Mesej utama
– Kami tidak tahu sama ada kateterisasi standard ditambah albendazole lebih berkesan atau lebih selamat berbanding dengan tusukan, aspirasi, suntikan dan penyedutan semula (PAIR) ditambah albendazole untuk merawat echinococcosis sista pada peringkat sista tertentu (CE1 dan CE3a).
– Orang yang menjalani pembedahan laparoskopi (lubang kunci) ditambah albendazole mungkin mengalami komplikasi kecil yang sedikit dan tinggal di hospital yang lebih singkat berbanding mereka yang menerima pembedahan terbuka serta albendazole. Kami tidak tahu sama ada pembedahan laparoskopi ditambah albendazole dapat menyebabkan lebih sedikit kes kambuh atau kerumitan berat. Keputusan ini juga dapat diterapkan untuk sista yang berada di peringkat sista tertentu (CE1, CE2, CE3a atau CE3b).
– Kakitangan kesihatan yang menjaga penghidap echinococcosis sista harus mempertimbangkan keselamatan pelbagai rawatan dan pilihan pesakit .
Apakah itu echinococcosis sista?
Eechinococcosis sista, juga dikenali sebagai penyakit hidatid, adalah jangkitan parasit yang disebabkan oleh cacing pita. Orang yang tinggal di negara berpendapatan rendah dan sederhana di kawasan penternakan (biri-biri, lembu, khinzir, kambing) kebanyakannya terjejas kerana kitaran hayat cacing pita yang melibatkan peringkat jangkitan haiwan ternakan dan peringkat yang melibatkan anjing.
Apabila manusia dijangkiti, sista boleh berkembang di mana-mana organ badan; bagaimanapun, hati merupakan organ yang paling terjejas. Sista boleh tumbuh dan berkembang melalui peringkat yang berbeza, di mana komposisinya berubah daripada kandungan cecair kepada separa pepejal kepada pepejal. Peringkat sista mencerminkan tahap keaktifan (keligatan) sista, misalnya, sama ada ia telah menghasilkan sista cambahan, atau sama ada ia belum aktif dan tetap pejal. Sista mungkin bergejala ataupun tidak, dan hal ini bergantung pada kedudukannya di dalam tubuh badan. Apabila di dalam hati, sista boleh menyebabkan gejala sakit perut dan gejala-gejala ragu yang lain . Kadangkala kerumitan seperti bisul, pemecahan sista yang mungkin menjurus kepada tindak balas alahan yang parah atau echinococcosis sekunder (iaitu jangkitan yang telah merebak ke dalam rongga perut dan menyebabkan pembentukan banyak sista baru), boleh terjadi.
Ulasan ini tertumpu pada echinococcosis sista yang berada pada peringkat aktif di hati.
Bagaimanakah echinococcosis sista dirawat?
Rawatan adalah sukar dan rawatan berbeza antara negara. Pilihan rawatan bergantung pada ciri-ciri sista (misalnya peringkat, bilangan, saiz, lokasi), sumber kesihatan tersedia dan keadaan kesihatan am pesakit. Pilihan rawatan termasuklah ubat antiparasit oral (albendazole), pembedahan membuang sista dan teknik rentas kulit yang melibatkan pemasukan jarum menerusi lapisan kulit ke dalam sista dalam hati untuk mengosongkan isi kandungan sista.
Salah satu teknik rentas kulit (percutaneous) dikenali sebagai PAIR (iaitu singkatan untuk istilah berikut: p uncture, a spiration (Aspirasi atau penyedutan keluar kandungan sista), i Injeksi atau suntikan ubat untuk membunuh parasit dan r e-aspirasi). Selepas rawatan, pesakit biasanya boleh pulang ke rumah pada hari yang sama selepas pembuangan semua bahan antiparasit daripada kandungan sista. Satu lagi teknik rentas kulit dikenali sebagai kateterisasi piawai . Prosedur Ini serupa dengan PAIR, kecuali tiub plastik yang lebih besar (kateter) juga dimasukkan ke dalam sista untuk membantu menyingkirkan secara menyeluruh kandungan sista yang mengandungi bahan antiparasit. Kateter kemudiannya dibiarkan di dalam sista itu untuk mengeluarkan semua cecair dalam tempoh 24 jam atau lebih.
Apakah yang ingin kami ketahui?
Kami ingin mengetahui rawatan mana yang membawa kepada pembaikan paling banyak dalam gejala, paling sedikit pengulangan penyakit dan kurang kesan sampingan/komplikasi.
Apakah yang kami lakukan?
Kami telah mencari kajian yang membandingkan satu jenis cara rawatan echinococcosis sista (ubat oral, pembedahan, teknik rentas kulit) dengan opsyen rawatan yang lain dalam kalangan penghidap echinococcosis sista hati dengan tahap keaktifan yang berbeza .
Apakah yang telah kami temui?
Kami menyertakan tiga buah kajian. Satu kajian terhadap 38 orang dewasa dan kanak-kanak berumur 5 hingga 72 tahun di Turki membandingkan rawatan teknik rentas kulit yang berbeza ditambah albendazole (kateterisasi standard ditambah PAIR), dan dua kajian dengan 142 orang dewasa dan kanak-kanak berumur 6 hingga 60 tahun dari India dan Pakistan membandingkan pembedahan laparoskopi ditambah albendazole kepada pembedahan terbuka ditambah albendazole. Kami tidak menemui data mengenai pembaikan gejala atau sama ada lebih banyak sista menjadi tidak aktif pada 12 bulan selepas rawatan.
Bukti yang ditemui tentang keberkesanan kateterisasi piawai dengan albendazole terhadap kadar kekambuhan sista, kadar kematian dan echinococcosis sekunder apabila dibandingkan dengan prosedur PAIR dengan albendazole, masih ragu. Kateterisasi piawai ditambah albendazole boleh meningkatkan risiko komplikasi parah dan mempunyai sedikit atau tiada perbezaan terhadap komplikasi ringan, tetapi tetapi buktinya sangat tidak pasti. Kateterisasi standard ditambah albendazole boleh meningkatkan tempoh penginapan hospital, tetapi buktinya sangat tidak pasti.
Bukti adalah sangat tidak pasti tentang keberkesanan pembedahan laparoskopi dengan albendazole terhadap kekambuhan sista, kadar kematian dan komplikasi besar jika dibandingkan dengan rawatan pembedahan terbuka dengan albendazole. Pembedahan laparoskopi ditambah albendazole mungkin membawa kepada komplikasi kecil yang lebih sedikit dan boleh mengurangkan tempoh penginapan hospital berbanding pembedahan terbuka ditambah albendazole.
Apakah batasan bukti?
Kami tidak yakin dengan bukti kerana kami menyertakan hanya tiga kajian dengan bilangan peserta yang kecil. Kajian-kajian tersebut tidak melaporkan semua rawatan berkepentingan, dan tidak melaporkan keputusan yang berkaitan dengan ukuran hasil yang kami ingin selidiki, misalnya pengurangan gejala. Semua keputusan digunakan untuk peringkat sista tertentu.
Sejauh manakah bukti ini adalah terkini?
Bukti adalah terkini sehingga 4 Mei 2023.
Sila hubungi cochrane@rumc.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemahkan oleh Nathanael Lee Yong Sheng (Hospital Seberang Jaya). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia).