Suntikan steroid tempatan untuk sindrom carpal tunnel

Mesej utama

Suntikan kortikosteroid ke dalam pergelangan tangan mungkin memperbaiki gejala sindrom carpal tunnel (mampatan saraf di pergelangan tangan) dan fungsi tangan sehingga enam bulan. Penilaian kualiti hidup, dan ujian pengaliran saraf yang diukur sehingga tiga bulan selepas suntikan, juga mungkin bertambah baik. Suntikan kortikosteroid boleh mengurangkan keperluan untuk pembedahan, dinilai pada satu tahun susulan. Kesan sampingan nampaknya jarang berlaku. Walau bagaimanapun, penambahbaikan spontan tanpa rawatan boleh berlaku sehingga satu pertiga orang.

Apakah sindrom carpal tunnel?

Sindrom carpal tunnel adalah sangat biasa di seluruh dunia, menjejaskan kualiti hidup orang ramai dan mempunyai kos kewangan yang besar untuk sistem kesihatan. Gejala berlaku apabila saraf median di pergelangan tangan menjadi 'radang', yang menyebabkan kesakitan, kesemutan, kebas, dan kadang-kadang kelemahan dan kehilangan fungsi, terutamanya di tangan dan jari.

Bagaimana sindrom carpal tunnel dirawat?

Kortikosteroid adalah ubat yang mengurangkan keradangan dan bengkak. Suntikan kortikosteroid ke dalam carpal tunnel (laluan sempit yang dikelilingi oleh tulang dan ligamen pada bahagian tapak tangan) cenderung digunakan untuk gejala ringan atau sederhana dan jauh lebih murah daripada pembedahan, tetapi keberkesanannya dan berapa lama sebarang kesan bertahan dipertikaikan. .

Apa yang kami mahu lakukan?

Kami ingin mengetahui sama ada suntikan kortikosteroid tempatan ('steroid') ke dalam carpal tunnel di pergelangan tangan memberi manfaat kepada penghidap sindrom carpal tunnel. Penulis ulasan telah mengumpul dan menganalisis semua kajian yang berkaitan untuk menjawab soalan ini dan menemui 14 kajian.

Apa yang kami buat?

Kami mencari pangkalan data perubatan untuk kajian yang menilai kesan suntikan kortikosteroid tempatan pada gejala dan fungsi tangan dan pada penambahbaikan dalam ujian elektrik untuk kerosakan saraf (dipanggil kajian pengaliran saraf) sehingga enam bulan selepas suntikan. Kami juga melihat keperluan untuk pembedahan, kualiti hidup dan kesan sampingan sehingga 12 bulan.

Apa yang kami dapati?

Kami menemui sembilan kajian yang melibatkan 639 orang yang dijalankan di klinik berasaskan hospital di seluruh Amerika Utara, Eropah, dan Timur Tengah. Kajian mengecualikan orang yang mempunyai keadaan asas yang sering berlaku dengan sindrom carpal tunnel, seperti arthritis dan diabetes, dan semua peserta mempunyai penyakit 'ringan' atau 'sederhana' di carpal tunnel.

Suntikan kortikosteroid setempat mungkin memperbaiki gejala dan fungsi tangan sehingga tiga bulan. Suntikan kortikosteroid setempat mungkin meningkatkan pengaliran saraf. Kualiti hidup sehingga tiga bulan mungkin bertambah baik dan mungkin terdapat pengurangan keperluan untuk pembedahan pada satu tahun. Kadar komplikasi yang serius adalah sangat rendah tetapi hanya 66% daripada kajian melaporkannya.

Apakah batasan bukti?

Suntikan kortikosteroid mungkin berfungsi lebih baik atau lebih teruk pada orang yang mempunyai penyakit yang lebih teruk atau dengan keadaan lain seperti kencing manis. Kami tidak boleh mengatakan kerana mereka biasanya tidak termasuk dalam kajian.

Sejauh manakah ulasan ini terkini?

Penulis ulasan mencari kajian yang telah diterbitkan sehingga 26 Mei 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Wan Anisa Hanim Binti Mohd Nasir@Azman (Klinik Pergigian Kok Lanas). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information