Adakah perencat Janus kinase sistemik merupakan rawatan yang berkesan untuk penghidap COVID-19?

Mesej utama

Kami menemui bukti kepastian sederhana hingga tinggi daripada 6 kajian untuk menyimpulkan bahawa perencat Janus kinase (JAK) sistemik adalah rawatan yang berkesan untuk penyakit coronavirus 2019 (COVID-19) pada orang yang dimasukkan ke hospital, kerana ia mengurangkan kematian dan kemerosotan status klinikal. Penilaian perencat JAK sistemik sedang dijalankan dalam 13 kajian sementara keputusan 9 kajian lanjutan sedang menunggu penerbitan. Kami akan mengemas kini ulasan ini dan mungkin menyesuaikan kesimpulan kami apabila keputusannya tersedia.

Apakah perencat JAK?

Perencat JAK adalah ubat yang menyekat aktiviti bahagian tertentu sistem imun yang kadangkala bermasalah. Ia diambil secara oral (sistemik) dan biasanya diambil oleh orang yang mengalami penyakit autoimun, di mana sistem imun menyerang badan sendiri. Perencat JAK mungkin juga diberikan melalui penyedutan tetapi memandangkan ini bukan fokus kami, kami merujuk kepada 'perencat JAK sistemik' sepanjang ulasan ini.

Bagaimanakah perencat JAK boleh merawat COVID-19?

Dalam COVID-19, sistem imun kadangkala menunjukkan tindak balas yang berlebihan, yang boleh membawa kepada tempoh penyakit yang teruk. Inhibitor JAK boleh menyekat bahagian sistem imun dan mengatasi sebarang kemerosotan klinikal.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin tahu sama ada perencat JAK sistemik, sebagai tambahan kepada penjagaan biasa, adalah berkesan untuk penghidap COVID-19 jika dibandingkan dengan penjagaan biasa dengan atau tanpa plasebo (rawatan yang kelihatan dan mempunyai rasa yang sama dengan ubat kajian tetapi tanpa ramuan aktif), dan sama ada ia menyebabkan kesan yang tidak diingini. Kami amat berminat dalam:
• bilangan kematian akibat sebarang sebab sehingga 60 hari selepas rawatan, atau lebih lama jika dilaporkan;
• sama ada pesakit semakin pulih ataupun merosot selepas rawatan, berdasarkan keperluan mereka untuk bantuan pernafasan;
• kesan yang tidak diingini daripada rawatan dan jangkitan yang diperoleh di hospital.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang melaporkan tentang orang yang mempunyai COVID-19 yang menerima perencat JAK sistemik bersama-sama dengan penjagaan biasa, atau penjagaan biasa sahaja (dengan/tanpa plasebo). Kami membandingkan dan merumuskan hasil kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan kriteria umum tentang kebolehpercayaan bukti.

Apakah yang telah kami temui?

Kami menemui 6 kajian yang sesuai melibatkan seramai 11,145 orang dengan COVID-19. Semua kajian membandingkan perencat JAK sistemik (baricitinib dalam 4 kajian, tofacitinib dalam 1 kajian dan ruxolitinib dalam 1 kajian) dengan penjagaan biasa (dengan plasebo), dan dijalankan kepada orang yang dimasukkan ke hospital. Kami tidak menemui kajian yang dijalankan kepada pesakit luar. Kebanyakan peserta memerlukan suplemen oksigen melalui peranti aliran rendah (7220 peserta) dan sedikit (463 peserta) telah diventilasi secara mekanikal pada tahap kemasukan ke kajian. Kami juga mengenal pasti 13 kajian yang sedang berlangsung dan 9 kajian yang telah siap/diberhentikan tetapi belum diterbitkan lagi.

Hasil-hasil utama

Inhibitor JAK sistemik serta penjagaan biasa berbanding penjagaan biasa sahaja mungkin membawa kepada kurang kematian daripada semua punca sehingga hari ke-28 dan kurang kematian daripada semua punca sehingga hari ke-60 dalam kajian tersebut. Tidak mungkin untuk mengenal pasti subkumpulan peserta (mengikut keterukan penyakit) yang mungkin mendapat manfaat terbanyak daripada rawatan dengan perencat JAK. Inhibitor JAK sistemik mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam peningkatan dalam status klinikal. Inhibitor ini mungkin mengurangkan risiko kemerosotan status klinikal. Inhibitor JAK sistemik mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam kadar kesan yang tidak diingini, dan mungkin mengurangkan sedikit kejadian kesan tidak diingini yang serius. Inhibitor JAK sistemik mungkin mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kadar jangkitan yang diperoleh di hospital.

Apakah batasan bukti tersebut?

Oleh kerana kajian semasa tentang perencat JAK sistemik dalam pesakit luar kurang, bukti adalah terhad dalam kumpulan orang yang mempunyai COVID-19 ini. Kajian menggunakan cara yang berbeza untuk menilai dan melaporkan kesan yang tidak diingini, terutamanya yang berkaitan dengan jangkitan yang diperoleh di hospital.

Selaras dengan pendekatan ulasan ini, kami akan terus mengemaskini carian kami dan menyertakan kajian yang layak untuk mengisi jurang bukti ini.

Sejauh mana bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Februari 2022. Kami memantau kajian yang baru diterbitkan setiap minggu menggunakan Daftar Kajian Cochrane COVID-19, dan telah memasukkan semua kajian baru yang dikenal pasti daripada sumber ini sehingga minggu pertama April 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Norhayati Mohd Noor (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information