Apakah manfaat dan risiko gentamicin yang diberikan terus ke telinga bagi penyakit Ménière?

Mesej utama

Disebabkan kekurangan bukti kukuh, tidak jelas sama ada gentamicin - sejenis antibiotik yang diberikan ke dalam telinga (gentamicin intratimpanum) berkesan untuk memperbaik gejala bagi penghidap penyakit Ménière. Masih terdapat keraguan sama ada terdapat sebarang risiko yang berkaitan dengan rawatan ini. 

Kajian lebih besar yang dijalankan dengan baik diperlukan untuk mengenal pasti sama ada rawatan ini mungkin berkesan, dan untuk menilai sama ada terdapat sebarang kesan berbahaya.

Kajian lanjut juga perlu dilakukan untuk mengetahui cara terbaik menaksir gejala penghidap penyakit Ménière, untuk menilai sama ada rawatan adalah berkesan atau tidak. Ini harus menyertakan suatu pembangunan 'himpunan hasil teras' - iaitu senarai perkara yang harus ditaksir di dalam semua kajian mengenai penyakit Ménière. 

Apakah itu penyakit Ménière?

Penyakit Ménière adalah suatu penyakit yang menjejaskan telinga bahagian dalam. Ia menyebabkan serangan berulang pening atau vertigo (rasa berputar), bersama-sama dengan masalah pendengaran, tinnitus (bunyi berdering, bersenandung atau berdengung di telinga) dan rasa padat atau tekanan di dalam telinga yang terjejas. Ia biasanya melibatkan orang dewasa dan bermula pada pertengahan usia. 

Bagaimanakah penyakit Ménière dirawat?

Ubat oral (pil) sering digunakan sebagai rawatan barisan pertama untuk penyakit Ménière. Jika rawatan ini tidak dapat mengawal gejala, maka sejenis antibiotik yang dikenali sebagai aminoglikosida boleh diberikan terus ke dalam telinga. Biasanya ini melibatkan antibiotik yang dipanggil gentamicin. Ini paling biasanya diberikan sebagai suntikan melalui gegendang telinga.

Apa yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui:

- sama ada terdapat bukti bahawa aminoglikosida intratimpanum (termasuk gentamicin) berkesan dalam mengurangkan gejala penyakit Ménière;

- sama ada rawatan ini boleh menyebabkan sebarang mudarat.

Apa yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan sebarang aminoglikosida intratimpanum dengan sama ada tiada rawatan atau rawatan palsu (plasebo). 

Apa yang telah kami temui?

Kami mengenalpasti lima kajian yang melibatkan sejumlah 137 orang peserta. Kajian-kajian itu telah berlangsung selama enam bulan hingga dua tahun. Semua kajian menyelidik penggunaan antibiotik gentamicin.

- Lebih ramai peserta yang menerima gentamicin intratimpanum merasakan bahawa vertigo mereka telah bertambah baik, apabila dibandingkan dengan peserta yang menerima tiada rawatan (atau rawatan palsu). Walau bagaimanapun, kajian-kajian itu adalah sangat kecil, jadi kami tidak dapat memastikan bahawa rawatan berkesan untuk memperbaik gejala. 

Apabila peserta menggunakan sistem pemarkahan untuk menilai gejala vertigo atau kekerapan vertigo mereka, penilaian adalah lebih baik bagi mereka yang menerima gentamicin intratimpanum apabila dibandingkan dengan mereka yang menerima tiada rawatan (atau rawatan palsu). Sekali lagi, kajian adalah sangat kecil maka kami sangat tidak yakin jika rawatan adalah berkesan. 

- Kajian yang disertakan dalam ulasan ini tidak memberikan sebarang maklumat tentang risiko kesan sampingan serius yang berkaitan dengan rawatan. Kajian lain telah menunjukkan bahawa rawatan ini mungkin berkait dengan kemungkinan untuk kesan sampingan (seperti kehilangan pendengaran sepenuhnya). Walau bagaimanapun, kami tidak memperoleh sebarang maklumat daripada kajian yang disertakan dalam ulasan ini tentang kekerapan masalah-masalah tersebut selepas rawatan. 

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai sangat sedikit keyakinan terhadap bukti kerana kebanyakan kajian yang dijalankan adalah sangat kecil, dan mempunyai masalah dalam pelaksanaan mereka, yang bermaksud bahawa keputusan mungkin tidak boleh dipercayai. Kajian lebih besar yang dijalankan dengan baik diperlukan untuk menguji dan mengenal pasti sejauh manakah keberkesanan rawatan-rawatan berbeza yang ada. 

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti ini adalah terkini setakat September 2022. 

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK). Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information