Adakah vaksinasi virus respiratori syncytial semasa hamil mengurangkan kemasukan ke hospital berkaitan dengan RSV dalam bayi?

Mesej-mesej utama

• Kajian-kajian dalam ulasan ini mencadangkan bahawa vaksinasi virus respiratori syncytial (RSV) semasa hamil mengurangkan kemasukan ke hospital berkaitan dengan RSV dalam bayi.
• Keputusan ini mencadangkan bahawa vaksinasi RSV semasa hamil mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap risiko kecacatan kelahiran dalam bayi dan mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap risiko sekatan pertumbuhan janin.
• Penyelidikan masa depan dalam bidang ini patut menfokus kepada kesan vaksinasi RSV semasa kehamilan tentang risiko kelahiran sebelum 37 minggu hamil, kematian bayi, kematian dalam kandungan, dan kematian maternal.

Apakah penyakit virus respiratori syncytial?

RSV adalah sebab utama jangkitan saluran pernafasan bawah (jangkitan paru-paru atau saluran pernafasan bawah kotak suara) dalam bayi. Pada tahun 2019, kira-kira 33 juta kanak-kanak bawah umur lima tahun mempunyai jangkitan saluran pernafasan bawah yang disebabkan oleh virus tersebut. RSV boleh merebak melalui titisan di udara atau melalui sentuhan langsung. Kanak-kanak dengan penyakit RSV boleh mempunyai gejala-gejala ringan seperti batuk, hidung berair, dan demam. Walau bagaimanapun, penyakit tersebut boleh berkembang menjadi bronchiolitis atau radang paru-paru. Setiap tahun, 3.6 juta bayi di seluruh dunia dimasukkan ke hospital dengan penyakit RSV yang teruk, dan banyak yang mati. Bayi bawah 6 bulan, terutamanya bayi baru lahir, adalah sangat terdedah kepada penyakit RSV yang teruk disebabkan oleh sistem imun mereka yang belum berkembang sepenuhnya.

Apakah vaksinasi maternal?

Kebiasaannya, semasa hamil, uri mengangkut antibodi daripada saluran darah ibu kepada janin. Vaksinasi semasa hamil bertujuan untuk meningkatkan tahap antibodi dalam pada ibu. Dengan cara ini, lebih tinggi jumlah antibodi dipindahkan ke janin, memberikan imuniti pasif sementara.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada vaksinasi RSV semasa hamil lebih baik berbanding dengan tiada rawatan atau plasebo (rawatan dummy) untuk mencegah kemasukan ke hospital disebabkan penyakit RSV dalam bayi. Kami juga ingin mengetahui sama ada vaksinasi RSV semasa hamil adalah selamat untuk ibu dan bayi mereka, dengan melihat sama ada ianya mempunyai kesan terhadap sekatan pertumbuhan janin, kematian dalam kandungan, kematian maternal, kematian bayi pramatang, kecacatan masa kelahiran, dan kematian bayi.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami telah mencari kajian-kajian yang membandingkan vaksinasi RSV dengan tiada rawatan atau plasebo semasa hamil. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan dan menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah-kaedah kajian.

Apakah yang telah kami temui?

Kami telah menemui enam kajian yang membandingkan vaksinasi RSV dengan plasebo dalam jumlah 17,991 ibu-ibu mengandung. Kajian-kajian tersebut berlangsung antara 90 hari dan 365 hari dan berlaku di beberapa negara di seluruh dunia (Amerika Syarikat adalah negara yang paling kerap). Semua kajian telah ditaja oleh syarikat farmaseutikal. Ibu-ibu mengandung berumur sehingga 49 tahun. Pemilihan waktu vaksinasi adalah berbeza, dari 24 minggu sehingga 36 minggu hamil.

Bukti daripada empat kajian menunjukkan bahawa vaksinasi RSV semasa hamil mengurangkan jumlah bayi dimasukkan ke hospital dengan penyakit RSV. Untuk setiap 1000 ibu-ibu mengandung yang menerima vaksinasi, 11 bayi akan dimasukkan ke hospital dengan penyakit RSV, berbanding dengan 22 bayi dalam setiap 1000 wanita yang menerima plasebo.

Bukti daripada empat kajian menunjukkan bahawa vaksinasi RSV mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap risiko kecacatan semasa kelahiran dan boleh mempunyai sedikit atau tiada kesan terhadap risiko sekatan pertumbuhan janin. Tiada kebimbangan keselamatan tentang risiko kematian dalam kandungan, kematian maternal, dan kematian bayi, tetapi keputusan tersebut adalah kurang pasti. Vaksinasi RSV semasa hamil mungkin meningkatkan risiko kelahiran pramatang, tetapi keputusan tersebut adalah kurang pasti. Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk memberikan keputusan yang lebih jelas dan menyiasat kemungkinan punca-punca tersebut.

Apakah batasan bukti?

Kami sangat yakin bahawa vaksinasi RSV semasa hamil mengurangkan kemasukan bayi ke hospital dan tidak meningkatkan kecacatan kelahiran. Kami kurang yakin terhadap penemuan yang lain disebabkan sesetengah kajian dijalankan dengan lemah, dan bukti adalah berdasarkan kepada beberapa peristiwa-peristiwa sahaja.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti ini adalah terkini sehingga 27 Julai 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.

Tools
Information