Apakah manfaat dan risiko rawatan selain daripada ubatan untuk rawatan pening postural-perseptual berterusan (persistent postural-perceptual dizziness, atau PPPD)?

Mesej utama

Hanya terdapat sebilangan kajian yang melihat kepada rawatan untuk pening postural-perseptual berterusan (PPPD). Kami hanya dapat menjumpai satu kajian bersaiz sangat kecil yang melihat kepada penggunaan rangsangan elektrik kepada otak (dipanggil rangsangan arus terus transkranial).

Kajian lanjut diperlukan dalam bidang ini untuk membantu menentukan sama ada terdapat sebarang rawatan yang mungkin berkesan untuk merawat keadaan ini, selain memeriksa sama ada ianya menyebabkan kesan yang tidak diingini atau berbahaya.

Apakah itu PPPD?

Pesakit yang menghidap PPPD mempunyai gejala pening ataupun ketidakstabilan, yang diburukkan apabila pesakit berdiri atau bergerak, atau oleh rangsangan visual yang pelbagai (daripada corak yang rumit atau imej bergerak yang berkecamuk).

Bagaimanakah PPPD dirawat?

Kadang-kadang pesakit boleh mengambil ubat untuk cuba melegakan gejala PPPD mereka. Rawatan lain juga boleh digunakan, misalnya sejenis fisioterapi yang dikenali sebagai rawatan pemulihan vestibular, atau terapi percakapan.

Apakah yang ingin kami cari?

Kami ingin mencari:

- sama ada terdapat bukti bahawa rawatan selain penggunaan ubat mungkin dapat megurangkan gejala PPPD;

- sama ada rawatan tersebut boleh menyebabkan sebarang kemudaratan.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang membandingkan pelbagai jenis rawatan (tidak termasuk ubat) sama ada tanpa rawatan atau rawatan plasebo (palsu).

Apakah yang telah kami temui?

Kami menjumpai satu kajian kecil yang melihat kepada penggunaan rawatan rangsangan arus terus transkranial untuk PPPD. Rawatan ini melibatkan pengaliran arus elektrik yang lemah ke arah otak, menerusi elektrod kecil yang dipasang pada permukaan kulit kepala. Peserta kajian itu diberi peranti untuk digunakan di rumah untuk menjalankan rawatan ini lima kali seminggu selama tiga minggu.

Kajian itu menilai potensi kemudaratan cara rawatan ini, dan juga melihat kepada cara rawatan itu mempengaruhi kualiti hidup pesakit yang berkaitan dengan pening. Walau bagaimanapun, kerana ia adalah kajian yang kecil, tidak jelas sama ada rawatan ini mempunyai sebarang kesan ke atas gejala PPPD, atau sama ada terdapat sebarang risiko yang berkaitan dengan rawatan.

Apakah batasan bukti tersebut?

Penyelidikan lanjut diperlukan untuk mengenal pasti sama ada sebarang rawatan berguna untuk PPPD dan sama ada ianya mungkin dikaitkan dengan sebarang kemudaratan.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini setakat November 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Ahmad Filza Ismail (afilza@usm.my). Untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information