Prebiotik untuk penghidap cystic fibrosis

Mesej utama

Pertumbuhan dan status nutrisi boleh memberi kesan terhadap fungsi paru-paru dan kemandirian keseluruhan pada penghidap cystic fibrosis (CF), dan prebiotik adalah satu sumber makanan untuk bakteria sihat dalam usus yang kemungkinan ada manfaatnya.

Kami tidak menemui sebarang kajian yang melihat bagaimana prebiotik memberi kesan kepada orang yang menghidap CF, dan kajian sedemikian diperlukan.

Bagaimanakah prebiotik boleh digunakan untuk merawat penghidap CF?

Kami tahu bahawa pertumbuhan dan status pemakanan adalah penting dalam CF kerana ia mempengaruhi fungsi paru-paru dan kemandirian keseluruhan. Orang yang mempunyai CF mempunyai ketidakseimbangan bakteria dan juga keradangan dalam usus mereka. Prebiotik oral, yang boleh didapati secara komersial, boleh meningkatkan kesihatan usus dan kesihatan keseluruhan. Contoh prebiotik yang paling banyak dikaji ialah inulin, frukto-oligosakarida, galakto-oligosakarida, dan oligosakarida susu manusia. Prebiotik boleh didapati secara semula jadi dalam makanan tumbuhan keseluruhan (contoh. akar chicory, bawang, dan pisang), tetapi suplemen prebiotik tiruan juga tersedia.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Prebiotik telah dapat mengurangkan simptom usus dalam keadaan lain, jadi kami ingin mengetahui sama ada ia juga boleh membantu penghidap CF dengan meningkatkan tumbesaran dan status nutrisi serta mengurangkan simptom usus tanpa sebarang kesan sampingan. Kami juga ingin mengetahui sama ada mereka boleh meningkatkan fungsi paru-paru, mengurangkan bilangan serangan penyakit dan kemasukan ke hospital untuk CF, dan meningkatkan kualiti hidup mereka yang menghidap CF.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian yang membandingkan individu atau pelbagai kombinasi prebiotik oral (ditelan) berbanding dengan tanpa rawatan atau plasebo (rawatan tanpa bahan aktif); satu prebiotik berbeza atau gabungan prebiotik lain; atau probiotik atau simbiotik (gabungan prebiotik dan probiotik). Kami tidak mengehadkan kajian berdasarkan umur atau betapa sakit atau sihatnya seseorang yang berkenaan dengan CF mereka.

Apakah yang kami temui?

Kami tidak menemui sebarang kajian untuk dimasukkan pada masa ini. Kami telah menemui satu kajian yang sedang dijalankan, tetapi tiada keputusan tersedia lagi.

Sejauh manakah bukti ini adalah terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Oktober 2022.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Kelly Sze Fang Num. Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia).

Tools
Information