Mesej utama
• Ubat nyamuk topikal boleh mengurangkan sedikit kejadian dan kelaziman malaria yang disebabkan oleh Plasmodium falciparum.
• Perubahan-perubahan ini nampaknya amat penting dalam populasi berisiko tinggi, khususnya bagi pelarian yang tinggal di kem di mana tiada pilihan lain.
• Ubat nyamuk topikal mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan dalam kelaziman malaria dan kejadian dalam tetapan di mana jaring yang dirawat dengan racun serangga, dan pilihan lain untuk mengawal penularan malaria mudah didapati.
Apakah itu malaria?
Malaria adalah penyakit yang disebabkan oleh sekurang-kurangnya lima spesis parasit dari genus Plasmodium , dan disebarkan melalui gigitan nyamuk Anopheles . Penyakit ini kerap menjejaskan orang di kawasan tropika di Amerika Tengah dan Selatan, Asia Selatan dan Tenggara, dan khususnya, Afrika. Lebih 247 juta kes malaria dan 619,000 kematian berlaku pada 2021, kebanyakannya di Afrika. Penyakit ini menjejaskan fungsi sel darah merah, yang membawa oksigen ke seluruh badan. Ini biasanya menyebabkan demam, rasa lesu (perasaan ‘tidak sihat’) dan gejala ringan yang lain. Walau bagaimanapun, sesetengah orang boleh mengalami penyakit parah, yang dikaitkan dengan pengurangan teruk dalam bilangan sel darah merah yang beredar, dan masalah dalam hati, otak, dan organ lain.
Malaria boleh dirawat dengan ubat-ubatan yang berbeza, yang secara amnya berkesan. Alat tertentu yang mencegah gigitan nyamuk, seperti kelambu yang dirawat dengan racun serangga, boleh melindungi orang ramai daripada terkena, dan telah membantu mengurangkan bilangan kes di seluruh dunia dengan ketara. Walau bagaimanapun, kebanyakan pendekatan ini menyasarkan nyamuk yang menghisap darah di dalam rumah dan pada manusia. Pendekatan ini kurang berkesan terhadap spesis yang boleh menghisap darah di luar rumah, maka tidak benar-benar menghapuskan penyakit ini.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Matlamat Ulasan Cochrane ini adalah untuk mengetahui sama ada ubat nyamuk topikal (bahan yang digunakan pada kulit untuk mencegah gigitan nyamuk) boleh mencegah malaria pada orang yang tinggal di kawasan di mana penyakit ini kerap berlaku. Kami amat berminat dengan kesannya terhadap orang yang mungkin tidak dilindungi secukupnya oleh langkah-langkah lain, yang lebih biasa digunakan untuk mencegah malaria.
Kami ingin mengetahui sama ada ubat nyamuk topikal lebih baik daripada plasebo, atau tiada intervensi sama sekali, untuk mengurangkan dua penunjuk penyebaran malaria:
• Kejadian malaria (bilangan kes baru dalam satu tempoh masa);
• Kelaziman malaria (bilangan semua kes pada masa tertentu).
Kami juga ingin mengetahui sama ada ubat nyamuk topikal menyebabkan sebarang kesan sampingan buruk kepada orang yang menggunakannya.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari penulisan sedia ada untuk kajian yang membandingkan kesan ubat nyamuk topikal (sendirian atau digabungkan dengan alat lain untuk mencegah gigitan nyamuk) dengan plasebo atau tanpa intervensi. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian yang disertakan, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti yang diberikan, berdasarkan kaedah yang digunakan dalam setiap satu.
Apakah yang telah kami temui?
Kami memasukkan sejumlah lapan kajian, yang menyertakan lebih 60,000 orang. Kajian-kajian dijalankan di kawasan di mana penularan malaria adalah rendah, kebanyakannya di Asia Tenggara dan Amerika Selatan.
Ubat nyamuk topikal yang dinilai termasuk losyen, sabun, dan kosmetik. Kami menemui bukti yang menunjukkan bahawa ubat nyamuk topikal mungkin sedikit mengurangkan kejadian dan kelaziman kes malaria yang disebabkan oleh P falciparum dalam tetapan di mana tiada alat lain untuk mencegah gigitan nyamuk. Walaupun begitu, penemuan kami mencadangkan bahawa ubat nyamuk mungkin membuat sedikit atau tiada perbezaan di tempat di mana alat ini telah digunakan secara meluas. Ubat nyamuk topikal dianggap selamat, dan kelaziman kesan sampingan buruk adalah sangat rendah.
Apakah batasan bukti?
Faedah ubat nyamuk topikal amat jelas dalam kalangan pelarian. Walau bagaimanapun, kekurangan dalam reka bentuk kajian yang disertakan tidak membenarkan kami menyamaratakan pemerhatian ini kepada konteks lain. Kami hanya menyertakan kes malaria yang disebabkan oleh parasit P falciparum. Kami juga menyedari bahawa kajian-kajian mengukur dan melaporkan pematuhan secara berbeza, dan selalunya tidak mengetahui sama ada peserta benar-benar menggunakan ubat nyamuk seperti yang dinasihatkan.
Sejauh manakah ulasan ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 11 Januari 2023.
Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Klinik Pergigian Seremban). Disunting oleh Shazlin Shaharudin (Universiti Sains Malaysia). Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my