Adakah menggunakan pengganti garam rendah sodium (LSSS) dan bukannya garam biasa mengurangkan tekanan darah dan risiko penyakit jantung, dan adakah ia selamat?

Mesej utama

• Pada orang dewasa, penggunaan LSSS dan bukannya garam biasa dalam makanan mungkin merendahkan sedikit tekanan darah. Orang dewasa yang menggunakan LSSS dan bukannya garam biasa mungkin kurang berisiko mengalami keadaan jantung yang tidak membawa maut, seperti angin ahmar atau aliran darah yang berkurangan secara tiba-tiba ke jantung, dan kematian akibat penyakit jantung.

• Penggunaan LSSS dan bukannya garam biasa mungkin juga meningkatkan sedikit paras potassium darah (mineral yang mengekalkan degupan jantung anda pada kadar yang betul) pada orang dewasa. Ini boleh membahayakan orang yang tidak dapat mengawal potassium dalam badan mereka dengan berkesan. Bukti lain mengenai keselamatan adalah sangat terhad.

• Kami tidak pasti tentang kesan penggunaan LSSS dan bukannya garam biasa pada tekanan darah kanak-kanak, atau sama ada penggunaan LSSS adalah selamat untuk kanak-kanak.

• Bukti ini mungkin tidak terpakai secara langsung kepada orang yang diketahui berisiko potassium tinggi dalam darah, seperti pesakit masalah buah pinggang atau yang mengambil ubat tertentu.

Apakah pengganti garam rendah sodium (LSSS)?

LSSS adalah produk yang mempunyai kandungan sodium yang kurang berbanding dengan garam biasa. Jumlah sodium dalam LSSS diturunkan dengan menggantikan sebahagian daripada sodium dengan potassium atau mineral yang lain. LSSS boleh membantu mengurangkan risiko menggunakan garam biasa, kerana makan banyak sodium dan tidak cukup potassium menyumbang kepada tekanan darah tinggi. Di peringkat global, tekanan darah tinggi adalah punca terbesar kematian yang boleh dicegah, terutamanya kerana ia menyebabkan angin ahmar, sindrom koronari akut (ACS; di mana kurang darah mengalir ke jantung) dan masalah buah pinggang.

Walau bagaimanapun, LSSS juga mempunyai potensi risiko kesihatan. Penggunaan LSSS boleh menyebabkan potassium darah lebih tinggi daripada biasa (hiperkalaemia), yang menyebabkan masalah dengan kelajuan dan irama degupan jantung, atau boleh mengakibatkan jantung berhenti. Risiko ini lebih besar pada individu tertentu, contohnya, mereka yang buah pinggangnya tidak berfungsi dengan baik untuk mengeluarkan potassium.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui apakah kesan penggunaan LSSS dan bukannya garam biasa terhadap tekanan darah serta kejadian (angin ahmar dan ACS) dan kematian penyakit jantung. Kami juga ingin mengetahui sama ada penggunaan LSSS dan bukannya garam biasa adalah selamat, baik dalam populasi umum dan pada orang yang diketahui berisiko paras potassium tinggi dalam darah.

Kami ingin mengetahui perkara ini untuk orang dewasa, kanak-kanak dan wanita hamil.

Apa yang kami buat?
Kami mencari lima pangkalan data elektronik dan pendaftaran ujian untuk kajian yang membandingkan penggunaan LSSS dengan penggunaan garam biasa. Kami membandingkan dan meringkaskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti gabungan, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami dapati?

Kami mendapati 26 ujian* melibatkan 34,961 orang dewasa dan 92 kanak-kanak. Tiada kajian terhadap wanita hamil ditemui. Kebanyakan kajian dijalankan di kawasan luar bandar atau pinggir bandar, dengan lebih separuh dilakukan di negara berpendapatan rendah dan sederhana. Kebanyakan kajian menyertakan penghidap tekanan darah tinggi (22); yang terbesar menyertakan hanya orang yang mempunyai risiko tinggi angin ahmar. Tujuh kajian telah dilakukan pada orang yang berisiko potassium tinggi dalam darah. Semua kajian mengecualikan orang yang pengambilan potassium tinggi diketahui berbahaya, seperti penghidap masalah buah pinggang atau yang mengambil ubat-ubatan tertentu. Hampir semua kajian (23) meneliti jenis LSSS di mana beberapa sodium digantikan dengan potassium. Jumlah sodium yang digantikan dalam pelbagai LSSS yang digunakan dalam kajian adalah dari sangat kecil (3%) hingga besar (77%).

*Kajian ialah di mana peserta diperuntukkan secara rawak kepada dua atau lebih kumpulan rawatan. Ini adalah cara terbaik untuk memastikan kumpulan peserta yang serupa.

Keputusan utama

Pada orang dewasa, LSSS mungkin menurunkan sedikit tekanan darah (diastolik dan sistolik) jika dibandingkan dengan garam biasa. Penggunaan LSSS juga mungkin mengurangkan sedikit risiko angin ahmar tidak maut, ACS tidak maut dan kematian penyakit jantung jika dibandingkan dengan garam biasa.

Walau bagaimanapun, penggunaan LSSS dan bukannya garam biasa mungkin juga meningkatkan sedikit tahap potassium dalam darah.

Berbanding dengan garam biasa, LSSS boleh mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan dalam tekanan darah tinggi dan hiperkalemia.

Kami tidak dapat membuat sebarang kesimpulan tentang kesan LSSS terhadap kawalan tekanan darah, pelbagai kejadian penyakit jantung, kematian yang disebabkan oleh angin ahmar, potassium dalam darah yang lebih rendah daripada normal (hipokalaemia), dan peristiwa buruk yang lain.

Kami tidak dapat membuat sebarang kesimpulan tentang kesan atau keselamatan penggunaan LSSS dan bukannya garam biasa pada kanak-kanak.

Apakah batasan bukti ini?

Kami cukup yakin dengan bukti. Keyakinan kami telah diturunkan terutamanya kerana kebimbangan tentang cara beberapa ujian dijalankan, dan sama ada keputusannya boleh terpakai kepada populasi umum. Kami tidak pasti tentang kesan dan keselamatan LSSS pada kanak-kanak, wanita hamil, orang yang diketahui mempunyai risiko potassium tinggi dalam darah, atau mereka yang tidak mempunyai tekanan darah tinggi. Kami juga tidak pasti tentang kesan LSSS apabila digunakan dalam makanan yang tidak disediakan di rumah. Penyelidikan lanjutan mungkin mengubah keputusan ini.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Ogos 2021.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Saw Zhi Kuan (Kementerian Kesihatan Malaysia). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information