Mesej utama
- Tidak terdapat maklumat berkualiti tinggi yang mencukupi untuk menyatakan sama ada kedudukan menghadap ke bawah patut disyorkan kepada pesakit selepas pembedahan untuk penanggalan retina yang menjejaskan pusat retina (makula).
- Keseluruhannya, bukti daripada kajian mencadangkan bahawa kedudukan menghadap ke bawah selepas pembedahan boleh menyebabkan komplikasi yang lebih sedikit, dengan kurang anjakan retina, lipatan luar retina dan diplopia binokular (penglihatan berganda dengan kedua-dua mata terbuka) selepas pembedahan. Komplikasi tersebut boleh jadi sangat menyusahkan kepada mereka yang terjejas, tetapi impak terhadap kualiti hidup tidak dikaji.
- Kedudukan menghadap ke bawah boleh meningkatkan tekanan intraokular (tekanan cecair di dalam mata) berbanding dengan kedudukan sokongan (kedudukan kepala bergantung kepada lokasi retina yang pecah [lubang atau koyak pada retina]); walau bagaimanapun, tekanan intraokular selalunya boleh dirawat dengan jayanya.
Apakah itu penanggalan rhegmatogenus retina yang melibatkan makula?
Retina adalah lapisan di bahagian belakang mata yang memberikan penglihatan. Ia biasanya terlekat pada dinding mata. Apabila ia terpisah daripada dinding mata, maka ini dipanggil penanggalan retina. Apabila penanggalan retina disebabkan oleh koyak atau pecah pada retina, maka ia ditermakan sebagai penanggalan rhegmatogenus retina. Makula ialah pusat retina. Jika makula juga terpisah, maka ini dipanggil penanggalan rhegmatogenus retina yang melibatkan makula.
Sel-sel visual (sel-sel dalam retina yang memberikan penglihatan) mendapat khasiat melalui saluran darah di dalam dinding mata. Jika retina menanggal dan menjauh daripada dinding mata, maka sel-sel visual tidak menerima khasiat. Sebagai akibat, penglihatan akan hilang.
Penanggalan retina dirawat dengan pembedahan, selalunya dengan sejenis pembedahan yang dipanggil vitrektomi. Dalam pembedahan vitrektomi, gel yang mengisi bahagian tengah mata (dipanggil vitreus) dikeluarkan, dan selalunya gas dimasukkan ke dalam mata untuk menolak retina kembali ke tempatnya (tamponade gas). Gas naik, seperti belon. Sesetengah pakar bedah meminta pesakit mereka menundukkan kepala (menghadap ke bawah) sejurus selepas pembedahan supaya gas menolak makula secara rata kepada kedudukan normalnya.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui sama ada mengekalkan kedudukan menghadap ke bawah selepas vitrektomi dan tamponade gas untuk penanggalan rhegmatogenus retina yang melibatkan makula adalah lebih baik daripada mengekalkan kepala dalam kedudukan yang lain . Mengekalkan kepala dalam kedudukan menghadap ke bawah boleh mengelakkan komplikasi seperti lipatan besar atau kecil daripada terbentuk di dalam makula. Lipatan ini boleh menjejaskan penglihatan. Kami juga ingin mengetahui sama ada kedudukan menghadap ke bawah mempunyai sebarang kesan yang memudaratkan, seperti masalah leher.
Apakah yang telah kami lakukan?
Kami mencari kajian yang membandingkan kedudukan kepala menghadap ke bawah selepas pembedahan dengan kedudukan kepala yang lain di kalangan pesakit dengan penanggalan retina yang melibatkan makula. Kami membanding dan merumuskan keputusan kajian-kajian tersebut serta menilai tahap keyakinan kami terhadap bukti berdasarkan faktor-faktor seperti metodologi dan saiz kajian.
Apakah yang telah kami temui?
Kami telah menemui tiga kajian dengan sejumlah 368 orang (369 mata) dengan penanggalan retina yang melibatkan makula. Tempoh susulan kajian adalah berbeza, dengan yang paling lama selama enam bulan. Keputusan menunjukkan bahawa beberapa komplikasi mungkin berlaku kurang kerap dengan kedudukan menghadap ke bawah, termasuk anjakan retina (retina 'mendarat' di posisi berbeza daripada di mana ia berada sebelum tertanggal), lipatan retina, dan penglihatan berganda. Komplikasi ini boleh jadi sangat menyusahkan bagi pesakit. Kedudukan menghadap ke bawah boleh meningkatkan peluang berlakunya tekanan tinggi dalam mata; walau bagaimanapun, ini selalunya berjaya dirawat dengan ubat titis mata. Kedudukan menghadap ke bawah nampaknya tidak memberikan sebarang perbezaan dalam kuantiti penglihatan (membaca huruf dalam carta) atau kualiti penglihatan (sejelas mana yang dapat dilihat), atau dalam kualiti hidup.
Apakah batasan bukti?
Kami mempunyai keyakinan yang sangat rendah terhadap bukti bagi kedudukan menghadap ke bawah selepas vitrektomi dan tamponade gas untuk penanggalan rhegmatogenus retina yang melibatkan makula kerana saiz sampel yang secara relatifnya kecil dan reka bentuk kajian yang bermasalah.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti adalah terkini sehingga November 2022.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kuan Pei Xuan (Institute for Clinical Research). Disunting oleh Aishah Ibrahim (University of Warwick, UK).