Terapi kognitif tingkah laku tanpa ubat antipsikotik untuk pesakit skizofrenia

Mesej utama

• Tidak ada maklumat yang mencukupi untuk membenarkan sebarang kesimpulan kukuh tentang terapi kognitif tingkah laku (CBT) tanpa ubat untuk pesakit skizofrenia.

• Kajian tambahan diperlukan untuk melihat keberkesanan dan keselamatan CBT tanpa ubat untuk pesakit skizofrenia.

Pengenalan

Skizofrenia adalah satu penyakit mental yang serius. Mereka yang menghidap penyakit ini berjuang untuk membezakan antara pemikiran, kepercayaan dan idea mereka sendiri berbanding realiti. Sebagai contoh, mereka mungkin mendengar suara di dalam kepala mereka, tetapi merasakan seperti seseorang memang benar bercakap dengan mereka. CBT ialah intervensi psikologi yang berkesan untuk merawat gejala skizofrenia apabila ia diambil sekali dengan ubat antipsikotik. Walau bagaimanapun, masih tidak jelas sama ada CBT berkesan dan selamat apabila digunakan tanpa ubat ini. Ini adalah penting untuk diketahui kerana penggunaan ubat antipsikotik sering dikaitkan dengan kesan-kesan sampingan yang tidak diingini.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui sama ada CBT berkesan dan selamat apabila digunakan tanpa ubat untuk pesakit skizofrenia.

Apa yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang mengkaji CBT yang diberikan tanpa antipsikotik dan dibandingkan dengan kajian tanpa rawatan khusus, ubat antipsikotik atau CBT diambil sekali dengan ubat antipsikotik.

Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian tersebut serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang telah kami temui?

Kami menjumpai 4 kajian yang melibatkan 300 peserta yang menghidapi skizofrenia. Tempoh kajian adalah antara 26 dan 39 minggu untuk tempoh intervensi, dan peserta dihubungi semula untuk mengumpul data lanjutan antara 26 dan 104 minggu. Kajian yang terpilih telah dijalankan di UK dan Australia, dan semuanya ditaja oleh institusi awam.

Kami mendapati jika dibandingkan dengan kajian tanpa rawatan khusus, CBT tanpa ubat antipsikotik boleh mengakibatkan pengurangan simptom keseluruhan (sekurang-kurangnya dalam jangka panjang) dan simptom negatif (contohnya sikap tidak peduli, kehilangan minat dan motivasi, kurang tumpuan). Ia juga mungkin menghasilkan pesakit berfungsi dengan lebih baik dan mengurangkan tempoh penginapan di hospital berbanding dengan pesakit yang tidak menerima rawatan khusus.

CBT tanpa ubat antipsikotik mungkin tidak berbeza daripada CBT yang diambil sekali dengan ubat antipsikotik dalam mengubah suai simptom keseluruhan skizofrenia. CBT tanpa ubat antipsikotik mungkin kurang berkesan berbanding CBT diambil sekali dengan antipsikotik dalam mengurangkan simptom positif secara khusus (contoh mendengar suara), dan menghasilkan kurang kesan-kesan sampingan berbanding CBT diambil sekali dengan ubat antipsikotik.

Apakah batasan bukti?

Kepastian bukti adalah rendah kepada sangat rendah, bermakna kami mempunyai keyakinan terhad atau sangat sedikit terhadap keputusan kajian. Ini kerana peserta kajian dan ahli terapi diberitahu akan rawatan yang diterima, dan ini boleh mempengaruhi keputusan. Di samping itu, terdapat juga peserta kajian semasa kajian dijalankan, telah menerima rawatan dengan ubat antipsikotik tanpa dirancang. Tambahan pula, tidak semua kajian memberikan data tentang semua perkara yang kami kehendaki, dan bilangan kajian yang dipilih dan jumlah peserta kajian adalah terlalu kecil untuk memastikan keputusan yang tepat.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga Mac 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Nadiatul Azra Ahmad Mazlan (International Medical University). Disunting oleh Abdul Rauf Badrul Hisham (Universiti Teknologi MARA). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information