Mesej utama
• Menutup luka dari satu sisi retakan punggung (penutupan di luar garis tengah) boleh membawa kepada penyembuhan yang lebih cepat, peluang yang lebih rendah untuk penyakit itu kembali, lebih sedikit jangkitan, lebih sedikit peluang untuk luka terbuka semula, jangkamasa tinggal di hospital lebih pendek, lebih cepat kembali bekerja, dan kurang kesakitan berbanding dengan penutupan luka secara terus dari bahagian tengah retak punggung (penutupan garis tengah konvensional).
• Kami tidak menemui bukti berkualiti yang mencukupi untuk menunjukkan bahawa penutupan luar garis tengah adalah lebih baik daripada menutup luka dari tengah retak punggung menggunakan kaedah khas untuk mengurangkan ketegangan pada tepi luka (penutupan garis tengah tanpa ketegangan).
• Kajian yang lebih besar dan direka dengan baik diperlukan untuk memberikan anggaran yang lebih baik tentang faedah dan potensi bahaya pelbagai teknik penutupan luka garis tengah dan di luar garis tengah untuk sinus pilonidal pada kanak-kanak dan orang dewasa.
Apakah sinus pilonidal, dan bagaimanakah ia boleh dirawat?
Penyakit sinus pilonidal adalah keadaan di mana rambut terperangkap dalam terowong kecil di kulit, biasanya berhampiran bahagian atas retak punggung. Ia kebanyakannya memberi kesan kepada orang dewasa muda dan boleh menyebabkan simptom yang berbeza, daripada tiada simptom kepada kesakitan yang ketara. Pembedahan untuk membuang terowong dan kulit sekeliling adalah rawatan utama untuk sinus pilonidal yang tahan lama (kronik).
Menutup luka pembedahan dari tengah retak punggung dipanggil penutupan garis tengah. Dalam penutupan garis tengah konvensional, luka ditutup terus di tengah-tengah retakan punggung. Dalam penutupan garis tengah tanpa ketegangan, kaedah khas digunakan untuk mengurangkan ketegangan pada tepi luka.
Menutup luka dari satu sisi retak punggung dipanggil penutupan di luar garis tengah. Terdapat banyak kaedah untuk penutupan di luar garis tengah, termasuk pelbagai kaedah kepak. Ini menggunakan kepak kulit untuk menutup kawasan di mana tisu telah dikeluarkan. Oleh itu, dalam semakan ini, melainkan dinyatakan sebaliknya, kepak yang disebut adalah salah satu kaedah penutupan di luar garis tengah.
Apakah yang kami ingin ketahui?
Kami ingin tahu:
• sejauh manakah kaedah penutupan luka yang berbeza berfungsi untuk merawat sinus pilonidal?
• sejauh manakah kaedah luar garis tengah yang berbeza untuk menutup luka berfungsi untuk merawat sinus pilonidal?
Kami ingin mengetahui bagaimana kaedah penutupan luka yang berbeza mempengaruhi:
• masa untuk luka sembuh sepenuhnya;
• nisbah orang yang lukanya sembuh sepenuhnya;
• perkadaran kambuhan sinus pilonidal;
• perkadaran jangkitan luka;
• nisbah orang yang mengalami luka pecah semula (luka dehiscence);
• masa untuk kembali bekerja;
• kualiti hidup selepas pembedahan.
Apakah yang telah kami laksanakan?
Kami mencari kajian yang menyiasat penutupan luar garis tengah berbanding penutupan garis tengah konvensional atau bebas ketegangan, dan kajian yang membandingkan pelbagai jenis penutupan luar garis tengah. Kami bandingkan dan rumuskan keputusan kajian-kajian tersebut dan menilai keyakinan terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami mengenal pasti 33 kajian yang melibatkan seramai 3667 orang pesakit. Umur median atau purata orang dalam kajian adalah antara 21 hingga 34 tahun. Kebanyakannya adalah lelaki. Kajian itu dijalankan terutamanya di Timur Tengah. Kami mengenal pasti 9 hasil perbandingan. Dalam ringkasan ini, kami membentangkan hasil daripada 3 perbandingan utama:
Penutupan luar garis tengah berbanding penutupan garis tengah konvensional
• Penutupan luar garis tengah mungkin menyebabkan pengurangan masa yang besar untuk luka sembuh sepenuhnya, mengurangkan berulangnya sinus pilonidal dan mengurangkan jangkitan luka.
• Penutupan di luar garis tengah boleh menyebabkan pengurangan besar dalam luka dehiscence dan pesakit kembali bekerja lebih cepat.
• Penutupan luar garis tengah mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas bahagian orang yang lukanya sembuh sepenuhnya, tetapi kami sangat tidak pasti tentang keputusannya.
Penutupan luar garis tengah berbanding penutupan garis tengah tanpa ketegangan
• Penutupan luar garis tengah boleh menyebabkan pengurangan yang besar dalam masa untuk luka sembuh sepenuhnya, boleh meningkatkan kadar orang yang lukanya sembuh sepenuhnya pada 3 bulan, dan boleh meningkatkan masa untuk kembali bekerja.
• Penutupan luar garis tengah mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan ke atas berulangnya sinus pilonidal, jangkitan luka dan luka dehisence.
Kepak Karydakis berbanding kepak Limberg
• Kepak Karydakis mungkin mempunyai sedikit atau tiada kesan pada masa untuk luka sembuh sepenuhnya, berulangnya sinus pilonidal, jangkitan luka, dehiscence luka, dan masa untuk kembali bekerja jika dibandingkan dengan kepak Limberg.
Apakah batasan bukti tersebut?
Keyakinan kami terhadap penemuan dihadkan oleh reka bentuk kajian yang lemah, sebilangan kecil kes bagi kajian yang disertakan, kajian yang tidak mencukupi untuk membuat kesimpulan yang pasti, dan kekurangan data mengenai hasil tertentu dalam beberapa kajian.
Hasil kajian lanjutan mungkin berbeza daripada hasil kajian ini.
Sejauh mana bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini setakat Jun 2022.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Gurmeet Albail Singh. Disunting oleh Kamisah Ariffin (Universiti Teknologi MARA).