Apakah faedah dan risiko terapi tekanan positif untuk rawatan penyakit Ménière?

Mesej utama

Disebabkan kekurangan bukti yang kukuh, tidak jelas sama ada terapi tekanan positif berkesan untuk melegakan gejala pesakit yang menghidap penyakit Ménière. Kami tidak menemui sebarang maklumat sama ada rawatan ini boleh menyebabkan sebarang kemudaratan.

Kajian yang lebih besar dan dijalankan dengan baik diperlukan untuk mengenal pasti sama ada terapi tekanan positif mungkin berkesan, dan memastikan tiada kesan berbahaya yang disebabkan oleh rawatan tersebut. 

Kerja lanjut juga perlu dilakukan untuk mengetahui cara terbaik untuk mengukur simptom orang yang menghidap penyakit Ménière, untuk menilai sama ada rawatan tersebut berfaedah atau tidak. Ini harus memasukkan pembangunan 'set hasil teras' - senarai perkara-perkara yang patut diukur dalam semua kajian tentang penyakit Ménière. 

Apakah itu penyakit Ménière?

Penyakit Ménière adalah keadaan yang menjejaskan telinga dalam. Ia menyebabkan serangan pening atau vertigo yang berulang (rasa berputar-putar), serta masalah pendengaran, tinnitus (berdering, berdengung atau berdesing di telinga) dan rasa penuh atau tekanan di dalam telinga. Ia biasanya memberi kesan kepada orang dewasa, dan bermula pada usia pertengahan. 

Bagaimanakah penyakit Ménière dirawat?

Ubat-ubatan oral (tablet) dan intervensi gaya hidup sering digunakan sebagai rawatan pertama untuk penyakit Ménière. Jika ubat-ubat ini tidak berkesan untuk mengawal gejala, maka rawatan lain boleh digunakan. Ini termasuk terapi tekanan positif, yang melibatkan meletakkan tiub ke dalam telinga yang dipasang pada pam. Pam ini menjana gelombang tekanan, yang boleh membantu mengurangkan beberapa gejala penyakit Ménière. Biasanya, pesakit menggunakan pam selama kira-kira lima minit pada satu-satu masa, sekerap tiga kali sehari. 

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin tahu:

- sama ada terdapat bukti bahawa terapi tekanan positif berkesan dalam melegakan gejala penyakit Ménière;

- sama ada terapi tekanan positif boleh menyebabkan sebarang kemudaratan.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan terapi tekanan positif sama ada tanpa rawatan atau rawatan palsu (plasebo). 

Apakah yang telah kami temui?

Kami menemui tiga kajian yang menyertakan sejumlah 238 orang. Kajian-kajian ini berlangsung selama maksimum empat bulan, jadi kami tidak mempunyai sebarang maklumat tentang kesan jangka panjang rawatan ini. 

Tidak jelas sama ada terapi tekanan positif memberi sebarang perbezaan dari segi gejala vertigo dalam jangka pendek (sehingga empat bulan). 

Kami tidak mempunyai sebarang maklumat tentang potensi bahaya rawatan (kesan sampingan yang serius) kerana tiada kajian yang melaporkan aspek ini. 

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai keyakinan rendah terhadap bukti ini kerana kajian yang dijalankan adalah kecil dan mempunyai masalah dalam kaedah mereka, dan ini bermaksud bahawa keputusan mungkin tidak boleh dipercayai. Kajian yang lebih besar dan dijalankan dengan baik diperlukan untuk mencuba dan mengetahui sama ada terapi tekanan positif memang berkesan. 

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti terkini adalah sehingga September 2022. 

Nota terjemahan: 

Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Mohd Shaharudin Shah Che Hamzah (USMKK). Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information