Ubat-ubatan untuk mengurangkan kesakitan dan ketidakselesaan semasa tusukan tulang belakang pada bayi baru lahir

Mesej utama

• Tusukan tulang belakang adalah prosedur yang menyakitkan, tetapi pengurusan terbaik untuk kesakitan dan ketidakselesaan pada bayi baru lahir adalah tidak jelas.
• Kami mengenal pasti kajian-kajian menggunakan krim yang mengandungi ubat penahan sakit, disapu terus pada kulit di mana tusukan tulang belakang dilakukan.
• Krim ini boleh mengurangkan kesakitan semasa tusukan tulang belakang, tetapi tidak jelas sama ada ia mempunyai kesan ke atas bilangan tusukan tulang belakang yang berjaya pada percubaan pertama, bilangan percubaan setiap tusukan tulang belakang yang berjaya, episod bradikardia (degupan jantung yang perlahan), episod desaturasi (penurunan kandungan oksigen dalam darah), serta bilangan bayi baru lahir dengan pernafasan terganggu (apnea).

Apakah tusukan tulang belakang?

Tusukan tulang belakang, juga dikenali sebagai tusukan lumbar, adalah prosedur biasa pada semua peringkat umur, termasuk bayi yang baru lahir. Ia melibatkan kemasukkan jarum berongga ke dalam tulang belakang untuk mengeluarkan cecair yang dikenali sebagai cecair serebrospinal. Tusukan tulang belakang dilakukan atas pelbagai sebab, tetapi sebab yang paling biasa adalah untuk mengetahui sama ada terdapat jangkitan yang menjejaskan otak dan tulang belakang. Kerana tusukan tulang belakang melibatkan memasukkan jarum, ia boleh menyebabkan kesakitan dan ketidakselesaan.

Disebabkan kesakitan dan ketidakselesaan ini, bayi yang baru lahir kadangkala mengalami degupan jantung yang perlahan (juga dikenali sebagai bradikardia) dan gangguan dalam pernafasan normal mereka (juga dikenali sebagai apnea), mengakibatkan kandungan oksigen dalam darah mereka berkurangan (juga dikenali sebagai desaturasi). Di samping itu, jika bayi tidak selesa, orang yang melakukan tusukan tulang belakang mungkin memerlukan beberapa kali cubaan untuk membetulkannya.

Apakah yang kami ingin tahu?

Kami ingin mengetahui sama ada penggunaan ubat tertentu adalah lebih baik daripada menggunakan ubat lain atau tanpa ubat untuk mengurangkan:
• bilangan percubaan untuk tusukan tulang belakang yang berjaya pada bayi yang baru lahir;
• jumlah bilangan percubaan;
• kesakitan dan ketidakselesaan semasa tusukan tulang belakang pada bayi yang baru lahir;
• episod bradikardia;
• episod desaturasi; dan
• episod apnea.

Apakah yang telah kami lakukan?

Kami mencari kajian yang melihat kepada penggunaan ubat-ubatan tertentu berbanding dengan ubat lain atau tanpa ubat pada bayi baru lahir yang menjalani tusukan tulang belakang. Kami membanding dan merumuskan keputusan daripada kajian-kajian serta menilai keyakinan kami terhadap bukti, berdasarkan faktor seperti kaedah dan saiz kajian.

Apakah yang kami temui?

Kami menemui tiga kajian yang melibatkan 206 bayi baru lahir yang menjalani tusukan tulang belakang. Ia tidak jelas sama ada ubat penahan sakit yang digunakan pada kulit (anestetik topikal), berbanding tanpa ubat, mempunyai kesan ke atas bilangan tusukan tulang belakang yang berjaya pada percubaan pertama, bilangan percubaan setiap tusukan tulang belakang yang berjaya, episod bradikardia, episod desaturasi, dan episod apnea.

Anestetik topikal berbanding plasebo (ubat palsu) boleh mengurangkan kesakitan yang dialami oleh bayi baru lahir sebanyak 15% hingga 20%.

Terdapat tiga kajian berterusan yang menilai kesan ubat lain, tetapi keputusannya belum diterbitkan. Kami juga menyenaraikan tiga kajian sebagai menunggu klasifikasi kerana kami tidak mempunyai maklumat yang mencukupi untuk memasukkan atau mengecualikan mereka.

Apakah batasan bukti?

Kami mempunyai sedikit keyakinan terhadap bukti tentang kesakitan kerana kajian menggunakan ukuran yang berbeza untuk mengukur kesakitan.

Kami tidak yakin dengan bukti untuk semua keputusan yang lain kerana terdapat terlalu sedikit kajian untuk memastikan keputusan hasil kami. Ia berkemungkinan bahawa orang dalam kajian mengetahui rawatan yang mereka diberikan. Akhirnya, bukan semua kajian memberikan data tentang semua perkara yang kami minati.

Adakah bukti ini mutakhir?

Bukti adalah terkini sehingga Disember 2022.

Nota terjemahan: 

Sila hubungi cochrane@rcsiucd.edu.my untuk sebarang pertanyaan berkaitan terjemahan ini. Diterjemah oleh Lee Pei Yee (Hospital Keningau). Disunting oleh Shaun Lee (Monash University Malaysia).

Tools
Information