Apakah faedah dan risiko ubat yang berbeza untuk penyakit Ménière?

Mesej utama

Disebabkan kekurangan bukti yang kukuh, masih ada keraguan sama ada ubat (pil) yang digunakan untuk merawat penyakit Ménière berkesan dalam melegakan gejala para pesakit, walaupun penggunaan ubat-ubat tersebut sudah digunakan secara rutin dalam praktis klinikal. Apabila digunakan untuk keadaan lain, ubat ini dapat mendatangkan kesan sampingan. Walau bagaimanapun, terdapat terlalu sedikit maklumat daripada kajian penyakit Ménière untuk kita mengetahui sama ada terdapat risiko serius yang disebabkan cara rawatan ini.

Kajian yang lebih besar dan yang dijalankan dengan teliti diperlukan untuk mengenal pasti sama ada sesetengah ubat tersebut berkesan, dan menilai sama ada ubat tersebut mempunyai sebarang kesan berbahaya. 

Kajian lanjut juga perlu dilakukan untuk mengetahui cara yang terbaik untuk mengukur keterukkan gejala penghidap penyakit Ménière, bagi menaksir sama ada rawatan yang diberikan berfaedah atau tidak. Ini harus sertakan pembangunan 'set hasil teras' - senarai perkara yang harus diukur dalam semua kajian tentang penyakit Ménière. 

Apakah penyakit Ménière?

Penyakit Ménière adalah keadaan yang mempengaruhi telinga dalam. Ia menyebabkan serangan pening yang berulang atau vertigo (rasa berputar), bersama-sama dengan masalah pendengaran, tinnitus (bunyi seperti loceng, berdengung atau berdesing di telinga) dan rasa penuh atau tekanan di dalam telinga. Ia biasanya melibatkan orang dewasa, dan bermula pada usia setengah abad. 

Bagaimanakah penyakit Ménière dirawat?

Ubat oral (pil) sering digunakan sebagai rawatan barisan pertama untuk penyakit Ménière. Ubat-ubatan seperti betahistine dan diuretik biasanya digunakan, tetapi rawatan lain juga telah digunakan, termasuk kortikosteroid dan rawatan antivirus. Pilihan rawatan lain juga tersedia (contohnya, suntikan ke dalam telinga atau pembedahan).

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui:

- sama ada terdapat bukti bahawa sebarang ubat oral yang berkesan dalam mengurangkan simptom penyakit Ménière;

- sama ada ubat-ubat tersebut boleh mendatangkan sebarang kemudaratan.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan pelbagai jenis rawatan sama ada tanpa rawatan atau rawatan palsu (plasebo). 

Apakah yang telah kami temui?

Kami mengenalpasti 10 kajian, yang melibatkan sejumlah 848 orang. Tempoh kajian itu berlangsung antara sesingkat tiga bulan sehingga selama dua tahun. Kebanyakan kajian melihat rawatan betahistine, dua kajian menyiasat keberkesanan diuretik, satu menyelidiki penggunaan kortikosteroid dan satu lagi meneliti rawatan menggunakan ubat antivirus. 

Betahistine

Tidak jelas sama ada betahistine berkesan untuk melegakan gejala vertigo. Masih juga ada keraguan sama ada betahistine dapat menyebabkan sebarang kemudaratan. Walaupun kami menemui beberapa kajian, ramai yang tidak melaporkan perkara yang kami minati, atau melaporkannya pada masa yang sangat berbeza, jadi kami tidak dapat menggabungkan keputusan yang berbeza untuk mendapatkan jawapan yang lebih tepat. 

Diuretik

Tidak jelas sama ada diuretik mempunyai kesan ke atas gejala vertigo. Kami tidak menemui kajian yang melaporkan risiko bahaya daripada rawatan ini. 

Antiviral dan kortikosteroid

Untuk setiap satu agen tersebut, kami hanya menemui satu kajian kecil yang meneliti rawatan ini, jadi kami sangat tidak pasti sama ada ubat-ubat tersebut mempunyai sebarang kesan dalam rawatan vertigo. 

Apakah batasan bukti?

Kami hanya menaruh keyakinan rendah terhadap bukti kerana kebanyakan kajian yang dijalankan adalah sangat kecil dan mempunyai masalah dalam perkaedahan mereka, dan hal ini bererti bahawa keputusannya mungkin tidak boleh diandalkan. Hal ini mungkin amat mengejutkan kerana beberapa ubat ini sudah digunakan secara meluas untuk merawat penyakit Ménière. Namun demikian, kajian yang lebih besar dan yang dijalankan dengan kaedah yang baik diperlukan untuk menguji dan menentukan sejauh mana keberkesanan ubat-ubat ini. 

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga September 2022. 

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USMKK). Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information