Mesej utama
• Kafein dan bahan lain yang serupa tergolong dalam kumpulan perangsang yang dipanggil methylxanthine. Bahan-bahan ini sering digunakan untuk mencegah dan merawat apnea - apabila pernafasan berulang kali berhenti dan bermula - pada bayi yang baru lahir.
• Kafein boleh mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan dalam kekerapan kematian bayi yang dilahirkan terlalu awal berbanding methylxanthine lain.
• Lebih banyak kajian diperlukan, terutamanya pada bayi yang dilahirkan sangat awal, kerana bayi ini cenderung menjadi yang paling teruk.
Apakah itu apnea pramatang ?
Apnea pramatang adalah apabila bayi yang dilahirkan terlalu awal (bayi pramatang) berhenti bernafas selama 20 saat atau lebih lama semasa tidur. Lebih separuh daripada semua bayi pramatang mempunyai apnea. Bayi pramatang, terutamanya yang lahir sebelum 28 minggu dalam kandungan (kehamilan), mempunyai risiko kematian yang lebih tinggi, penyakit paru-paru, dan gangguan otak berbanding mereka yang dilahirkan pada atau hampir tarikh lahir. Sesetengah bayi ini mengalami kecacatan intelek, buta, atau pekak.
Bagaimanakah apnea pada bayi pramatang dirawat?
Apnea pada bayi pramatang biasanya dirawat dengan methylxanthine - bahan yang terdapat dalam kepekatan tinggi dalam teh, kopi dan coklat. Tiga jenis methylxanthine ialah kafein, aminophylline, dan theophylline. Bahan-bahan ini bertindak sebagai perangsang ringan untuk mempercepatkan sistem badan dan memudahkan pernafasan. Apabila diberikan kepada bayi pramatang, tujuannya adalah untuk memperbaiki pernafasan mereka dan untuk mengurangkan episod apnea dan keperluan untuk mesin pernafasan (pengudaraan mekanikal).
Apakah yang ingin kami tahu?
Kami ingin mengetahui sama ada kafein lebih baik daripada aminophylline atau theophylline pada bayi pramatang untuk:
• kematian sebelum discaj dari hospital;
• meningkatkan perkembangan jangka panjang pada umur 18 hingga 24 bulan.
Kami juga ingin mengetahui sama ada ubat-ubatan ini dikaitkan dengan sebarang kesan yang tidak diingini.
Apakah yang kami buat?
Kami mencari kajian yang melihat kafein berbanding aminophylline atau theophylline pada bayi pramatang. Kami telah membandingkan dan merumuskan keputusan kajian-kajian tersebut serta menaksir tahap keyakinan kami terhadap mutu bukti berdasarkan faktor seperti perkaedahan kajian dan saiz kajian.
Apakah yang telah kami temui?
Kami menyertakan 22 kajian dalam ulasan kami, dengan seramai 1776 bayi baru lahir pramatang. Tiga kajian menilai penggunaan methylxanthine untuk pencegahan apnea; 13 kajian menilai penggunaannya untuk rawatan apnea; dua untuk pengurusan extubasi (iaitu, mengeluarkan tiub yang diletakkan di dalam salur udara untuk membantu bayi bernafas). Dalam tiga kajian, terdapat sebab yang berbeza untuk merawat bayi dengan methylxanthine. Hampir semua kajian menyertakan bayi yang dilahirkan, secara puratanya, selepas 28 hingga 32 minggu kehamilan dan dengan berat purata semasa lahir antara 1000 dan 1500 gram. Tiada kajian yang mempunyai purata tempoh kehamilan kurang daripada 28 minggu atau purata berat lahir kurang daripada 1000 gram. Dalam satu kajian, bayi mempunyai purata tempoh kehamilan lebih daripada 32 minggu. Dalam dua kajian, purata berat lahir lebih daripada 1500 gram.
• Untuk kekerapan kematian, kami mendapati bahawa mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara penggunaan kafein berbanding methylxanthine lain.
• Apabila melihat kebolehan yang berkaitan dengan perkembangan otak, tidak jelas pilihan mana yang lebih baik: kafein atau methylxanthine lain.
• Sesetengah bayi dengan episod apnea mengalami penyakit paru-paru yang berpanjangan. Ulasan kami menunjukkan bahawa mungkin terdapat sedikit atau tiada perbezaan antara penggunaan kafein dan methylxanthine lain untuk penyakit paru-paru yang berpanjangan.
• Tidak jelas sama ada kafein mengakibatkan lebih banyak kesan yang tidak diingini berbanding methylxanthine lain.
• Kami mendapati bahawa mungkin tiada perbezaan dalam tempoh masa bayi dan keluarga mereka perlu tinggal di hospital dengan penggunaan kafein berbanding methylxanthine lain.
Apakah batasan bukti?
Keyakinan kami terhadap bukti adalah terhad kerana bilangan bayi yang dikaji untuk setiap hasil yang kami minati adalah kecil. Semua bayi dimasukkan secara rawak ke dalam kumpulan yang menerima sama ada kafein atau methylxanthine lain (aminophylline atau theophylline). Walau bagaimanapun, dalam banyak kajian, ada kemungkinan bahawa kakitangan yang bekerja dengan bayi mengetahui rawatan yang diberikan kepada bayi tersebut. Tambahan pula, bukti tidak merangkumi semua hasil yang kami minati.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti ini adalah terkini setakat Februari 2023.
Untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini, sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my. Diterjemahkan oleh Patricia Ponniah (Universiti Malaya). Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.