Adakah trakeostomi awal atau lewat lebih berkesan dalam pesakit COVID-19 yang sakit kritikal yang dijangka memerlukan bantuan alat pernafasan jangka panjang?

Mesej utama

• Bagi orang dewasa yang dimasukkan ke hospital dengan COVID-19 yang memerlukan ventilator mekanikal, melakukan trakeostomi awal (di mana doktor memotong kulit ke dalam trakea (salur udara) untuk memasukkan tiub pernafasan) sebelum 10 hari selepas memulakan ventilasi, mungkin mempunyai sedikit kesan atau tiada kesan pada kematian dan masa pesakit menggunakan ventilator berbanding dengan trakeostomi lewat yang dilakukan 10 hari atau lebih selepas memulakan ventilasi.

• Kami tidak pasti sama ada trakeostomi awal memperbaiki atau memburukkan keadaan pesakit atau memendekkan tempoh penginapan di unit rawatan rapi mereka.

• Penyelidik harus bersetuju dengan hasil utama yang akan digunakan dalam penyelidikan COVID-19; penyelidikan masa depan harus memberi tumpuan kepada kajian yang direka dengan baik berdasarkan kaedah yang mantap. Kami kemudiannya boleh membuat kesimpulan yang lebih kukuh tentang masa terbaik untuk trakeostomi dalam pesakit COVID-19 yang sakit kritikal.

Apakah itu trakeostomi?

Trakeostomi adalah prosedur di mana doktor memotong melalui kulit ke dalam trakea (saluran pernafasan) untuk memasukkan tiub pernafasan. Pernafasan kemudian berlaku sepenuhnya melalui tiub ini. Trakeostomi dilakukan ke atas pesakit yang memerlukan bantuan alat pernafasan jangka panjang untuk memudahkan pernafasan dan menyediakan akses saluran udara yang selamat terus ke trakea. Berbanding dengan tiub pernafasan melalui mulut, tiub trakeostomi menawarkan kurang rintangan kepada aliran udara. Ini boleh membantu mengurangkan kerja pernafasan dan memudahkan penyapihan dari ventilator mekanikal. Walau bagaimanapun, trakeostomi juga boleh membawa kepada komplikasi. Terdapat risiko jangkitan di tapak trakeostomi. Penempatan tiub trakeostomi yang berpanjangan boleh menyebabkan saluran pernafasan tersumbat. Komplikasi ini boleh menghalang aliran udara dan menyebabkan kesukaran bernafas.

Trakeostomi boleh dilakukan pada peringkat 'awal' atau 'lewat' semasa ventilasi. 'Awal' selalunya ditakrifkan sebagai semasa 10 hari pertama ventilasi dan 'lewat' ditakrifkan sebagai 10 hari atau lebih selepas ventilasi dimulakan.

Apakah kaitan antara trakeostomi dan COVID‐19?

Kebanyakan pesakit dengan COVID-19 yang teruk memerlukan bantuan pernafasan. Dalam sesetengah kes, ini bermakna memerlukan ventilator mekanikal jangka panjang, jadi trakeostomi mungkin dinasihatkan. Dalam kalangan gologan pesakit ini, trakeostomi boleh dikaitkan dengan komplikasi serius untuk pesakit dan penjaga. Pesakit dengan COVID-19 sudah pun mempunyai risiko jangkitan tambahan yang lebih tinggi kerana sistem imun mereka lemah. Trakeostomi boleh membawa risiko tambahan terhadap jangkitan. Pesakit-pesakit ini selalunya mempunyai risiko pendarahan yang lebih tinggi. Komplikasi pendarahan boleh berlaku semasa trakeostomi. Doktor dan kakitangan kejururawatan berisiko tinggi untuk dijangkiti virus semasa prosedur.

Sehingga kini, tiada cadangan universal tentang masa terbaik untuk melakukan trakeostomi ke atas pesakit-pesakit ini.

Apakah yang kami ingin ketahui?

Kami ingin mengetahui kesan trakeostomi awal dalam pesakit COVID‐19 yang sangat sakit pada:

• kematian akibat sebarang sebab;

• sama ada pesakit menjadi lebih baik selepas rawatan yang diukur dengan jangka masa mereka menggunakan ventilator;

• sama ada keadaan pesakit bertambah teruk sehingga mereka mengalami kesan yang tidak diingini, seperti jangkitan paru-paru; dan

• berapa lama mereka tinggal di unit rawatan rapi.

Apakah yang telah kami laksanakan?

Kami mencari kajian yang menyiasat prestasi trakeostomi awal berbanding trakeostomi lewat pada orang dewasa yang dimasukkan ke hospital dengan COVID-19.

Kami membanding dan merumuskan keputusan, dan menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami dapati?

Kami mendapati 1 kajian berkualiti baik dengan 150 peserta dan 24 kajian berkualiti rendah dengan 6372 peserta. Purata umur pesakit ialah 62 tahun. Kajian dilakukan di seluruh dunia, terutamanya di negara-negara berpendapatan tinggi dan pertengahan atas. Semua kajian membandingkan trakeostomi awal dengan trakeostomi lewat tetapi mentakrifkan awal dan lewat secara berbeza. Trakeostomi awal ditakrifkan pada 7, 10, 12, 14 dan 21 hari selepas permulaan penggunaan ventilator mekanikal. Kami memilih kajian mentakrifkan sehingga 10 hari untuk trakeostomi awal dan selepas 10 hari untuk trakeostomi lewat. Ini adalah jangka masa yang digunakan oleh kajian berkualiti baik dan dalam 6 kajian lain.

Keputusan utama

Kami mendapati keputusan berikut daripada 1 kajian dengan 150 peserta.

Kematian : trakeostomi awal boleh mengakibatkan sedikit atau tiada perbezaan kepada kematian akibat sebarang sebab. Daripada 1000 peserta, pengurangan kematian sebanyak 67 peserta terjadi apabila trakeostomi dilakukan lebih awal.

Adakah pesakit menjadi lebih baik dengan trakeostomi awal? Trakeostomi awal mungkin mengakibatkan sedikit atau tiada kesan ke atas jangka masa pesakit menggunakan ventilator.

Adakah pesakit menjadi lebih teruk dengan trakeostomi awal? Trakeostomi awal mungkin menyebabkan sedikit atau tiada perbezaan dalam bilangan pesakit:

• dengan sebarang kesan yang tidak diingini; atau

• dengan jangkitan paru-paru yang berkaitan dengan ventilator.

Berapa lama pesakit perlu tinggal di unit rawatan rapi? Trakeostomi awal mungkin menghasilkan sedikit manfaat kepada tiada perbezaan dalam tempoh masa yang pesakit menghabiskan di unit rawatan rapi.

Apakah batasan bukti tersebut?

Keyakinan kami terhadap bukti adalah sangat terhad kerana kami mendapati hanya 1 kajian berkualiti baik dengan sedikit peserta. Kajian lain yang kurang mantap melakukan trakeostomi pada titik masa yang sangat berbeza dan mengukur serta melaporkan keputusannya secara tidak konsisten.

Sejauh manakah bukti ini terkini?

Bukti adalah terkini sehingga 14 Jun 2022.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Hui Jen Chua (Taylor’s University). Disunting oleh Khaw Loke Tim (IMU University).

Tools
Information