Sejauh manakah keberkesanan rawatan bukan ubat yang digunakan untuk mencegah serangan migrain vestibular?

Mesej utama

Tidak jelas sama ada mana-mana rawatan ini berkesan untuk mencegah serangan migrain vestibular. 

Beberapa kajian telah menilai kemungkinan manfaat dan kemudaratan menggunakan rawatan ini untuk mencegah serangan.

Kajian yang ditemui adalah kecil dan keputusannya tidak dapat disimpulkan. 

Apakah itu migrain vestibular?

Migrain (kadang-kala dikenali sebagai 'migrain sakit kepala') merupakan satu keadaan biasa yang menyebabkan sakit kepala yang berulang. Migrain vestibular ialah satu keadaan yang simptom utamanya ialah episod pening kepala teruk yang berulang atau vertigo (rasa berputar). Episod tersebut sering dikaitkan dengan sakit kepala, atau gejala seperti migrain yang lain (seperti sensitiviti kepada cahaya atau bunyi, loya dan muntah). Ia merupakan satu keadaan biasa yang menjejaskan sehingga 1 dalam setiap 100 orang dan boleh memberi kesan yang teruk pada kehidupan seharian. 

Bagaimanakah migrain vestibular dirawat?

Pelan rawatan biasa termasuk ubat-ubatan yang membantu untuk menghentikan serangan vertigo sebaik sahaja ia bermula ataupun untuk mengurangkan simptom tersebut. Di samping itu, individu yang terbabit boleh menggunakan rawatan yang bertujuan untuk mencegah serangan daripada berlaku (rawatan profilaksis atau pencegahan). Tiada rawatan yang disyorkan secara meluas untuk mencegah atau merawat simptom serangan migrain vestibular. Individu terlibat kadangkala dinasihatkan untuk mengambil ubat-ubatan yang digunakan bagi merawat migrain sakit kepala. Terdapat andaian bahawa ubat-ubatan ini juga boleh merawat migrain vestibular. Kadangkala seseorang juga boleh mencuba rawatan bukan ubat untuk membantu mencegah atau memperbaiki gejala mereka dan cuba mengurangkan kekerapan serangan berlaku. Ini mungkin termasuk menukar diet mereka (seperti kurang makan garam) atau mengambil makanan tambahan (seperti vitamin atau mineral). Rawatan lain terdiri daripada terapi bercakap kepada fisioterapi. 

Apakah yang ingin kami tahu?

Kami ingin mengetahui:

- sama ada terdapat bukti sebarang rawatan bukan ubat yang berfungsi untuk mencegah serangan migrain vestibular atau mengurangkan simptom-simptom apabila serangan berlaku;

- sama ada rawatan tersebut boleh menyebabkan sebarang kemudaratan.

Apakah yang kami lakukan?

Kami mencari kajian yang menyertakan orang dewasa yang membandingkan ubat-ubatan yang berbeza dengan tanpa rawatan atau rawatan plasebo (palsu). Kami menggunakan kaedah standard untuk menilai tahap kepastian bukti. Kami menilai tahap keyakinan terhadap bukti berdasarkan faktor seperti kaedah kajian, bilangan peserta yang terlibat dan konsistensi penemuan merentasi kajian-kajian yang terlibat.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui tiga kajian yang menyertakan sejumlah 319 orang (84% adalah wanita). Kajian ini melihat kepada tiga jenis rawatan yang berbeza bagi menilai sama ada ia mungkin membantu dalam mencegah serangan migrain vestibular atau mengurangkan simptom apabila berlaku serangan migrain. 

Probiotik

Kajian pertama melihat penggunaan probiotik - ini adalah sejenis bakteria yang boleh diambil sebagai tambahan kepada diet biasa. Tidak jelas sama ada rawatan ini memberi sebarang perbezaan kepada gejala vertigo pada orang yang mengalami migrain vestibular, atau mengubah kekerapan serangan. Kajian tidak melaporkan sebarang maklumat tentang kemungkinan bahaya, jadi kami tidak tahu sama ada terdapat sebarang risiko yang berkaitan dengan mengambil rawatan ini. 

Terapi tingkah laku kognitif (CBT)

CBT ialah sejenis terapi bercakap, yang bertujuan untuk membantu memperbaiki masalah dengan mengubah cara seseorang berfikir dan berkelakuan. Satu kajian kecil menilai sama ada CBT membantu mencegah serangan migrain vestibular. Walau bagaimanapun, tidak jelas sama ada rawatan ini memberi kesan kepada simptom seseorang atau kekerapan serangan vertigo. Sekali lagi, tiada maklumat dilaporkan tentang kemungkinan kemudaratan rawatan. 

Pemulihan vestibular

Pemulihan vestibular ialah satu bentuk fisioterapi yang merangkumi latihan khusus untuk mencuba memperbaiki masalah keseimbangan. Satu lagi kajian kecil membandingkan pemulihan vestibular dengan tiada rawatan pada orang yang mengalami migrain vestibular. Sekali lagi, keputusannya tidak dapat disimpulkan dan kami tidak pasti sama ada rawatan ini mempunyai sebarang kesan ke atas perubahan gejala seseorang, atau kekerapan serangan. Tiada maklumat dilaporkan tentang potensi kemudaratan rawatan. 

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti yang disertakan dalam ulasan ini. Tiga kajian yang dijalankan adalah kecil dan terdapat beberapa masalah dengan cara mereka dijalankan, yang bermaksud bahawa keputusan mungkin tidak boleh dipercayai. Secara keseluruhan, tidak jelas sama ada mana-mana rawatan yang dinilai memberi manfaat dalam rawatan migrain vestibular. Yang penting, tiada kajian yang melaporkan sebarang maklumat tentang bahaya, jadi kami tidak dapat mengetahui sama ada terdapat sebarang kemungkinan risiko yang berkaitan dengan rawatan ini. 

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga September 2022. 

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemah oleh Patricia Ponniah (Universiti Malaya). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).

Tools
Information