Latar belakang
Setiap tahun, berjuta-juta orang di seluruh dunia terjejas oleh kesumbatan dalam arteri mereka dan memerlukan amputasi. Sejumlah besar darah boleh hilang dalam pembedahan ini, yang boleh mengakibatkan komplikasi termasuk kematian. Merawat pesakit dengan transfusi darah membawa risiko. Tourniquets ialah peralatan yang memerah kaki di atas bahagian yang akan diamputasi, dan boleh digunakan semasa amputasi untuk mengurangkan kehilangan darah dan keperluan untuk transfusi darah. Walaupun ia dianggap selamat untuk pembedahan gantian sendi lutut, penggunaannya di kalangan orang yang mengalami kesumbatan dalam saluran darah semasa menjalani amputasi masih adalah kontroversi. Pakar penjagaan kesihatan bimbang tentang kerosakan kulit, otot, dan saluran darah pesakit yang disebabkan oleh tourniquet semasa pembedahan, dan boleh mengurangkan bekalan darah ke tunggul dan dengan itu menjejaskan penyembuhan luka.
Ulasan ini mencari penyelidikan yang mengkaji sama ada penggunaan tourniquet di kalangan pesakit yang menjalani amputasi akibat kesumbatan dalam saluran darah mereka adalah selamat dan berkesan dalam mengurangkan komplikasi seperti kehilangan darah semasa pembedahan, penurunan kiraan darah, keperluan untuk transfusi darah, penyembuhan luka, dan keperluan untuk mengulangkan amputasi.
Ciri-ciri kajian dan keputusan utama
Kami mencari pangkalan data perubatan untuk mencari kajian berkaitan yang membandingkan penggunaan tourniquet dengan tiada tourniquet antara yang menjalani amputasi akibat kesumbatan dalam saluran darah mereka. Kami mengenal pasti satu ujian terkawal rawak (sejenis kajian di mana peserta secara rawak diagihkan kepada salah satu daripada dua atau lebih kumpulan rawatan) yang dijalankan di UK. Enam puluh empat orang yang menjalani amputasi di bawah lutut disebabkan kesumbatan teruk di dalam arteri mereka telah diberikan sama ada tourniquet atau tiada tourniquet. Kajian itu menilai kehilangan darah dalam pembedahan, perubahan dalam kiraan darah, keperluan untuk transfusi darah, penyembuhan luka, dan semakan pembedahan. Keputusan mencadangkan bahawa penggunaan tourniquet semasa amputasi di bawah lutut mengurangkan separuh kehilangan darah dalam pembedahan dan mengurangkan penurunan kiraan darah dan keperluan untuk transfusi darah. Walau bagaimanapun, tiada kesan ke atas penyembuhan luka, keperluan untuk mengulangkan pembedahan amputasi, atau komplikasi lain selepas pembedahan termasuk kematian.
Kepastian bukti
Oleh sebab kami hanya menjumpai satu kajian kecil yang berisiko tinggi terhadap kesilapan sistematik dalam sesetengah aspek, kami mempunyai keyakinan yang rendah terhadap bukti penggunaan tourniquets di kalangan orang yang menjalani amputasi.
Kesimpulan
Apabila tourniquet digunakan semasa amputasi dalam keadaan arteri tersumbat, diperhatikan bahawa ia dapat mengurangkan kehilangan darah semasa pembedahan serta keperluan untuk transfusi darah. Walau bagaimanapun, bukti tersebut berasal daripada satu kajian kecil, dan kajian berkualiti tinggi yang selanjutnya diperlukan untuk membantu doktor membuat keputusan tentang penggunaan tourniquets di kalangan pesakit-pesakit tersebut.
Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan dengan terjemahan ini. Diterjemah oleh Lai Pei Kuan (International Medical University). Disunting oleh Mohamad Masykurin Mafauzy (Universiti Sains Malaysia).