Suntikan lokal kortikosteroid berbanding pembedahan untuk sindrom carpal tunnel

Mesej utama

– Kami menemui bukti yang sangat tidak pasti tentang penambahbaikan gejala, fungsi dan kualiti hidup selepas rawatan dengan suntikan kortikosteroid atau pembedahan untuk sindrom carpal tunnel, yang mana kami tidak dapat membuat apa-apa kesimpulan.

– Kami tidak dapat menilai perbezaan dalam kesan tidak diingini, walaupun kesan tidak diingini yang serius adalah jarang.

– Kajian elektrik terhadap fungsi saraf mungkin sedikit bertambah baik selepas pembedahan berbanding selepas suntikan kortikosteroid pada susulan tiga bulan (pemantauan).

Apakah sindrom carpal tunnel?

Sindrom carpal tunnel adalah biasa di seluruh dunia. Gejala berlaku apabila saraf median di pergelangan tangan mengalami 'iritasi'. Ini menyebabkan kesakitan, kesemutan, kebas, dan kadangkala lemah dan kehilangan fungsi, terutamanya di tangan dan jari. Ia menjejaskan kualiti hidup seseorang dan mempunyai kos rawatan ketara dalam sistem kesihatan.

Bagaimana sindrom carpal tunnel dirawat?

Kortikosteroid adalah ubat yang mengurangkan keradangan dan bengkak. Suntikan kortikosteroid ke dalam terowong karpal (laluan sempit di pergelangan tangan yang dikelilingi oleh tulang dan ligamen pada bahagian tapak tangan) menjadi tumpuan rawatan gejala ringan atau sederhana. Walaupun suntikan ini jauh lebih murah daripada pembedahan, keberkesanannya dan tempoh kesannya adalah dipertikaikan. Pembedahan merupakan prosedur yang mudah dan cepat yang dilakukan dengan hanya menggunakan anestetik lokal (hanya kawasan pergelangan tangan yang dikebaskan).

Apa yang kami mahu lakukan?

Kami ingin membandingkan kelebihan suntikan setempat kortikosteroid ke dalam terowong karpal di pergelangan tangan dengan kelebihan pembedahan.

Apa yang kami lakukan?

Kami telah mencari kajian yang menilai kesan suntikan kortikosteroid pada gejala dan fungsi tangan dan pada penambahbaikan dalam ujian elektrik yang mengesan kerosakan saraf (dipanggil kajian pengaliran saraf). Kami juga melihat kepada kualiti hidup dan kesan tidak diingini sepanjang tempoh 12 bulan.

Apa yang kami temui?

Kami menemui tujuh kajian melibatkan 569 'tangan' dengan sindrom carpal tunnel ringan hingga sederhana . Kajian secara rawak membahagikan peserta kepada dua kumpulan. Satu kumpulan menerima satu suntikan kortikosteroid dan kumpulan yang lain menerima pembedahan.

Dalam setiap kajian, semua gejala bertambah baik dalam kedua-dua kumpulan pembedahan dan kortikosteroid selepas rawatan. Bukti membandingkan suntikan kortikosteroid dan pembedahan adalah sangat tidak pasti untuk membuat sebarang kesimpulan tentang perbezaan dalam gejala atau fungsi, kualiti hidup atau kesan tidak diingini. Pembedahan mungkin menambahbaik pengaliran saraf dalam tiga bulan berbanding selepas suntikan kortikosteroid, berdasarkan kajian elektrik, tetapi bukti ini juga adalah tidak pasti. Kesan sampingan yang serius adalah jarang, tetapi sekali lagi bukti adalah sangat tidak pasti untuk membuat kesimpulan.

Apakah batasan bukti?

Dalam semua kajian, peserta kajian dan penyedia penjagaan kesihatan sedar tentang rawatan dan jangkaan kesan pembedahan atau suntikan kortikosteroid mungkin mempengaruhi penilaian mereka terhadap keberkesanannya. Keputusan sangat berbeza antara kajian, mungkin kerana skop kajian yang kecil, dan dos dan jenis kortikosteroid adalah pelbagai, serta kaedah ukuran yang digunakan.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Kami mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga 26 Mei 2022.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini. Diterjemah oleh Afrina Ariff (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information