Mesej utama
• Kami tidak menemui bukti berkualiti tinggi tentang cara terbaik untuk mencegah jangkitan SARS-CoV-2 di tempat kerja. Kami menemui hanya satu kajian yang melaporkan keputusan, dan kami sangat tidak pasti tentangnya.
• Kajian yang lebih besar dan direka dengan baik diperlukan untuk lebih memahami manfaat dan mudarat pelbagai intervensi tempat kerja.
Pengenalan kepada topik ulasan
COVID-19 adalah penyakit pernafasan berjangkit yang telah merebak di seluruh dunia. Orang yang dijangkiti SARS-CoV-2 (sindrom pernafasan akut teruk coronavirus 2), virus yang menyebabkan COVID-19, boleh mengalami penyakit kritikal dan mungkin berisiko mati, terutamanya orang tua dan mereka yang mempunyai keadaan perubatan yang tersirat. Pelbagai intervensi yang cuba menghalang atau mengurangkan pendedahan pekerja kepada SARS-CoV-2 di tempat kerja telah dilaksana semasa pandemik.
Apakah yang kami ingin tahu?
Kami melihat kepada kesan intervensi-intervensi terhadap kadar jangkitan COVID-19, ketidakhadiran, kematian yang berkait dengan COVID-19, dan kejadian buruk.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian-kajian yang melihat kepada intervensi berdasarkan empat kategori berikut:
• penghapusan pendedahan (misalnya strategi pengasingan diri);
• kawalan kejuruteraan (misalnya halangan untuk memisahkan atau menjauhkan rakan sekerja, dan pekerja dari orang ramai);
• kawalan pentadbiran (misalnya bekerja dari rumah);
• kelengkapan perlindungan diri (misalnya penggunaan topeng muka atau jenis penutup muka lain).
Kami sertakan kajian-kajian sebarang pekerja di luar persekitaran penjagaan kesihatan. Kami tidak meletakkan sekatan ke atas bahasa atau tempoh penerbitan dalam carian kami.
Apakah yang kami temui?
Kami menyaring lebih 13,000 laporan pada fasa awal dan lebih 10,000 dalam ulasan kemaskini ini, dan sertakan dua kajian dengan sejumlah 16,014 peserta. Satu kajian dijalankan di England, UK dari 18 Mac 2021 hingga 27 Jun 2021, dan yang satu lagi di Sicily dan Calabria, Itali, dari 1 April 2020 hingga 31 Disember 2020. Kajian yang berpangkalan di UK (Young 2021) mendaftarkan lebih 24,000 pekerja. 76 sekolah di dalam kumpulan kawalan (pengasingan standard), kakitangan yang dianggap kontak COVID-19 melalui pengesanan kontak perlu pengasingan diri di rumah selama 10 hari. Di 86 sekolah dalam kumpulan intervensi (kehadiran berasaskan ujian), kakitangan yang dianggap sebagai kontak COVID-19 melalui pengesanan kontak tidak perlu pengasingan, sebaliknya mengambil ujian pantas harian (ujian antigen aliran sisi) selama tujuh hari. Jika ujian pantas negatif, kakitangan boleh pergi bekerja. Jika ujian pantas positif, kakitangan perlu pengasingan diri. Para penyelidik ingin tahu sama ada terdapat perbezaan dalam ketidakhadiran yang berkait dengan COVID di antara kedua-dua kaedah. Kajian Itali (Vitale 2022) dijalankan di dua syarikat runcit besar. Pekerja dari syarikat intervensi termasuk kerani jualan, pekerja gudang, dan tukang daging atau pembuat roti (n = 1987). Syarikat yang serupa bertindak sebagai kumpulan kawalan (n = 1798). Pekerja dalam kumpulan intervensi terpaksa tinggal di rumah atau meninggalkan kerja dengan segera sekiranya terdapat demam atau gejala seperti selesema, mengukur suhu badan dan ketepuan oksigen di bahagian masuk tempat kerja, dan diuji selepas berkontak rapat dengan kes COVID-19. Kumpulan kawalan mengikuti prosedur standard, yang melibatkan mengukur suhu badan di rumah dan membersihkan tempat kerja setelah kes COVID-19 disahkan. Kedua-dua kumpulan memakai kelengkapan perlindungan seperti sarung tangan atau topeng. Walau bagaimanapun, kajian itu tidak melaporkan sebarang keputusan yang diperlukan bagi ulasan ini.
Setelah menganalisis data dari Young 2021, kami tidak pasti sama ada strategi kehadiran berasaskan ujian mengubah kadar jangkitan COVID-19 (sebarang jangkitan; jangkitan simptomatik) berbanding pengasingan rutin selepas kontak dengan orang dengan COVID-19. Walau bagaimanapun, ketidakhadiran yang berkait dengan COVID-19 mungkin lebih rendah atau serupa dalam kumpulan kehadiran berasaskan ujian. Kami tidak pasti tentang penemuan ini, kerana bilangan jangkitan adalah sangat rendah dalam kalangan peserta. Kematian, kejadian buruk, kualiti hidup, dan kemasukan ke hospital tidak diukur. Tambahan pula, 71% kumpulan kehadiran berasaskan ujian mematuhi strategi; walau bagaimanapun, para penyelidik tidak melaporkan pematuhan untuk kumpulan pengasingan standard.
Kami mengenal pasti sejumlah lapan kajian yang sedang berlangsung. Tujuh kajian ini merancang untuk menangani kesan intervensi yang bertujuan untuk menghapus risiko dijangkiti, dan satu kajian bertujuan untuk menilai keberkesanan vaksin Bacillus Calmette-Guérin (rBCG) rekombinan dalam mencegah jangkitan COVID-19 dan mengurangkan keterukan penyakit.
Apakah batasan bukti?
Kami sangat sedikit atau sedikit yakin terhadap bukti kerana data yang hilang dan bilangan kajian yang tidak cukup untuk memastikan keputusan hasil kami.
Adakah bukti ini mutakhir?
Ulasan Cochrane ini adalah kemas kini ulasan asal yang diterbitkan pada Mei 2022. Untuk versi ulasan semasa kami telah mencari kajian sehingga 13 April 2023.
Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan mengenai terjemahan ini. Diterjemah oleh Cheryl Chan Zhi Ying (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia).