Terapi berasaskan sel stem untuk strok pada bayi baru lahir

Soalan ulasan

Bolehkah terapi berasaskan sel stem menyelamatkan nyawa atau meningkatkan perkembangan jangka panjang bayi baru lahir yang mengalami strok?

Latar belakang

Bayi yang baru lahir kadangkala mengalami pertumbuhan strok, yang berlaku apabila bekalan darah ke bahagian otaknya tersumbat atau apabila saluran darah di otak pecah. Bayi yang mengalami strok yang kurang teruk kemungkinan akan pulih sepenuhnya atau kemungkinan hanya mengalami masalah-masalah intelek yang ringan. Jika strok adalah sangat serius, ia boleh membawa maut atau mengalami masalah perkembangan saraf yang teruk di kemudian hari. Sesetengah bayi ini mengalami kecacatan intelek, masalah tingkah laku, kesukaran untuk menumpukan perhatian, masalah sosialisasi, dan cerebral palsy. Pada masa ini, tiada rawatan untuk strok.

Apakah yang kami ingin tahu?

Matlamat ulasan Cochrane ini adalah untuk menilai sama ada terapi berasaskan sel stem boleh mengurangkan kematian dan meningkatkan perkembangan jangka panjang bayi baru lahir yang ada strok. Kami juga ingin mengetahui sama ada rawatan ini mempunyai sebarang kesan yang tidak diingini. Pada semasa terapi berasaskan sel stem, sel stem diimplan ke dalam bayi (cth melalui suntikan) supaya dapat membaiki sel-sel otak yang telah rosak akibat strok. Sel stem ini mungkin berasal daripada manusia atau haiwan dan mungkin diambil daripada darah tali pusat, sum sum tulang atau bahagian badan yang lain.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian-kajian klinikal di pangkalan data perubatan yang melihat pada terapi berasaskan sel stem di dalam bayi baru lahir yang ada strok.

Keputusan utama

Kami tidak dapat memasukkan apa-apa kajian dalam ulasan kami. Kami mengenal pasti tiga kajian, tetapi kami mengecualikan semuanya kerana mereka mempunyai reka bentuk yang tidak layak atau kerana mereka termasuk bayi baru lahir tanpa strok.

Sejauh mana bukti itu terkini?

Bukti ini terkini sehingga Februari 2023.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan yang berkaitan dengan terjemahan ini. Diterjemah oleh Kelly Sze Fang Num. Disunting oleh Lai Nai Ming, School of Medicine, Taylor’s University, Malaysia.

Tools
Information