Fluvoxamine untuk merawat COVID-19

Soalan ulasan

Adakah fluvoxamine merupakan rawatan berkesan untuk pesakit COVID-19 dan adakah ia menyebabkan sebarang kesan yang tidak diingini?

Mesej utama

Adalah tidak jelas sama ada fluvoxamine merupakan rawatan yang berkesan untuk pesakit COVID-19 tahap ringan hingga sederhana. Ini kerana pada masa ini tidak ada penyelidikan yang mencukupi untuk membuat keputusan yang pasti.
Kami menemui lima kajian sedang berlangsung kini yang menyiasat fluvoxamine sebagai rawatan yang berpotensi untuk COVID-19, dan dua kajian yang kami perlukan lebih banyak maklumat. Kami akan mengemas kini ulasan ini sekiranya keputusan kajian mengubah kesimpulan kami.

Apakah fluvoxamine?

Fluvoxamine ialah sejenis ubat yang dikenali sebagai perencat pengambilan semula serotonin terpilih (SSRI), yang terdapat dalam bentuk tablet. Penyelidikan terkini mendapati bahawa fluvoxamine mungkin mempunyai kesan terhadap COVID-19. Apabila sistem imun badan memerangi virus, paru-paru dan saluran pernafasan akan mengalami keradangan, lalu menyebabkan kesukaran bernafas. Fluvoxamine boleh membantu mengurangkan keradangan ini, berpotensi mengurangkan risiko untuk mendapat COVID-19 yang serius dan gejala paru-paru yang berkaitan, berkemungkinan melalui kesan anti-radang dan anti-virusnya. Kami tahu bahawa kebanyakan orang tidak mengalami sebarang kesan sampingan yang serius dengan fluvoxamine apabila ia diambil sebagai antidepresan. Namun, sesetengah pesakit boleh mengalami kesan-kesan sampingan biasa berikut, terutamanya apabila mula mengambil ubat: loya, keresahan atau kegelisahan, insomnia, atau cirit-birit, dan dalam jarang-jarang kes, idea untuk membunuh diri.

Apa yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui jika fluvoxamine mengurangkan kematian, keseriusan penyakit, dan tempoh jangkitan di kalangan pesakit COVID-19, jika ia mempunyai sebarang kesan terhadap kualiti hidup, atau menyebabkan sebarang kesan yang tidak diingini. Kami melibatkan kajian yang membandingkan fluvoxamine dengan plasebo (rawatan palsu), tanpa rawatan, penjagaan biasa, atau sebarang rawatan lain untuk COVID-19 yang diketahui agak berkesan, seperti remdesivir atau dexamethasone. Kami mengecualikan rawatan yang kami tahu tidak berkesan terhadap COVID-19, seperti hydroxychloroquine, atau yang mempunyai kesan yang tidak diketahui terhadap penyakit tersebut.

Kami menilai kesan fluvoxamine terhadap pesakit COVID-19 dewasa pada:

• orang yang mati;

• sama ada orang perlu dirawat di hospital;

• sama ada gejala COVID-19 menjadi lebih baik atau lebih teruk;

• kesan yang tidak diingini;

• kualiti hidup;

• dan sama ada terdapat risiko bunuh diri atau percubaan bunuh diri apabila ubat ini diambil.

Apa yang kami buat?

Kami mencari kajian-kajian yang menyiasat fluvoxamine sebagai rawatan untuk pesakit COVID-19 dewasa di hospital atau sebagai pesakit luar. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan kriteria biasa seperti kaedah dan saiz kajian.

Apa yang kami dapati?

Kami menemui dua kajian yang menyiasat fluvoxamine sebagai rawatan awal untuk COVID-19 tahap ringan di kalangan 1649 pesakit yang mengasingkan diri masing-masing di rumah (pesakit luar). Kesemua kajian membandingkan fluvoxamine dengan plasebo beserta penjagaan biasa. Kajian menggunakan tempoh rawatan yang berbeza (10 atau 15 hari).

Kami menemui lima kajian yang sedang berlangsung dan dua kajian yang sedang menunggu pengelasan. Kami tidak menemui sebarang kajian yang menyiasat kesan fluvoxamine terhadap pesakit COVID-19 di hospital.

Keputusan utama

• Berbanding dengan plasebo, fluvoxamine mungkin mengurangkan sedikit bilangan pesakit yang mati dalam tempoh 28 hari selepas memulakan rawatan (2 kajian, 1649 peserta).

• Berbanding dengan plasebo, fluvoxamine mungkin mengurangkan bilangan pesakit yang dimasukkan ke hospital atau yang mati sebelum kemasukan ke hospital (2 kajian, 1649 peserta).

• Tiada perbezaan jelas dalam bilangan kejadian serius yang tidak diingini antara fluvoxamine dan rawatan plasebo (2 kajian, 1649 peserta).

• Tiada satu kajian pun yang melaporkan tentang kualiti hidup, masa yang diperlukan sehingga semua gejala awal sembuh, atau percubaan membunuh diri.

Apakah batasan bukti?

Kami tidak dapat yakin dengan bukti semasa mengenai fluvoxamine dalam merawat pesakit COVID-19, terutamanya disebabkan kekurangan kajian yang sedia ada pada masa kini dan beberapa kelemahan dalam reka bentuk kajian. Kami akan terus mencari kajian-kajian baru untuk melengkapkan jurang bukti semasa.

Ia juga penting untuk mengetahui kesan ubat seperti fluvoxamine terhadap Covid berlarutan. Kami sedang menunggu penyelidikan mengenai hal ini untuk siap dalam masa terdekat.

Malangnya, kajian yang sedia ada tidak menumpukan kepada kanak-kanak atau orang muda, wanita yang sedang merancang atau cuba untuk hamil, wanita mengandung atau menyusukan anak, orang tua, atau mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah (pesakit sistem imun berkompromi). Begitu juga, tiada maklumat tersedia sama ada wanita atau lelaki lebih berkemungkinan mendapat manfaat daripada fluvoxamine.

Tarikh carian

Bukti adalah terkini hingga Februari 2022.

Nota terjemahan: 

Diterjemah oleh Aishah Ibrahim (University of Hull). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my

Tools
Information