adakah bukti ini mutakhir?

Ulasan ini menyertakan kajian-kajian yang diterbitkan sehingga 22 Januari 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information