Sumber tekanan untuk tekanan saluran udara positif berterusan melalui hidung (CPAP) pada bayi pramatang

Mesej utama

Tekanan saluran udara positif berterusan gelembung (CPAP) boleh mengurangkan risiko kegagalan rawatan CPAP jika dibandingkan dengan CPAP yang dihantar oleh ventilator mekanikal atau Pemacu Aliran Bayi. Gelembung CPAP mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas risiko kematian atau komplikasi lain yang berkaitan dengan kelahiran pramatang tetapi berkemungkinan meningkatkan risiko kecederaan hidung sederhana-teruk. 

Apakah itu CPAP ?

CPAP ialah satu bentuk sokongan pernafasan yang boleh digunakan untuk menyokong pernafasan pada bayi lahir awal (pramatang) dengan masalah paru-paru. Pelbagai jenis mesin boleh memberikan CPAP, termasuk peranti gelembung dalam air (CPAP gelembung), ventilator mekanikal dan Pemacu Aliran Bayi. 

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin menentukan sama ada terdapat bukti untuk menyokong sistem gelembung berbanding sistem ventilator atau Pemacu Aliran Bayi untuk mengurangkan kadar kegagalan rawatan CPAP (keadaan bayi semakin teruk atau bayi memerlukan pengudaraan mekanikal) dan mengurangkan komplikasi dan bahaya.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari pangkalan data perubatan untuk kajian rawak terkawal (sejenis kajian di mana peserta dibahagikan secara rawak kepada satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) sehingga Januari 2023.

Apakah yang kami temui?

Kami menyertakan 15 kajian yang membandingkan penggunaan CPAP gelembung berbanding ventilator atau CPAP Pemacu Aliran Bayi dengan sejumlah 1437 bayi pramatang. Kebanyakannya kajian adalah kecil, dan mempunyai kelemahan reka bentuk yang boleh menyebabkan penemuan mereka berisiko untuk berat sebelah. 

Keputusan utama

Analisis gabungan menunjukkan bahawa menggunakan gelembung CPAP dan bukannya ventilator atau Pemacu Aliran Bayi CPAP boleh mengurangkan risiko kegagalan rawatan CPAP, tetapi gelembung CPAP itu mungkin tidak menjejaskan risiko kematian atau komplikasi pramatang lain. CPAP gelembung berkemungkinan meningkatkan risiko kecederaan hidung sederhana-teruk. Tiada kajian yang disertakan yang melihat kesan ke atas ketidakupayaan atau hasil perkembangan lain.

Apakah batasan bukti?

Kami menilai kepastian bukti untuk kesan gelembung berbanding ventilator atau Pemacu Aliran Bayi untuk CPAP pada bayi pramatang adalah rendah kerana kebimbangan bahawa kaedah yang digunakan dalam percubaan kajian yang disertakan mungkin telah menimbulkan berat sebelah, dan jumlah data yang terhad daripada percubaan (maksudnya keputusan kurang tepat). Oleh itu, keyakinan kami terhadap keputusan adalah terhad.

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemah oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).

Tools
Information