Sejauh manakah keberkesanan ubat yang digunakan untuk merawat serangan migrain vestibular?

Mesej utama

Tidak jelas sama ada sebarang ubat berkesan untuk merawat serangan migrain vestibular. 

Sedikit kajian yang menilai kemungkinan manfaat dan mudarat pengambilan ubat pada masa serangan. Kajian sedia ada adalah kecil dan keputusannya tidak dapat disimpulkan. 

Kerja lanjut diperlukan dalam bidang ini untuk membantu menentukan sama ada terdapat sebarang rawatan yang boleh digunakan untuk membantu melegakan gejala serangan migrain vestibular. 

Apakah itu migrain vestibular?

Migrain (kadang-kadang dikenali sebagai 'migrain klasik') adalah keadaan biasa yang menyebabkan kesakitan kepala yang berulang. Migrain vestibular ialah satu keadaan yang gejala utamanya ialah episod pening kepala teruk yang berulang atau vertigo (rasa berputar). Episod tersebut sering dikaitkan dengan sakit kepala atau gejala seakan-akan migrain yang lain (seperti sensitiviti terhadap cahaya atau bunyi, loya dan muntah). Ia merupakan satu keadaan biasa, yang menjejaskan sehingga 1 dalam setiap 100 orang, dan boleh memberi kesan teruk pada kehidupan seharian. 

Bagaimanakah migrain vestibular dirawat?

Pendekatan utama untuk rawatan termasuk cubaan menghalang serangan daripada bermula (rawatan pencegahan), serta rawatan untuk melegakan gejala serangan. Tiada rawatan yang disyorkan secara meluas untuk menguruskan gejala serangan migrain vestibular. Pesakit kadangkala dinasihatkan untuk mengambil ubat-ubatan yang digunakan bagi merawat migrain sakit kepala. Terdapat andaian bahawa ubat-ubatan ini juga boleh merawat migrain vestibular.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui:

- sama ada terdapat bukti bahawa sebarang ubat berfungsi untuk melegakan atau menghentikan serangan migrain vestibular;

- sama ada rawatan tersebut boleh menyebabkan sebarang mudarat.

Apakah yang kami lakukan?

Kami membuat carian terhadap kajian tyang melibatkan orang dewasa yang membandingkan ubat-ubatan yang berbeza dengan tanpa rawatan atau rawatan plasebo (palsu). Kami menggunakan kaedah piawai untuk menilai kualiti bukti. Kami menilai tahap keyakinan terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah kajian, bilangan peserta yang terlibat dan konsistensi penemuan merentasi kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui dua kajian yang menyertakan sejumlah 133 orang pesakit (75% wanita). Kedua-dua kajian melihat jenis ubat tertentu yang dikenali sebagai triptans. Bukti menunjukkan bahawa mengambil triptan mungkin memberi sangat sedikit perbezaan kepada bilangan orang yang gejala vertigonya bertambah baik. Walau bagaimanapun, terdapat masalah dengan bukti, yang bermaksud bahawa kami tidak pasti dengan keputusan ini. 

Salah satu kajian melihat kesan sampingan yang berkaitan dengan ubat ini dan menemui tiada yang mengalami kesan sampingan yang serius. Walau bagaimanapun, memandangkan kajian ini hanya menyertakan 114 orang, adalah terlalu kecil untuk menilai ini dengan betul. Oleh itu, kami tidak pasti sama ada terdapat risiko mudarat daripada mengambil rawatan ini.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai keyakinan yang sangat rendah terhadap bukti kerana kajian yang dilaksanakan adalah kecil. Terdapat juga beberapa masalah dengan pengendalian kajian, yang bermaksud keputusannya mungkin tidak boleh dipercayai. Kami tahu bahawa triptan boleh menyebabkan beberapa kesan sampingan pada orang yang menggunakannya untuk migrain sakit kepala, tetapi kami tidak dapat mengetahui sama ada kesan sampingan ini juga adalah biasa apabila ubat-ubatan digunakan untuk migrain vestibular. 

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga September 2022. 

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information