Mesh atau tiada mesh: apakah yang paling berkesan untuk hernia pangkal paha (bengkak atau benjolan di kawasan pangkal paha) yang memerlukan pembedahan kecemasan?

Mesej utama

• Secara keseluruhan, kami tidak pasti tentang kesan meletakkan mesh semasa pembedahan kecemasan pada orang yang mengalami hernia pangkal paha.

• Kualiti kajian yang lemah dan kekurangan bilangan orang yang terlibat tidak membenarkan kami membuat sebarang kesimpulan yang kukuh.

Apakah hernia pangkal paha kecemasan?

Hernia pangkal paha adalah bonjolan yang menonjol melalui kelemahan pada dinding perut di kawasan groin. Ia adalah keadaan pembedahan biasa pada kedua-dua lelaki dan wanita, tetapi terutamanya lebih meluas di kalangan lelaki, menjejaskan lebih satu daripada empat lelaki. Komplikasi hernia yang jarang berlaku tetapi berbahaya berlaku jika bekalan darah ke kandungan hernia terjejas (cekik) akibat usus atau kandungan lain tersekat dalam pembukaan hernia (pemenjaraan). Keadaan ini secara klinikal diiktiraf oleh kesakitan di kawasan pangkal paha yang dialami secara tiba-tiba, kadangkala juga menyebabkan loya, muntah dan ketidakselesaan yang teruk. Orang yang mengalami hernia pangkal paha memerlukan rawatan pembedahan segera untuk mengelakkan kecederaan yang kekal pada usus, jika pengurangan secara manual tidak berjaya.

Bagaimanakah hernia pangkal paha kecemasan dirawat?

Tidak ada persetujuan mengenai kaedah pembedahan yang terbaik untuk merawat hernia pangkal paha kecemasan. Pertama, bonjolan dengan tisu (sama ada tisu lemak atau usus) perlu dikembalikan ke rongga perut dan bekalan darah usus perlu dipulihkan supaya ia tidak mati. Kedua, kelemahan pada dinding perut perlu diperbaiki. Secara umumnya, ini boleh dilakukan dengan meletakkan mesh atau menggunakan jahitan sahaja (bukan mesh). Mesh adalah jaring pembedahan yang diletakkan di dinding perut di mana kelemahan berlaku, bertujuan untuk menguatkannya. Kaedah pembedahan yang berbeza untuk hernia pangkal paha dirujuk sebagai 'pembaikan hernia'. Walaupun mesh adalah standard emas untuk pembedahan hernia pangkal paha yang dirancang, peranannya dalam pembedahan kecemasan adalah dibahaskan. Teorinya ialah menanam badan asing (mesh) boleh meningkatkan risiko jangkitan berikutan pembedahan hernia pangkal paha kecemasan, yang berpotensi memihak kepada pembaikan hernia bukan mesh, tetapi teori ini masih belum disahkan.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada pembaikan hernia mesh berbeza daripada pembaikan hernia bukan mesh dari segi jangkitan yang berkaitan dengan luka pembedahan, kematian selepas pembedahan, kepulangan hernia (berulang), dan komplikasi. Kami juga ingin melihat berapa banyak mesh yang kemudiannya dikeluarkan akibat komplikasi.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang mengkaji mesh berbanding dengan pembaikan hernia bukan mesh pada orang dewasa yang memerlukan pembedahan kecemasan untuk hernia pangkal paha mereka.

Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian tersebut. Kami menilai keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kualiti kajian dan bilangan peserta.

Apakah yang kami temui?

Kami mendapati 15 kajian melibatkan 1241 orang, di mana 626 menerima pembaikan mesh, dan 615 menerima pembaikan hernia bukan mesh. Kebanyakan kajian dijalankan di China (10 kajian), dan kajian selebihnya dijalankan di Timur Tengah dan Asia Selatan. Kajian ini berlangsung dari 11 bulan hingga lebih 11 tahun.

Kami mendapati bahawa pembaikan hernia mesh mungkin tidak menjejaskan risiko jangkitan luka atau kematian dalam tempoh 30 hari selepas pembedahan jika dibandingkan dengan pembaikan hernia bukan mesh.

Tiada hernia dikembalikan dalam masa 30 hari. Sesetengah hernia kembali selepas setahun selepas pembaikan, tetapi analisis tidak menemui sebarang perbezaan dalam risiko ini antara pembaikan hernia mesh dan bukan mesh.

Tiada mesh dikeluarkan dalam masa 30 hari selepas pembaikan dalam kes hernia pangkal paha kecemasan yang paling teruk tetapi, berdasarkan satu kajian, satu daripada 15 mesh telah dikeluarkan dalam kes yang lebih teruk.

Apakah kelemahan bukti ini?

Terdapat batasan ketara bukti, oleh itu kami tidak boleh membuat kesimpulan yang kukuh. Pertama, kami tidak pasti tentang bukti oleh kerana kualiti keseluruhan kajian yang disertakan adalah sangat rendah. Selain itu, kami tidak dapat mencari data tentang semua yang ingin kami ketahui, dan beberapa kajian yang melaporkan perkara yang kami minati, malangnya terlalu kecil untuk menunjukkan sebarang potensi perbezaan dalam kesan rawatan.

Adakah ini bukti yang terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2022.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia).

Tools
Information