Mesej utama
Terapi tingkah laku kognitif (CBT) berkesan untuk mengurangkan gejala skizofrenia dan memperbaik fungsi seseorang pada permulaan kecelaruan tersebut.
Sangat sedikit maklumat tersedia mengenai potensi kesan buruk yang dikaitkan dengan intervensi ini.
Pengenalan
Skizofrenia ialah satu kecelaruan mental teruk kerana kesan berat gejala tersebut terhadap kehidupan seharian mereka yang terjejas. Mereka yang menghidap penyakit ini berjuang untuk membezakan antara pemikiran, kepercayaan dan idea mereka sendiri berbanding realiti. Sebagai contoh, mereka mungkin mendengar suara dalam kepala mereka tetapi rasanya seperti seseorang benar-benar bercakap dengan mereka. Rawatan fasa permulaan penyakit adalah sangat penting untuk mencegah atau mngurangkan risiko haluan kronik . Fasa ini biasanya ditakrifkan sebagai 'episod pertama ', dan istilah 'permulaan terkini' juga digunakan untuk menggambarkan tempoh tiga hingga lima tahun dari episod pertama .
Intervensi psikologi, terapi tingkah laku kognitif, boleh berkesan untuk merawat gejala pada orang dengan skizofrenia secara umum; masih tidak jelas sama ada intervensi ini juga boleh membantu orang pada fasa awal penyakit.
Apakah yang ingin kami tahu?
Kami ingin mengetahui kesan terapi tingkah laku kognitif yang ditambahkan pada rawatan standard untuk orang dengan episod pertama atau skizofrenia permulaan terkini.
Apa yang telah kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang mengkaji terapi tingkah laku kognitif yang diberikan sebagai tambahan kepada rawatan standard (biasanya ubat) berbanding dengan rawatan standard sahaja atau intervensi psikososial yang lain .
Kami telah membanding dan merumus keputusan kajian-kajian tersebut, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti. Sebagai contoh, beberapa faktor dalam kajian (seperti terlalu sedikit peserta atau keputusan yang tidak menunjukkan kesan yang jelas) dinilai dengan keyakinan yang lebih rendah terhadap bukti.
Apa yang telah kami temui?
Kami menemui 28 kajian, di mana 26 mempunyai data yang boleh digunakan pada 2407 peserta dengan skizofrenia permulaan terkini atau episod pertama. Kajian mempunyai tempoh antara 26 dan 52 minggu untuk fasa intervensi dan, dalam 18 kajian, peserta telah dihubungi semula untuk mengumpul data lanjut selepas tamat rawatan. Kajian telah dijalankan di UK, Eropah, Australia, Kanada, USA dan China. Mereka dibiayai terutamanya oleh institusi awam, dan sebilangan kecil juga oleh syarikat farmaseutikal.
Apabila melihat kepada keputusan kira-kira satu tahun selepas permulaan intervensi, kami menemui bahawa CBT ditambah kepada jaga piawai :
- lebih berkesan daripada keadaan kawalan dalam mengurangkan simptom keseluruhan skizofrenia
- lebih berkesan daripada keadaan kawalan dalam mengurangkan simptom positif skizofrenia (cth mendengar suara )
- lebih berkesan daripada keadaan kawalan dalam mengurangkan simptom negatif skizofrenia (cth sikap tidak peduli, hilang minat dan motivasi, kurang tumpuan)
- lebih berkesan daripada keadaan kawalan dalam mengurangkan simptom kemurungan skizofrenia
- lebih berkesan daripada keadaan kawalan dalam memperbaiki status global (bilangan peserta yang mengalami pembaikan simptom , bilangan peserta yang simptomnya bertambah teruk, skor pada skala yang mengukur tahap umum simptom peserta)
- lebih berkesan daripada keadaan kawalan dalam membaiki fungsi (cth mengambil bahagian dalam kehidupan sosial, mengambil bahagian dalam aktiviti harian).
Apakah batasan bukti?
Kepastian bukti adalah antara sederhana dan sangat rendah, bermakna kami mempunyai keyakinan sederhana hingga sangat sedikit dalam anggaran kesan. Ini disebabkan oleh fakta bahawa, bagi sesetengah kajian, kualiti ('risiko bias') adalah rendah, dan keputusan pelbagai kajian kadangkala berbeza sedikit antara satu yang lain. Selain itu, untuk beberapa hasil, keputusan adalah tidak tepat, dan bilangan peserta yang terhad untuk menyumbang kepada data.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini adalah terkini setakat Julai 2022.
Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.