Adakah strategi pemakanan dan aktiviti membantu mencegah obesiti dalam kanak-kanak dan orang muda berumur 12 hingga 18 tahun?

Mesej-mesej utama

- Strategi-strategi untuk menggalakkan remaja mengubah pemakanan atau tahap aktiviti mereka (atau kedua-duanya), untuk mencegah mereka daripada menjadi berlebihan berat badan atau mengalami obesiti tidak atau sangat sedikit menyebabkan perbezaan kepada indeks jisim badan (BMI; iaitu anggaran jumlah lemak badan berdasarkan tinggi dan berat).

- Berdasarkan sedikit maklumat yang sedia ada tentang kejadian buruk yang serius, nampaknya terdapat sedikit atau tiada kesan daripada strategi pemakanan atau aktiviti, atau kedua-duanya, yang mengakibatkan kemudaratan yang serius (cth. kecederaan).

- Disebabkan kekurangan bukti, penyelidikan masa depan perlu menumpukan kepada persekitaran komuniti (cth dalam kelab remaja) dan penyelidikan yang melibatkan remaja kurang upaya.

Mengapakah pencegahan obesiti dalam kanak-kanak dan orang muda adalah penting?

Ramai remaja mengalami berat badan yang berlebihan dan obesiti di seluruh dunia. Berat badan yang berlebihan sebagai seorang remaja boleh mengakibatkan masalah kesihatan, dan orang mungkin boleh terjejas secara psikologi dan dalam kehidupan sosial mereka. Akil baligh dan pelangkahan ke alam dewasa adalah masa yang mencabar, dan ramai yang bergelut dengan kesihatan mental mereka. Remaja yang berlebihan berat badan mungkin menjadi berlebihan berat badan atau obes sebagai orang dewasa dan terus mengalami kesihatan fizikal dan mental yang lemah.

Apakah yang ingin kami ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada strategi untuk membantu remaja mengubah suai pemakanan atau aktiviti (atau kedua-duanya) adalah berkesan untuk mencegah obesiti. Kami juga ingin mengetahui sama ada strategi-strategi tersebut adalah berkaitan dengan sebarang kemudaratan serius.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari banyak pangkalan data saintifik untuk kajian-kajian yang melihat kepada cara-cara mencegah obesiti dalam kanak-kanak berumur 12 hingga 18 tahun. Kami mengecualikan kajian-kajian yang menumpukan pada remaja yang telah berlebihan berat badan atau yang hidup dengan obesiti. Walau bagaimanapun, kami telah menyertakan kajian-kajian di mana sampel adalah keseluruhan kumpulan (cth. satu sekolah), yang mungkin boleh menyertakan mereka yang hidup dengan berat badan berlebihan atau obesiti. Kami hanya menyertakan kajian-kajian jika kaedah-kaedah yang digunakan bertujuan untuk mengubah pemakanan kanak-kanak, tahap aktiviti mereka (iaitu meningkatkan aktiviti fizikal atau mengurangkan masa tidak aktif), atau kedua-duanya. Kami mencari kajian-kajian yang meletakkan kanak-kanak secara rawak ke dalam kumpulan untuk menerima strategi berbeza (yang mungkin menyertakan tiada perubahan). Kami menilai keteguhan kajian-kajian untuk mengetahui sejauh mana tahap keyakinan kami terhadap keputusan mereka. Kami mengumpulkan kajian-kajian bersama-sama untuk analisis yang bergantung kepada sama ada mereka bertujuan untuk memperbaiki pemakanan, aktiviti, atau kedua-duanya.

Apa yang kami temui?

Kami menemui 74 kajian yang melibatkan 83,407 kanak-kanak dan orang muda. Enam puluh kajian adalah berpusat di negara berpendapatan tinggi (cth. AS dan di Eropah). Dalam 57 kajian, strategi-strategi telah dicuba di sekolah, walaupun 12 adalah berpusat di rumah atau di tempat lain. Kami menemui lima kajian yang berpusat di tetapan komuniti, seperti kumpulan belia. Lima puluh satu strategi telah dilaksanakan untuk kurang daripada sembilan bulan, dengan intervensi paling pendek dijalankan dalam satu lawatan dan yang paling panjang adalah lebih 28 bulan. Enam puluh dua kajian mengisytiharkan dana bukan industri; lima kajian telah ditajakan sebahagiannya oleh industri (pembekal makanan, pengeluar PlayStation, pembekal peralatan gim, pengeluar peranti penjagaan kesihatan dan fasiliti penjagaan kesihatan swasta).

Analisis statistik kami telah menyertakan keputusan daripada 54 kajian melibatkan 46,358 remaja (20 kajian tidak melaporkan keputusan mereka dengan cara yang kami boleh sertakan mereka dalam analisis kami). Kami menemui bahawa remaja yang telah dibantu dengan strategi untuk mengubah pemakanan atau tahap aktiviti mereka (atau kedua-duanya) sama ada tidak mengurangkan BMI mereka, atau sebarang pengurangan adalah sedikit, berbanding dengan remaja yang tidak diberikan sebarang strategi.

Hanya beberapa kajian yang melaporkan sebarang kemungkinan kemudaratan daripada intervensi, dan tiada kemudaratan serius telah dikenal pasti dalam perkara ini.

Apakah batasan bukti?

Keyakinan kami dalam bukti adalah sangat rendah. Ia adalah sukar untuk menjadi yakin bahawa penajaan lebih banyak kajian, sekurang-kurangnya lebih banyak kajian berdasarkan sekolah, akan menghasilkan tahap keyakinan yang lebih tinggi dalam keputusan. Empat faktor utama yang mengurangkan keyakinan kami terhadap bukti tersebut.

1. Keputusan-keputusan adalah sangat tidak konsisten merentasi pelbagai kajian.

2. Banyak kajian yang mempunyai batasan dalam cara bagaimana mereka telah dikendalikan (cth. dalam sesetengah kajian, kaedah yang telah digunakan untuk meletakkan orang secara rawak ke dalam kumpulan adalah tidak mencukupi atau keputusan sesetengah kajian tidak dianalisis dengan betul).

3. Terdapat kajian yang tidak mencukupi yang melaporkan jenis hasil yang tertentu, seperti BMI (satu anggaran jumlah lemak badan berdasarkan kepada tinggi dan berat) atau zBMI (purata skor BMI untuk sesebuah negara) bagi tempoh susulan tertentu untuk pasti tentang keputusan bagi sesetengah perbandingan. Selain itu, tetapan tertentu (cth. tetapan komuniti) adalah kurang diwakili.

4. Keputusan daripada beberapa kajian tidak dilaporkan dalam cara yang boleh kami sertakannya dalam analisis kami (cth. tanpa sebarang perincian tentang perbezaan perubahan antara kumpulan intervensi dan kawalan) dan ianya mungkin memberikan impak terhadap keputusan analisis kami.

Ulasan ini tidak memberikan maklumat mencukupi bagi dapat menilai sejauh mana strategi berfungsi untuk remaja yang kurang upaya, atau sama ada strategi yang dilaksanakan dalam tetapan komuniti adalah berkesan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Ulasan ini menggantikan ulasan kami sebelum ini (Brown 2011). Bukti adalah terkini sehingga Februari 2023.

Nota terjemahan: 

Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia).

Tools
Information