Apakah itu penutupan sudut primer akut?
Penutupan sudut primer akut adalah keadaan yang jarang ditemui disebabkan perubahan pada struktur di bahagian hadapan mata. Sudut saliran mata menyempit, lalu menghalang saliran keluar bendalir mata dan menyebabkan tekanan dalam mata meningkat (tekanan intraokular). Orang yang menghidap penyakit penutupan sudut primer akut mungkin mengalami sakit mata yang teruk, penglihatan kabur, kemerahan mata dan kekeruhan kornea (iaitu selaput depan mata yang jernih) secara tiba-tiba. Sekiranya penyakit ini tidak dirawat, keadaan ini boleh membawa kepada kebutaan akibat kerosakan kekal pada saraf di bahagian belakang mata.
Bagaimanakah penyakit penutupan sudut primer akut dirawat?
Penutupan sudut primer akut dirawat dengan mengurangkan tekanan di dalam mata dan membuka semula sudut saliran keluar. Tekanan dalam mata pada mulanya diturunkan menggunakan ubat topikal dan oral, yang diberikan untuk melindungi saraf di bahagian belakang mata. Sebaik sahaja episod awal stabil dan kornea menjadi lebih jernih, rawatan yang lebih tuntas diperlukan. Iridotomi periferi laser ialah rawatan yang telah lama bertapak menggunakan laser untuk menebuk lubang kecil pada bahagian iris (bahagian mata yang berwarna), untuk mengalihkan aliran bendalir di bahagian hadapan mata, lantas membolehkan halangan saliran terbuka. Kebelakangan ini, pendekatan pembuangan kanta (juga dipanggil katarak apabila ia menjadi keruh) dicadangkan sebagai rawatan kekal yang lebih berkesan untuk penyakit penutupan sudut primer akut. Ini kerana ianya juga mengurangkan kesesakan struktur di bahagian depan mata dan membuka semula sudut saliran keluar.
Apakah yang ingin dicari oleh pihak pengulas?
Kejadian penutupan sudut primer akut merupakan salah satu keadaan kecemasan mata dan dapat menyebabkan kehilangan penglihatan kekal jika tidak dirawat. Iridotomi periferi laser adalah rawatan yang berguna dan telah diketahui umum, tetapi walaupun pada awalnya tampaknya berkesan, sesetengah pesakit masih berisiko menghidap glaukoma kronik (iaitu penyakit mata yang merosakkan saraf optik) selepas serangan akut dirawat. Terdapat peningkatan minat terhadap pembuangan kanta untuk rawatan penyakit penutupan sudut primer yang lain (seperti glaukoma sudut tertutup kronik). Kami ingin mencari sama ada ini memberikan hasil yang lebih baik jika dibandingkan dengan rawatan standard iridotomi periferi laser dalam rawatan penyakit penutupan sudut primer akut, baik manfaat jangka pendek mahupun jangka panjang.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang membandingkan rawatan pembuangan kanta dengan iridotomi periferi laser untuk penyakit penutupan sudut primer akut. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian tersebut serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti metodologi dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui dua kajian yang melibatkan sejumlah 99 peserta dengan penutupan sudut primer akut. Kedua-dua kajian mengikuti peserta sehingga 24 bulan.
Apabila dibandingkan dengan terapi laser, bukti menunjukkan bahawa pembuangan kanta:
1. boleh meningkatkan perkadaran pesakit yang mempunyai tekanan intraokular terkawal pada 18 hingga 24 bulan;
2. boleh mengakibatkan pengurangan tekanan intraokular pada 12 bulan;
3. boleh mengakibatkan sedikit pengurangan dalam bilangan ubat penurun tekanan intraokular yang diperlukan pada 18 bulan, tetapi pengurangan ini mungkin tidak ketara dari segi klinikal;
4. mungkin selamat (bukti untuk kesimpulan ini adalah berdasarkan fakoemulsifikasi yang dilakukan oleh pakar bedah berpengalaman).
Apabila dibandingkan dengan terapi laser, tidak jelas sama ada pembuangan kanta:
1. mengurangkan perkadaran peserta yang mengalami satu atau lebih episod penutupan sudut primer akut berulang dalam tempoh 24 bulan;
2. mengurangkan keperluan untuk menjalani pembedahan penurun tekanan intraokular lanjutan dalam tempoh 24 bulan;
3. memperbaik penemuan pemeriksaan sudut saliran pada enam bulan.
Apakah batasan bukti?
Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti untuk pembuangan kanta dalam penutupan sudut primer akut kerana tidak semua kajian menyediakan data untuk semua hasil yang telah diputuskan oleh pihak penyelidik sebelum kajian bermula, atau penyelidik telah melaporkan data tentang hasil yang tidak ditetapkan sebelumnya lagi. Selain itu, kajian yang disertakan adalah sangat kecil, dan tiada bilangan kajian yang mencukupi untuk kepastian keputusan. Beberapa ciri metodologi kajian tertentu mungkin juga telah mengganggu kesan rawatan sama ada pembuangan kanta ataupun iridotomi periferi laser.
Sejauh manakah bukti terkini?
Bukti ini adalah terkini setakat 10 Januari 2022.
Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my).