Mesej utama
Kortikosteroid yang disedut (ubat anti-radang) yang diberikan melalui laluan sedutan oral dinilai untuk rawatan penyakit coronavirus 2019 (COVID-19).
Kami mengenalpasti tiga kajian yang diterbitkan untuk orang yang mempunyai penyakit ringan. Kortikosteroid yang disedut mungkin mengurangkan risiko orang pergi ke hospital atau kematian (kemasukan ke hospital atau kematian sebelum dimasukkan ke hospital). Kortikosteroid yang disedut boleh mengurangkan bilangan hari orang mengalami gejala COVID-19 yang ringan dan mungkin meningkatkan resolusi gejala COVID-19 pada hari ke-14. Ia mungkin memberikan sedikit atau tiada perbezaan kepada kematian akibat sebarang sebab, dan kami tidak mempunyai bukti yang mencukupi untuk mengetahui sama ada ia menyebabkan kemudaratan yang serius.
Tiada data untuk orang yang menghidap COVID-19 tanpa gejala (asimtomatik) atau orang yang mempunyai COVID-19 sederhana hingga teruk.
Kami menjumpai 10 kajian yang sedang berlangsung dan empat kajian yang telah selesai tetapi tidak diterbitkan. Kami akan mengemaskini ulasan ini apabila hasil dari mereka tersedia.
Apakah itu kortikosteroid yang disedut?
Kortikosteroid yang disedut adalah ubat-ubatan yang disedut ke dalam bahagian bawah saluran pernafasan melalui penyedut di mana ia mengurangkan keradangan dalam paru-paru. Ia biasanya digunakan untuk merawat penyakit pernafasan seperti asma dan penyakit pulmonari obstruktif kronik. Penggunaan jangka panjang dan teknik sedutan yang salah boleh menyebabkan kesan sampingan yang termasuk jangkitan mulut yang dipanggil kandidiasis, perubahan suara, dan peningkatan risiko jangkitan paru-paru. Teknik sedutan yang baik bermakna ubat tidak kekal di dalam mulut dan kerongkong.
Mengapakah kortikosteroid yang disedut berkemungkinan menjadi rawatan untuk COVID-19?
COVID-19 memberi kesan terutamanya pada paru-paru dan saluran pernafasan. Apabila sistem imun badan melawan virus tersebut, paru-paru dan saluran pernafasan menjadi radang. Keradangan ini menyebabkan kesukaran bernafas, dan paru-paru tidak dapat memindahkan oksigen dengan mudah ke dalam darah dan mengeluarkan karbon dioksida daripada darah.
Apakah yang kami ingin ketahui?
Orang ramai memerlukan lebih banyak pilihan rawatan yang lebih baik untuk jangkitan SARS-CoV-2 tanpa gejala (virus yang menyebabkan COVID-19) atau COVID-19 ringan, sederhana, atau teruk. Kami ingin mengetahui sama ada kortikosteroid yang disedut ialah pilihan rawatan yang berkesan dan membantu untuk COVID-19 dalam sebarang tetapan (contohnya, di rumah atau hospital) dan sama ada ia menyebabkan kesan yang tidak diingini.
Kami berminat dengan:
– kematian akibat sebarang sebab sehingga hari ke 30, hari ke 60, atau lebih lama jika dilaporkan;
– kemasukan ke hospital atau kematian dalam tempoh 30 hari;
– sama ada gejala diatasi dan seberapa cepat;
– kualiti hidup;
– kesan yang tidak diingini.
Apakah yang kami lakukan?
Kami mencari kajian di mana penyiasat membandingkan kortikosteroid yang disedut dan penjagaan biasa dengan penjagaan biasa sahaja, kadangkala sebagai tambahan kepada ubat tiruan yang tidak mengandungi sebarang bahan aktif (plasebo) tetapi diberikan dengan cara yang sama. Untuk membuat perbandingan yang paling tidak cenderung dan lebih adil, pesakit dalam kajian mesti mempunyai peluang rawak yang sama (seperti membalikkan syiling) untuk menerima kortikosteroid yang disedut atau rawatan lain. Kajian boleh merangkumi orang dari semua usia, jantina, atau etnik.
Kami membandingkan dan merumuskan keputusan-keputusan kajian dan menilai keyakinan bukti berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Tiga kajian membandingkan kortikosteroid yang disedut serta penjagaan biasa berbanding penjagaan biasa dengan atau tanpa plasebo pada orang dengan diagnosis sah COVID-19 ringan. Kajian ini menganalisis 2171 peserta yang kebanyakannya berumur lebih daripada 50 tahun dan dengan masalah perubatan yang lain, 52% daripada mereka adalah wanita, di mana 1057 menerima kortikosteroid yang disedut dalam analisis kami. Kami tidak menemui kajian yang melibatkan orang yang mengalami jangkitan tanpa gejala atau diagnosis sah COVID-19 sederhana hingga teruk.
Kami juga menemui 10 kajian yang sedang dijalankan, dan empat kajian yang telah selesai tanpa keputusan yang diterbitkan.
Keputusan utama
Semua kajian membandingkan kortikosteroid yang disedut dengan penjagaan biasa atau plasebo. Kajian tersebut hanya melibatkan orang yang mempunyai diagnosis sah jangkitan SARS-CoV-2 dan penyakit ringan. Tiada kajian yang melihat orang yang dimasukkan ke hospital atau orang yang mempunyai jangkitan SARS-CoV-2 tanpa gejala. Kortikosteroid yang disedut
– mungkin memberikan sedikit atau tiada perbezaan dalam kematian daripada sebarang sebab sehingga hari ke-30;
– mungkin mengurangkan risiko kemasukan ke hospital atau berlakunya kematian sehingga hari ke-30;
– mungkin meningkatkan penyelesaian gejala COVID-19 pada hari ke-14 dan mungkin mengurangkan masa untuk menyelesaikan gejala.
Kami sangat tidak pasti tentang kemungkinan perbezaan dalam kesan tidak diingini yang serius. Selain itu, kortikosteroid yang disedut mungkin mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan sebarang kesan yang tidak diingini atau jangkitan tambahan.
Apakah batasan bukti tersebut?
Kajian tersebut dijalankan pada populasi dari negara kaya, sebelum pelancaran program vaksinasi COVID-19. Kami mempunyai keyakinan sederhana terhadap bukti untuk hasil bagi penyelesaian gejala pada hari ke-14 dan kemasukan ke hospital. Kami mempunyai keyakinan yang rendah terhadap bukti untuk kesan ke atas kematian daripada sebarang sebab bagi orang yang mengalami COVID-19 ringan dan masa untuk penyelesaian gejala. Keyakinan terhadap kesan dan jangkitan yang tidak diingini atau serius yang tidak diingini adalah rendah atau sangat rendah, kerana perbezaan dalam cara penyiasat merekodkan dan melaporkan keputusan. Tiada bukti untuk orang yang mempunyai jangkitan tanpa gejala atau COVID-19 sederhana hingga teruk yang dimasukkan ke hospital.
Sejauh mana bukti ini terkini?
Bukti kami adalah terkini sehingga 7 Oktober 2021.
Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my