Mesej utama
Keberkesanan sebarang ubat-ubatan dalam mencegah serangan migrain vestibular masih tidak diketahui.
Terdapat sangat sedikit kajian yang menilai manfaat dan kemudaratan pengambilan ubat-ubatan untuk mencegah serangan migrain. Kajian yang ada adalah kecil dan keputusannya tidak dapat disimpulkan.
Kajian lanjut diperlukan dalam bidang ini bagi menentukan sama ada terdapat sebarang rawatan yang boleh menambahbaik keadaan ini.
Apakah migrain vestibular?
Migrain (kadang-kala dikenali sebagai 'migrain sakit kepala') merupakan satu keadaan biasa yang menyebabkan sakit kepala yang berulang. Migrain vestibular ialah satu keadaan yang simptom utamanya ialah episod pening kepala teruk yang berulang atau vertigo (rasa berputar). Episod tersebut sering dikaitkan dengan sakit kepala atau simpton seakan-akan migrain yang lain (seperti sensitiviti terhadap cahaya atau bunyi, loya dan muntah). Ia merupakan satu keadaan biasa yang menjejaskan sehingga 1 dalam setiap 100 orang dan boleh memberi kesan yang teruk pada kehidupan seharian.
Bagaimanakah migrain vestibular dirawat?
Pelan rawatan biasa termasuk ubat-ubatan yang membantu untuk menghentikan serangan vertigo sebaik sahaja ia bermula ataupun untuk mengurangkan simptom tersebut. Di samping itu, individu yang terbabit boleh menggunakan rawatan yang bertujuan untuk mencegah serangan daripada berlaku (rawatan profilaksis atau pencegahan). Tiada rawatan yang disyorkan secara meluas untuk mencegah atau merawat simptom serangan migrain vestibular. Individu terlibat kadangkala dinasihatkan untuk mengambil ubat-ubatan yang digunakan bagi merawat migrain sakit kepala. Terdapat andaian bahawa ubat-ubatan ini juga boleh merawat migrain vestibular.
Apakah yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui:
- sama ada terdapat bukti sebarang ubat-ubatan yang berfungsi untuk mencegah serangan migrain vestibular atau mengurangkan simptom-simptom apabila serangan berlaku;
- sama ada rawatan tersebut boleh menyebabkan sebarang kemudaratan.
Apakah yang kami lakukan?
Kami membuat carian terhadap kajian tyang melibatkan orang dewasa yang membandingkan ubat-ubatan yang berbeza dengan tanpa rawatan atau rawatan plasebo (palsu). Kami menggunakan kaedah standard untuk menilai tahap kepastian bukti. Kami menilai tahap keyakinan terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah kajian, bilangan peserta yang terlibat dan konsistensi penemuan merentasi kajian-kajian yang terlibat.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui tiga kajian yang melibatkan sejumlah 209 orang (65% wanita). Kajian ini melihat kepada dua jenis ubatan yang berbeza bagi menilai sama ada ia mungkin membantu dalam mencegah serangan migrain vestibular atau mengurangkan simptom apabila berlaku serangan migrain.
Beta-blockers
Kajian pertama melihat kepada penggunaan ubat yang dipanggil metoprolol, sejenis tablet yang diambil sekali sehari. Metoprolol tergolong dalam kumpulan ubat yang dikenali sebagai beta-blockers. Ubat-ubatan ini sering digunakan untuk merawat tekanan darah tinggi tetapi ianya juga digunakan untuk mencegah serangan migrain sakit kepala. Sebarang perbezaan terhadap kekerapan serangan vertigo atau kaitan dengan sebarang kesan mudarat yang serius selepas pengambilan ubat ini tidak jelas.
Calcium channel blockers
Dua kajian yang lebih kecil menilai penggunaan flunarizine, sejenis tablet yang diambil sekali sehari. Ubat ini tergolong dalam kumpulan ubat yang dikenali sebagai calcium channel blockers. Sama seperti sebelum ini, ubat-ubatan ini biasanya digunakan untuk mengawal tekanan darah tinggi dan juga untuk migrain sakit kepala. Pengurangan simptom dan perubahan terhadap kekerapan serangan vertigo dalam individu yang mengambil ubat ini walau bagaimanapun adalah tidak jelas. Kajian-kajian tersebut tidak melaporkan kemudaratan rawatan yang serius, maka sebarang kemungkinan risiko yang berkaitan dengan pengambilan ubat ini tidak diketahui.
Apakah kelemahan bukti?
Keyakinan kami terhadap bukti yang ada sangat rendah memandangkan ketiga-tiga kajian yang dijalankan adalah kecil. Terdapat juga beberapa masalah dengan kaedah pengendalian kajian yang mengakibatkan keputusan yang diperoleh mungkin tidak boleh dipercayai. Ubat-ubatan ini sering digunakan untuk masalah lain yang kaitannya dengan beberapa kesan sampingan telah diketahui. Walau bagaimanapun, kami tidak dapat mengenalpasti maklumat yang mencukupi dalam ulasan ini bagi mengetahui sama ada kesan sampingan ini menjadi satu masalah apabila rawatan tersebut digunakan untuk migrain vestibular.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga September 2022.
Diterjemah oleh Siti Sarah Fazalul Rahiman (Universiti Sains Malaysia). Disunting oleh Rosnani Zakaria (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my