Peralatan pelindung diri di tempat kerja perobohan asbestos

Mesej utama

Kepekatan asbestos di dalam perlindungan pernafasan sepatutnya di bawah had pendedahan pekerjaan.
Hanya topeng udara dengan bekalan udara pernafasan bersih boleh mengurangkan pendedahan pekerja kepada asbestos kepada di bawah had pendedahan pekerjaan yang dicadangkan (0.01 gentian/cm 3 udara) tanpa mengira kepekatan asbestos dalam persekitaran.

Mengapa penting untuk mengurangkan pendedahan kepada asbestos?

Asbestos ialah mineral dengan sifat pengasingan yang baik dan rintangan api yang tinggi. Walau bagaimanapun, asbestos apabila disedut, boleh mengakibatkan beberapa penyakit, termasuk kanser yang berbeza. Memandangkan sukar untuk menghalang penyedutan, kebanyakkan negara telah mengharamkan asbestos. Walau bagaimanapun, para pekerja yang mengeluarkan asbestos dari bangunan adalah terdedah kepadanya. Dalam keadaan ini, peralatan pelindung diri (PPE) hampir selalu diperlukan untuk mengurangkan pendedahan kepada asbestos.

Had pendedahan perkerjaan

Kebanyakkan negara mempunyai had pendedahan pekerjaan (OEL) untuk melindungi pekerja daripada asbestos. Jika kepekatan asbestos di tempat kerja melebihi had, pekerja diwajibkan memakai PPE. Jenis PPE yang paling penting untuk para pekerja yang mengendalikan asbestos ialah peralatan pelindung pernafasan (RPE), seperti topeng muka. OEL Kesatuan Eropah (EU) semasa ialah 0.1 gentian bagi setiap sentimeter padu udara (f/cm 3 ), tetapi terdapat cadangan untuk OEL EU baharu yang 10 kali lebih rendah.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada PPE mengurangkan pendedahan pekerja kepada asbestos kepada di bawah OEL semasa dan yang dicadangkan, dan sama ada PPE mempunyai sebarang kesan yang tidak diingini. Selain daripada PPE itu sendiri, kami ingin mengetahui kesan latihan atau pendidikan terhadap pemakaian (memakai) dan penanggalan (menanggalkan) PPE.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang menilai kesan PPE terhadap pendedahan kepada asbestos di dalam PPE dan selepas penanggalan PPE. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian-kajian tersebut dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang telah kami temui?

Kami memasukkan enam kajian yang membandingkan kepekatan asbestos dalam RPE dengan kepekatan luar yang sepadan. Kajian-kajian ini melibatkan antara tiga dan 25 pekerja. Dua daripada kajian ini menilai topeng muka penuh yang dilengkapi dengan penapis, tiga kajian mengkaji alat pernafasan dengan unit motor untuk menapis udara (PAPR), dan dua kajian mengkaji alat pernafasan dengan bekalan udara pernafasan bersih (SAR). Kami juga memasukkan satu kajian yang membandingkan kesan pemakaian pakaian pelindungan yang berbeza pada suhu badan dalam kalangan 11 pekerja. Kami tidak menemui sebarang kajian yang menilai pendedahan para pekerja kepada asbestos selepas penanggalan PPE, dan tiada kajian yang menilai intervensi untuk meningkatkan pematuhan prosedur pemakaian dan penanggalan dan peraturan yang lain.

Keputusan utama

Jika kepekatan asbestos dalam persekitaran adalah di bawah 10 f/cm 3 , topeng muka penuh boleh mengurangkan pendedahan pekerja kepada asbestos di bawah OEL EU semasa iaitu 0.1 f/cm 3 . Di mana kepekatan asbestos luar adalah 10 f/cm 3 atau lebih tinggi, topeng muka penuh mungkin tidak dapat memberikan perlindungan yang secukupnya. Kami tidak dapat menilai sama ada topeng muka penuh boleh mengurangkan pendedahan asbestos kepada kadar lebih rendah daripada OEL yang dicadangkan iaitu 0.01 f/cm 3 .

SAR mungkin mengurangkan pendedahan pekerja kepada asbestos kepada di bawah OEL EU semasa dan yang dicadangkan di mana kepekatan asbestos luar adalah di bawah 100 f/cm 3 . Tiada maklumat yang mencukupi untuk kami menilai keberkesanan SAR pada kepekatan luar yang lebih tinggi.

PAPR mungkin boleh mengurangkan pendedahan para pekerja kepada asbestos kepada kadar lebih rendah daripada OEL EU semasa di mana kepekatan luar adalah di bawah 10 f/cm 3 , tetapi tidak pada kepekatan yang lebih tinggi. PAPR mungkin boleh mengurangkan kepekatan asbestos kepada kadar lebih rendah daripada OEL EU yang dicadangkan sebanyak 0.01 f/cm 3 apabila kepekatan luar adalah di bawah 0.1 f/cm 3 .

Sut polietilena (Tyvek) boleh meningkatkan suhu badan lebih daripada sut polivinil (Mururoa) berventilasi, tetapi kenaikan suhu seharusnya tidak mendatangkan kesan kepada kesihatan.

Apakah batasan bukti?

Batasan utama bukti ialah kajian-kajian tersebut tidak secara langsung membandingkan pelbagai jenis peralatan perlindungan yang dipakai oleh pekerja yang sama dalam persekitaran yang sama. Selain itu, keputusan juga tidak tepat kerana kajian-kajian tersebut hanya menyertakan beberapa orang peserta.

Terdapat maklumat terhad dalam kajian tentang ciri-ciri dan tingkah laku individu pekerja, dan mengenai prosedur pemakaian dan penanggalan PPE. Lebih banyak kajian perlu dilakukan untuk menilai kesan faktor- faktor ini.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 15 September 2022.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (IMU University). Disunting oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA).

Tools
Information