Mesej utama
Kami tidak menemui bukti yang mencukupi untuk menyatakan sama ada sekatan saraf simpatetik memberikan lebih banyak kelegaan kesakitan daripada 'penjagaan biasa'. Risiko mudarat sekatan saraf simpatetik tidak jelas.
Kami tidak menemui bukti yang mencukupi untuk menyatakan sama ada sekatan saraf simpatetik meningkatkan atau mengurangkan kualiti hidup.
Kajian pada masa hadapan harus memberi tumpuan kepada pelbagai jenis sekatan saraf simpatetik yang tidak diwakili dengan baik dalam kajian semasa.
Apakah itu kesakitan berterusan akibat kanser abdomen-pelvis yang tidak dapat dibedah?
'Kanser abdomen-pelvis' merupakan istilah yang diberikan kepada sebarang jenis kanser yang melibatkan bahagian perut atau pelvis, di kalangan orang dengan pelbagai jenis kanser. Kanser mungkin telah bermula di situ atau merebak ke bahagian itu dari tempat lain. Kadangkala kanser boleh mengakibatkan kesakitan yang dirasai di bahagian perut atau lebih bawah di bahagian pelvis. Kesakitan ini kadangkala sukar dirawat, terutamanya jika kanser itu tidak dapat dibuang ataupun dirawat (tidak dapat dibedah).
Bagaimanakah kesakitan dirawat?
Rawatan untuk kesakitan yang disebabkan kanser di bahagian perut dan/atau pelvis termasuk:
- 'penjagaan biasa', yang merangkumi ubat penahan sakit yang kuat, biasanya morfin dan/atau ubat dan rawatan pelega kesakitan yang lain;
- rawatan anti-kanser (contohnya kemoterapi atau radioterapi);
- rawatan untuk menghentikan isyarat kesakitan daripada sampai ke otak, di mana anda 'merasa' kesakitan. Ini termasuk sekatan saraf simpatetik dan rawatan sekatan saraf jenis lain.
Apakah itu sekatan saraf simpatetik?
Ini merupakan istilah yang diberikan kepada beberapa jenis rawatan berbeza yang kesemuanya bertujuan untuk menghentikan secara kekal saraf yang menyampaikan isyarat kesakitan ke otak. Ini adalah untuk mengurangkan kesakitan yang dirasai oleh pesakit yang menjalani rawatan.
Apakah yang kami ingin ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada penggunaan sekatan saraf simpatetik sebagai tambahan kepada 'penjagaan biasa' atau plasebo akan:
- membantu lebih ramai orang mencapai kesakitan yang tidak lebih teruk daripada kesakitan ringan;
- meningkatkan kualiti hidup;
- sama selamat dengan penjagaan biasa, atau jika terdapat perbezaan dalam risiko mudarat yang serius;
- mengurangkan tahap kesakitan yang dirasai dan sebanyak mana pengurangannya untuk kebanyakan orang;
- mengurangkan jumlah ubat penahan sakit yang kuat yang diperlukan untuk mengawal kesakitan;
- membawa kepada peningkatan tahap kepuasan di kalangan mereka yang menerima rawatan;
- memberikan kelegaan kesakitan yang berpanjangan dan untuk berapa lama.
Kami juga ingin melihat sama ada dua sekatan saraf simpatetik yang berbeza berbanding dengan satu akan menjejaskan penemuan di atas.
Apa yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian yang membandingkan sekatan saraf simpatetik dengan plasebo atau 'penjagaan biasa' di kalangan penghidap kanser yang tidak boleh diubati yang mengalami kesakitan berkaitan kanser di bahagian perut dan/atau pelvis. Kami juga mencari kajian yang membandingkan dua sekatan saraf simpatetik dengan sekatan saraf simpatetik tunggal.
Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian dan menaksir kajian secara berperingkat. Kami menilai kualiti bukti berdasarkan kaedah yang digunakan.
Apakah yang kami temui?
Kami menemui 17 kajian melibatkan 1025 orang dewasa yang mengalami kesakitan di bahagian perut dan/atau pelvis disebabkan kanser yang tidak dapat dibuang. Kajian terbesar melibatkan 139 orang dan kajian terkecil melibatkan 21 orang. Kajian-kajian ini dijalankan di banyak negara di seluruh dunia, termasuk Amerika Syarikat, Kanada, UK, Itali, China, Jepun, Brazil dan China. Kebanyakan kajian berlangsung selama tiga bulan, walaupun yang paling lama adalah satu tahun dan yang paling singkat satu bulan. Tiada kajian yang dibiayai syarikat komersial atau melibatkan plasebo sebagai perbandingan.
Apabila sekatan saraf simpatetik diberikan bersama-sama dengan penjagaan biasa:
- tidak jelas sama ada lebih ramai atau lebih sedikit orang mengalami 'kesakitan yang tidak lebih teruk daripada kesakitan ringan';
- ia boleh menyebabkan sedikit hingga tiada perbezaan dalam kualiti hidup;
- tidak jelas sama ada rawatan menyebabkan lebih atau kurang mudarat yang serius;
- ia boleh menyebabkan sedikit hingga tiada perbezaan dari segi tahap kesakitan dalam kebanyakan orang;
- ia dapat atau tidak dapat mengurangkan jumlah ubat penahan sakit yang kuat (seperti morfin) yang diperlukan untuk mengawal kesakitan;
- kami tidak tahu kesan terhadap tahap kepuasan atau berapa lama sebarang kesan pelegaan kesakitan bertahan.
Apabila dua sekatan saraf simpatetik yang berbeza digunakan berbanding satu:
- kami tidak tahu sama ada lebih ramai atau lebih sedikit orang mengalami ‘kesakitan yang tidak lebih teruk daripada kesakitan ringan';
- kami tidak tahu kesannya terhadap kualiti hidup;
- tidak jelas sama ada rawatan menyebabkan lebih atau kurang mudarat yang serius;
- ia boleh menyebabkan sedikit hingga tiada perbezaan dari segi tahap kesakitan dalam kebanyakan orang;
- ia boleh menyebabkan sedikit hingga tiada perbezaan dalam jumlah ubat penahan sakit yang kuat yang diperlukan untuk mengawal kesakitan;
- kami tidak tahu kesan terhadap tahap kepuasan atau berapa lama sebarang kesan pelegaan kesakitan bertahan.
Kami sangat tidak pasti tentang keputusan ini.
Apakah batasan bukti?
Kebanyakan kajian adalah sangat kecil dan meliputi hanya satu jenis kanser dan rawatan. Persoalan kami lebih luas daripada itu. Terdapat masalah dengan kajian memberikan kesemua data yang kami perlukan, dan ada kemungkinan ramai peserta yang sedar tentang rawatan mana yang mereka terima. Kami tidak dapat yakin dengan bukti yang kami temui.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).