Mesej utama
Akibat kekurangan bukti kukuh, adalah tidak jelas sama ada kortikosteroid yang diberikan ke dalam telinga (kortikosteroid intratimpanum) berfungsi untuk memperbaik gejala bagi orang dengan penyakit Ménière. Adalah tidak jelas juga sama ada terdapat sebarang risiko yang berkaitan dengan rawatan.
Kajian lebih besar dan dijalankan dengan baik perlu untuk mengenal pasti sama ada rawatan adalah berkesan dan menilai sama ada terdapat sebarang kesan mudarat.
Kerja lanjut juga perlu dilakukan untuk mengetahui cara terbaik mengukur simptom orang dengan penyakit Ménière, untuk menilai sama ada rawatan bermanfaat atau tidak. Ini harus sertakan pembangunan 'set hasil teras' - senarai perkara yang harus diukur dalam semua kajian tentang penyakit Ménière.
Apakah penyakit Ménière?
Penyakit Ménière adalah keadaan yang mempengaruhi telinga dalam. Ia menyebabkan serangan berulang pening atau vertigo (rasa berpusing) bersama masalah pendengaran, tinnitus (bunyi berdengung dalam telinga) dan rasa tekanan di dalam telinga. Ia biasanya mempengaruhi orang dewasa dan bermula di usia pertengahan.
Bagaimana penyakit Ménière dirawat?
Ubat oral (tablet) sering diguna sebagai rawatan pertama untuk penyakit Ménière. Jika rawatan ini tidak mengawal gejala, maka kortikosteroid boleh diberi terus ke dalam telinga. Ia paling lazim diberi sebagai suntikan melalui gendang telinga, tetapi boleh dilakukan dengan meletakkan gegelung - tiub kecil - dalam gegendang telinga, dan memberikan kortikosteroid sebagai titisan ke dalam telinga.
Apa yang kami ingin tahu?
Kami ingin tahu:
- sama ada terdapat bukti kortikosteroid intratimpanum berfungsi untuk mengurangkan simptom penyakit Ménière;
- sama ada rawatan ini boleh menyebabkan sebarang mudarat yang serius, atau kesan sampingan lain (seperti menyebabkan lubang pada gegendang telinga).
Apa yang kami lakukan?
Kami mencari kajian yang membandingkan kortikosteroid intratimpanum kepada tanpa rawatan atau rawatan palsu (plasebo).
Apa yang kami dapati?
Kami mendapati 10 kajian yang menyertakan sejumlah 952 orang. Kajian-kajian berlangsung antara tiga bulan dan dua tahun.
- Apabila orang mempertimbang sama ada vertigo mereka telah bertambah baik, terdapat sedikit perbezaan antara mereka yang telah menerima kortikosteroid intratimpanum dan mereka yang tidak menerima rawatan (atau rawatan palsu) sama ada pada enam bulan hingga satu tahun atau sehingga dua tahun susulan.
- Apabila orang mengira bilangan episod vertigo yang di alami, kami dapati bahawa kortikosteroid intratimpanum mungkin mengurangkan bilangan episod tetapi hanya dengan jumlah yang kecil. Ini adalah kes dalam kalangan orang yang disusul pada tiga hingga enam bulan, tetapi kami tidak pasti sama ada kesannya juga akan dilihat pada masa susulan yang lebih lama.
- Adalah tidak jelas sama ada kortikosteroid intratimpanum meningkatkan peluang untuk mengalami masalah perubatan yang serius (kesan buruk yang serius).
Apakah batasan bukti?
Kami sedikit yakin terhadap bukti kerana kebanyakan kajian yang dijalankan adalah sangat kecil dan bermasalah dalam perlakasanaan yang bermaksud keputusannya mungkin tidak boleh percaya. Kami juga mendapati dua kajian besar yang belum diterbitkan, oleh itu keputusannya tidak boleh disertakan dalam ulasan ini. Kami faham kajian-kajian ini mendapati kortikosteroid intratimpanum tidak berkesan. Jika kami dapat memasukkan data ini, mungkin beberapa kesimpulan ulasan ini berbeza.
Kajian lebih besar dan dijalankan dengan baik perlu untuk mengetahui sejauh mana keberkesanan pelbagai rawatan. Di samping itu, orang yang menjalankan kajian tersebut mesti memastikan keputusan tersedia, tidak kira apa penemuan-penemuan kajian.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga September 2022.
Diterjemah oleh Wan Anisa Hanim (KP Kok Lanas). Disunting oleh Noorliza Mastura Ismail (Kolej Universiti Manipal Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my