Mesej utama
• Asid traneksamik, jika dibandingkan dengan plasebo (atau tiada ubat), boleh mengurangkan pemindahan darah, komplikasi pembedahan, dan tempoh penginapan pesakit di hospital selepas nefrolitotomi perkutaneus.
• Asid traneksamik, jika dibandingkan dengan plasebo (atau tiada ubat), boleh meningkatkan penyingkiran bahan batu berikutan nefrolitotomi perkutaneus tetapi boleh meningkatkan kesan ubat yang tidak diingini.
• Kami tidak tahu sama ada asid traneksamik menjejaskan risiko pembekuan darah terbentuk di bahagian badan yang lain berikutan nefrolitotomi perkutaneus
Apakah nefrolitotomi perkutaneus?
Nefrolitotomi perkutaneus adalah kaedah rawatan untuk batu karang yang lebih besar. Ia melibatkan pemotongan kulit, melebarkan laluan ke arah batu, dan menggunakan instrumen khusus (seperti laser) untuk memecahkan batu tersebut. Cecair irigasi digunakan untuk membersihkan darah dan membantu pakar urologi melihat dengan lebih baik. Walaupun kaedah ini bagus untuk membuang batu, ia juga boleh menyebabkan komplikasi, termasuk pendarahan, yang mungkin memerlukan pemindahan darah.
Apakah asid traneksamik?
Asid traneksamik adalah ubat yang boleh mengurangkan pendarahan dan, oleh itu, risiko pemindahan darah. Ia telah digunakan dalam rawatan masalah pendarahan dan untuk mengurangkan pendarahan dalam pembedahan jantung dan tulang/sendi. Ia mungkin berfaedah untuk menggunakan asid traneksamik semasa nefrolitotomi perkutaneus.
Apa yang kami ingin tahu?
Kami ingin mengetahui sama ada memberi asid traneksamik lebih baik (atau lebih teruk) daripada tidak memberi asid traneksamik. Hasil utama yang kami ingin tahu ialah tentang pemindahan darah, kesempurnaan penyingkiran batu, dan risiko pembekuan darah terbentuk di bahagian badan yang lain. Kami juga mengkaji kesan ubat yang tidak diingini, keperluan untuk lebih banyak prosedur melibatkan batu, komplikasi pembedahan besar dan kecil, kemasukan ke hospital yang tidak dirancang, dan tempoh tinggal di hospital.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari semua kajian di mana peserta mempunyai nefrolitotomi perkutaneus untuk batu besar, dan secara rawak menentukan sama ada mereka diberi asid traneksamik atau tidak. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang telah kami temui?
Kami menemui 10 kajian yang menggunakan asid traneksamik diberikan secara infusi melalui urat dan satu kajian yang menambahkan asid traneksamik kepada cecair irigasi. Berdasarkan kajian ini, asid traneksamik boleh mengurangkan pemindahan darah dan memperbaiki penyingkiran batu. Walau bagaimanapun, kita tidak tahu sama ada asid traneksamik menjejaskan pembekuan darah yang terbentuk di bahagian badan yang lain apabila diberikan secara infusi melalui urat, atau ditambah kepada cecair irigasi yang digunakan untuk nefrolitotomi perkutaneus.
Apakah batasan bukti?
Kami mempunyai keyakinan yang sedikit terhadap kebanyakan bukti-bukti tersebut, dan untuk beberapa keputusan, kami yakin dengan bukti-bukti dikemukakan. Sebab keyakinan yang rendah termasuklah kebimbangan sama ada peserta dalam kedua-dua kumpulan diurus dan dinilai dengan cara yang sama atau tidak. Juga, dalam beberapa keadaan, keputusan kajian yang disertakan adalah agak berbeza, kajian adalah kecil, atau tidak ada kajian yang mencukupi untuk memastikan kesannya.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 11 Mei 2023.
Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nurfarah Nazira Mazeri (RCSI & UCD Malaysia Campus). Disunting oleh Mohd. Shaharudin Shah Che Hamzah (Universiti Sains Malaysia).