Mesej utama
- Pada pesakit hemodialisis, pemodelan natrium berbanding dialisis perlahan mungkin menghasilkan sedikit atau tiada perbezaan dalam sindrom ketidakseimbangan dialisis dan kematian. Bukti ini sangat tidak pasti mengenai kesan intervensi ini terhadap kejadian buruk.
- bukti sangat tidak pasti mengenai kesan dialisat natrium tinggi dan dialisat natrium piawai ke atas sindrom ketidakseimbangan dialisis, kematian dan kejadian buruk .
Apakah yang ingin kami ketahui?
Hemodialisis ialah rawatan perubatan yang membantu membuang sisa dan cecair berlebihan dari darah apabila buah pinggang seseorang tidak berfungsi dengan baik. Ia adalah satu proses yang menggunakan mesin untuk menapis darah. Sindrom ketidakseimbangan dialisis ialah keadaan di mana pesakit mengalami gejala neurologi semasa atau selepas rawatan dialisis mereka. Ia sering berlaku kepada mereka yang baru memulakan dialisis atau yang telah terlepas beberapa sesi sebelum memulakan semula. Memandangkan sindrom ketidakseimbangan dialisis boleh menjadi serius dan menyebabkan kesan memudaratkan , adalah penting untuk mengkaji cara berbeza untuk mencegahnya serta memastikan ia selamat dan berkesan.
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari semua kajian yang menilai manfaat dan kemudaratan intervensi yang diperuntukkan secara rawak untuk mencegah sindrom ketidakseimbangan dialisis pada individu dengan kegagalan buah pinggang yang memulakan hemodialisis. Kami membandingkan dan merumuskan keputusan kajian dan menilai keyakinan kami terhadap maklumat tersebut berdasarkan faktor-faktor seperti kaedah dan saiz kajian.
Apakah yang kami temui?
Kami memasukkan 2 kajian yang melibatkan 32 peserta. Kajian tersebut menggunakan empat jenis intervensi utama: pemodelan natrium, dialisis perlahan, dialisat natrium piawai , dan dialisat natrium tinggi.
Apakah batasan bukti?
Bilangan dan saiz kajian yang kecil adalah keterbatasan dalam ulasan ini. Tidak semua kajian menyediakan data mengenai hasil yang kami minati, dan kami tidak pasti mengenai keputusan tersebut.
Sejauh manakah bukti ini terkini?
Bukti-bukti adalah yang terkini sehingga Mei 2024.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Khaw Loke Tim (IMU University). Disunting oleh Leong Siew Lian (Monash University Malaysia).